Utusan meroyan lagi

Aspan Alias

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhb1H5_Sm135WolrPPngZ9mGjVNcWSX5Va2lAbeOzKx6MDcKvSZxrouhBJkzZiy6XxmHT3XkQZl7CrS4L0-w28hUwvtj3gBExDNQm_M9NGdvpVNFoY72x8erCZ_4s94FxX9JOVyYVB8-L5g/s1600/tengku-razaleigh-hamzah.jpg
Utusan Malaysia sekali lagi memandang penubuhan AMANAH oleh YBM Tengku Razaleigh sebagai isu penting dalam kolum ‘cuit’nya. Beliau memberi pandangan yang pesimistik terhadap penubuhan AMANAH, sebuah NGO baru pada 22hb Julai yang lepas. Penulisnya Zaini Hasan memberikan pandangan yang negatif terhadap NGO ini sambil menuduh AMANAH sebagai satu lagi pertubuhan yang akan memecahkan lagi umat Melayu.


Apa sahaja yang dilakukan oleh mereka yang tidak begitu digemari oleh pihak pemerintah adalah usaha memecah belahkan rakyat Melayu. Tetapi segala tindakan Utusan memecah belahkan orang Melayu seperti menghina dan merendahkan usaha kumpulan siasah seperti PAS dan yang lain itu tidak ada apa-apa masalah. Itu tindakan yang baik dan jujur.

Hanya Utusan sahaja yang boleh melaga-lagakan orang Melayu dan Utusan tidak pernah berhenti dan berusaha untuk mengampu kerana kepentingan beberapa orang di dalamnya serta akhbar itu sendiri. Utusan tidak lebih dari badan propaganda untuk setengah pihak dan tentulah pihak-pihak itu adalah pihak yang mempunyai kuasa sahaja. Kalaulah Nik Aziz pula ditakdirkan tuhan diberikan mandat oleh rakyat Utusan akan bertukar corak dan mengampu Nik Aziz pula. Utusan selalunya akan berada di pihak ‘the buttered side of the bread’.

Utusan patut sedar yang UMNO bukan lagi sebuah parti kebangsaan dan UMNO bukan lagi parti tempat Melayu mengasah kepimpinan. UMNO hanya berjaya mengeluarkan pengampu dan pembodek-pembodek…yes man..yes sir…I’ll do anything for you sir dan bertanya ‘how was my spinning on that issue’ dan sebagainya. Utusan tidak suka Melayu berpadu dan bersatu. Utusan hanya mahu mengampu setengah pihak yang berkuasa sahaja. Utusan sudah ketinggalan zaman, kerana orang Melayu tetap mahu berpadu tetapi mereka cenderung untuk bersatu di luar UMNO.

UMNO yang sudah jelas kekurangan sokongan ini masih hendak di belahkan lagi oleh Utusan. Kalau setakat membuat tuduhan semborono, saya sendiri pun boleh melakukannya. Contohnya Utusan sedang menjadi ‘conduit’ terhadap setengah pihak untuk ‘admonish’ Najib dan mempromosi pihak lain. Utusan merupakan akhbar yang memecah belahkan UMNO yang sudah mengecil sokongan rakyat pada hari ini. Utusan mahukan Najib berhenti supaya pihak lain mengambil alih tempatnya (Najib).

Kadang-kadang saya pun cenderung untuk mempercayai yang UMNO sendiri sedang berpecah belah dari atas sehingga kebawah-bawahan. Najib dan Hishamuddin nampaknya kesaorangan dalam UMNO. Pandangan ini terbit dari cara Utusan membawa isu dalaman UMNO. Saya juga ingin bertanya kepada Utusan apakah teori permainan 3M itu merupakan teori yang benar?

Saya bertanya kerana ramai di kalangan dalaman UMNO selalu bercakap yang Najib bukanlah pilihan orang berpengaruh di dalam UMNO untuk dijadikan PM. Mereka mahukan Muhyidin. Tetapi keadaan semasa itu tidak membolehkan Muhyidin untuk naik ketempat numbor satu kerana Najib merupakan orang nombor 2 dan beliaulah yang sepatutnya dari segi lazimnya mengambil alih Pak Lah yang sedang memikirkan untuk meletakan jawatan.

Kumpulan ini merasakan Najib boleh diangkat sebagai ‘stop-gap’ PM kerana Najib mempunyai baggage yang terlalu besar. Maka apabila sampai masanya Najib amat mudah untuk diketepikan kerana bagage yang ada kepada beliau itu. Saya memikirkan itu hanyalah sebagai teori main-main dan tidak pula mengambil teori itu secara serius. Tetapi apabila Utusan memaparkan isu Altantuya, Scorpene dan sebagainya baru-baru ini maka ramai telah kembali percaya kepada teori Najib sebagat PM stop-gap yang disebut ramai semasa itu.

Oleh kerana itu Najib sepatutnya melihat dan memberikan fokus kepada isu dalaman UMNO kerana ada kumpulan yang sedang memberikan sokongan membawa rebah kepada Najib. Najib harus sedar yang musuh beliau bukannya parti pembangkang tetapi pemimpin dalam UMNO itu sendiri. Musuh yang terang mudah bagi Najib untuk menghadapinya. Yang paling susah bagi Najib ialah dengan musuh dalam selimut yang boleh diibaratkan harimau yang senyap-senyap menghendap untuk menerkamnya.

Jadi Utusan elok diperhatikan dengan teliti tentang sikap dan pandangannya terutamanya barisan editorialnya itu. Sebagai ahli UMNO yang begitu lama saya selalu terjumpa permainan seperti ini dalam parti ini sejak 3 dekad yang lalu. Pandai tidak ada tetapi pengalaman itu ada sikit-sikit.

Utusan mesti belajar dari pengalaman orang atau bangsa lain untuk membina kepimpinan Melayu ini. Kita tidak payah pergi jauh. Kita belajar dari kecekapan orang India dalam membina kepimpinan bangsanya dan juga dari bangsa Cina yang begitu serius untuk membina kepimpinan yang berkualiti, bukan sahaja dari kelulusan akademik mereka tetapi juga dari taburan kepimpinan mereka dalam banyak pertubuhan dan parti-parti politik.

Orang India sinonim dengan MIC tetapi apabila MIC berpecah belah orang India menyertai parti-parti politik yang lain seperti DAP, PKR, PPP serta IPF. Oleh kerana itu kaum India mempunyai ramai wakil di dalam dewan-dewan Legistif di negeri-negeri dalam Persekutuan ini serta Dewan Parlimen dan Dewan Negara. Mereka ada di mana-mana. Tetapi sebaliknya orang Melayu hanya mempunyai UMNO untuk mengasah kepimpinan mereka.

Tetapi apabila UMNO sudah menjadi parti taukeh maka kepimpinan tulin dalam UMNO secara beransur-ansur di ambil alih oleh taukeh-taukeh baru Melayu dan dengan kekuatan kewangan mereka telah mengambil alih kepimpinan yang baik di dalam UMNO. Pemimpin UMNO sekarang di penuhi oleh mereka yang mempunyai kepentingan perniagaan dan parti itu hanya tinggal sebagai parti ‘the rich and the famous’.

Mereka yang memimpin ini sebaliknya menggunakan ahli-ahli yang mudah diperbodohkan dan menjadikan ahli-ahli di bawah seperti lembu untuk di arah membajak sawah-sawah yang luas. Tetapi yang kenyang adalah tikus-tikus gemuk di kapok padi.

UMNO gagal membina kepimpinan kerana pemimpin-pemimpinnya di saluti dengan nafsu untuk menjadi kaya raya, kalau boleh dalam masa yang singkat. Itu sebabnya UMNO mula kehilangan pimpinan sejak Dr Mahathir menjadi pemimpin utama kerana beliau tidak perlu manusia berkepimpinan bersama beliau. Beliau memimpin mengikut kehendak hati beliau kerana beliau telah membina barisan kepimpinan dibawah beliau sebagai ‘yes man’, ‘yes sir’, sahaja.

Mereka yang berkepimpinan telah beliau ketepikan secara sistematik dan akhirnya beliau mentadbir negara dengan dibantu oleh mereka-mereka yang boleh dipanggil anak oleh beliau. Masih ramai yang menganggap beliau sebagai negarawan sedangkan beliau masih bermain dengan politik dan menjadi duri dalam daging dalam UMNO.

Malahan beliau merupakan elemen yang tidak kurang besarnya yang menyebabkan UMNO tersungkur dalam pilihanraya yang lalu dengan bertindak keluar dari UMNO yang beliau tubuhkan sendiri pada tahun 1988 dahulu. Beliau keluar UMNO pada penghujung 2007 semata-mata kerana marahkan Pak Lah dan beliau ingin benar melihat Pak Lah tersungkur.

Semuanya itu adalah politik peribadi. Budaya inilah yang telah dididik terhadap ahli-ahli UMNO dan itu sudah menjadi budaya dalam parti itu sekarang ini. Oleh kerana budaya ugut mengugut begitu hebat di dalam UMNO budaya itu juga menjadi budaya dalam BN sendiri. Apabila kaum India mengugut untuk menarik sokongan maka dilantik pula Palanivel menjadi Menteri dan jika di campur dengan jawatan yang diberikan kepada Samy Velu maka lengkaplah jumlah ahli kabinet 40 orang semuanya.

Teringat pula saya kepada filem Ali Baba Bujang Lapok, arahan P Ramlee. Dalam filem itu ada 40 orang penyamun yang kerjanya menyamun sepenuh masa. Tetapi dalam filem itu penyamun-penyamun itu menyamun ada hadnya. Di hari minggu mereka tidak menyamun. Hari cuti umum mereka tidak menyamun. Apabila diminta menyamun mereka menjawab, “Tak boleh, hari ini hari minggu, kita tidak menyamun pada hari minggu dan cuti umum”.

Dailog ini patut didengari oleh mereka yang terpalit dengan rasuah kerana moral ceritanya ialah, kalau hendak menyamun pun ada hadnya. Tidak boleh menyamun terus terusan.

Dengan keadaan seperti ini di dalam UMNO maka tidak mungkin UMNO mampu membina kepimpinan yang serius sampai bila-bila. Yang jelas berkemampuan untuk membina kepimpinan ialah PAS dan DAP. Mereka serius dan mampu menjana kepimpinan yang jitu untuk menghadapi pilihan rakyat tidak lama lagi.

Maka sekarang sudah mula ramai orang Melayu bersedia untuk mengasah kepimpinan melaui parti-parti PAS dan DAP. Tidak berapa ramai yang ingin mengasah kepimpinan dalam PKR kerana di dalam PKR budaya UMNO itu masih subur kerana Budaya itu dibawa masuk oleh pemimpin-pemimpin UMNO yang mentertai Anwar dalam pertelingkahan beliau (Anwar) dengan boss besarnya Dr Mahathir Mohammad. Jika ini berlaku maka kita mesti terima perubahan ini dengan fikiran terbuka.

Kata orang , ‘sekali ombak memukul sekali pasir berubah’.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan