al-bahanj
Suatu hari seorang murid datang bertemu dengan ustadznya lalu bertanya:
“Ustadz, boleh tak kalau saya tak payah puasa?”
Si Ustadz yang sedang mengulangkaji kitab miliknya, terus memandang murid berkenaan dengan wajah yang pelik bercampur terkejut. Rasa macam nak marah pun ada. Namun, si Ustadz cuba bersabar sambil beliau mengurut dadanya.
“Kenapa kamu bertanya soalan itu?” Tanya si Ustadz.
“Alaa Ustadz, sengaja saya tanya. Mana tahu Ustadz ada jawapannya” jawab si murid itu tadi dengan gaya sedikit loyar buruk.
“Ooo…ada, ada. Ada satu keadaan yang mana apabila kamu bertemu dengan keadaan ini, kamu tidak perlu puasa. Malah lain-lain ibadah juga tak perlu.” Si Ustadz memberikan jawapan kepada persoalan murid itu.
“Masa bila tu Ustadz?” Murid itu teruja.
“Kamu tak perlu puasa jika tiada orang” Ustadz memberikan jawapan sambil mengangguk-angguk kepalanya perlahan.
“Ye ke Ustadz. Habis tu saya kena cari tempat yang takde oranglah ye Ustadz?” si murid meminta kepastian sambil membulatkan matanya.
“Ya. Contohnya apabila kamu masuk ke dalam bilik yang di dalamnya tiada orang, maka kamu tak perlulah puasa. Malah solat dan lain-lain ibadah pun tak perlu dilakukan.” tambah si Ustadz.
Keterujaan si murid itu jelas terpancar dari wajahnya, walaupun dia cuba untuk menyembunyikan perasaannya itu. Terpacul kalimah “yes!!!” dari mulutnya antara dengar dan tidak.
Dua saat selepas itu, si Ustadz lalu berkata sambil mnyentuh bahu si murid itu:
“Dalam bilik yang kamu kata tiada orang tu, tentunya kamu satu-satnya yang ada di dalam bilik itu kan?” Si Ustadz menyambung.
“Ya Ustadz. Tinggal saya sahaja. Bolehlah tak puasa Ustadz kan?” Murid itu menjawab dengan pasti lalu meminta kepastian tentang perkara yang menjadi minatnya sejak awal perbualan tadi.
“Nanti dulu. Sebelum kamu mahu kata kamu tidak perlu berpuasa, kamu kena pastikan betul-betul tiada orang di dalam bilik itu. Cuba kamu cerminkan wajah kamu dahulu. Kalau imej dalam cermin tu menunjukkan bukan orang, senang cakap haiwanlah, maka kamu tak perlulah puasa. Tapi jika imej yang kamu nampak itu adalah orang iaitu manusia, maka kamu mesti menunaikan puasa dan lain-lain ibadah. Tak boleh tinggal!!!” jelas si Ustadz dengan nada yang lemah lembut tetapi tegas.
Si murid mengerut dahi, berfikir.
“Agak-agak apa yang kamu nampak? Orang atau haiwan?” si Ustadz terus menyambung dengan bertanya kepada murid tersebut dengan nada bergurau.
“Tentulah saya nampak orang, Ustadz. Takkanlah saya nampak haiwan…” jawab si murid tersebut dengan nada perlahan sambil menundukkan wajahnya. Beliau faham dengan mesej yang cuba disampaikan oleh Ustadznya itu.
Ingat tuan/puan sekalian, selagi kita ini bergelar manusia, maka selama itulah kita wajib tunduk dan patuh dengan kehendak pencipta kita, iaitu ALLAH. Haiwan tidak ditaklifkan (dipertanggungjawabkan) ke atasnya akan segala perintah dan larangan Tuhan. Sebaliknya kitalah yang manusia ini mesti menjalankan semua perintah dan suruhan ALLAH `Azza wa Jalla. Serta menjauhi segala laranganNYA.
ALLAH Ta`ala berfirman:
“Dan tidak AKU jadikan jin dan manusia, kecuali untuk beribadah kepadaKU” (Surah Adz-Dzariyaat, 51:56)
Fikir-fikirkan. Allahu A`lam.
SUMBER: http://muzir.wordpress.com/2011/08/14/tak-perlu-puasa-jika-tiada-orang/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan