Dr. Ubaidullah Mustaffa
Pengenalan
Sudah agak lama Christchurch tidak bergegar. Gempa bumi yang meruntuhkan pusat bandaraya Christchurch telah menyepi hampir sebulan. Barangkali sepi menyambut Ramadan dan Aidil Fitri yang penuh rahmat. Salji tebal sudah dua kali melitupi bandaraya kedua terbesar di New Zealand ini. Heboh seluruh dunia tentang berita salji tebal melanda New Zealand. Jabatan kajicuaca New Zealand mengesahkan bahawa kejadian salji tebal pada kali ini bukan perkara biasa. Kali terakhir salji tebal menimpa New Zealand ialah hampir 50 tahun yang lalu.
Seperti biasa salji lebat mula turun pada waktu malam. Angin bertiup sangat kencang sehingga bergegar segala pintu tingkap rumah. Apabila salji putih melitupi bumi, waktu malam menjadi cerah seperti siang. Kegelapan malam hilang dan saya dapat melihat keindahan malam yang terang benderang. Aneh tapi benar! Malam sepatutnya gelap gelita. Kagum saya dengan kebesaran Allah swt yang telah menunjukkan kebesarannya.
Dengan rasa penuh keinsafan dalam hati dan jiwa saya melangkah keluar rumah untuk melihat sendiri kebesaran Allah swt yang diturunkan dari langit yang tiada bertiang dan tiada sempadan. Apabila saya mendongak ke atas saya dapat melihat awan bergerak tersangat laju kerana ditiup angin kencang. Alangkah bertuahnya kalau saya dapat merakam kejadian tersebut untuk dikongsi bersama-sama tetapi kamera saya dibasahi salji dan berkabus kerana terlampau sejuk. Di celah-celah awan bergerak laju kelihatan bintang-bintang bertaburan di langit. Saya terpaksa cepat-cepat masuk semula dalam rumah kerana tidak tahan dengan suhu yang mencecah -12ºC. Pada malam itu saya dan keluarga bersahur dalam kesejukan yang amat sangat walau pun pemanas dipasang maksima.
Salji tebal ini mungkin tidak setebal salji di Kutub Selatan tetapi mengikut Jabatan Kajicuaca New Zealand telah berlaku fenomena polar blast iaitu ribut salji kuat yang berpunca dari Antartika.
Polar Blast di Malaysia
Konsep Negara Berkebajikan yang dibawa oleh Pakatan Rakyat sebagai persiapan minda rakyat untuk PRU13 nampaknya mempunyai kesan sama seperti polar blast di New Zealand. Pemerintah menjadi seram sejuk walau pun panas membahang dan segala yang dibuat rasa tidak mengena. Nak kata terkena demam denggi mungkin tidak, kerana kontrak jutaan ringgit telah dikeluarkan untuk memburu dan membunuh nyamuk aedes. Sekali terfikir kasihan juga dengan nasib nyamuk aedes yang dicipta tuhan boleh membawa penyakit. Kerap kali berlaku nyamuk Aedes tidak mati tapi duit habis dibelanjakan.
Pemerintah yang memerintah tanpa acuan pemikiran yang ikhlas terhadap rakyat bukan sahaja bakal dibekukan polar blast malah boleh juga disalai bakar oleh solar blast menjadi debu. Apabila pemimpin menjadi musuh rakyat maka hayat pemimpin sudah berada dihujung tanduk hanya tunggu masa jatuh pecah bersepai sahaja. Lihat sahaja apa yang berlaku pada Ghadafi, Mubarak dan jangan kita lupa nasib yang menimpa Raja Bersiong dahulu. Semua mereka musnah akibat tidak mahu menghormati rakyat dan lupa diri bahawa mereka juga adalah di kalangan rakyat. Rakyat yang meletakkan mereka dimercu kuasa dan rakyat juga akan menghumban mereka ke kancah kehinaan. Hanya tunggu detik dan masa sahaja.
Mani Plastik
Perhatikan bagaimana drama usung tilam ke mahkamah kini bersambung dengan sequel drama air mani yang tidak reput-reput. Drama jijik ini cepat tersebar di seluruh dunia dan sebagai rakyat Malaysia di luar negara saya berasa amat malu apabila Malaysia dipermainkan dengan ejekkan bahawa tuhan menjadikan air mani Malaysia dari plastic, sebab itu tidak reput-reput dan bahaya pula pada alam sekitar.
Sequel drama jijik ini perlu diberhentikan kerana rakyat meletak pemerintah di mercu kuasa bukan untuk menayangkan sequel drama kotor lagi menjijikan. Mereka di amanahkan rakyat untuk menjaga kebajikan rakyat, mengawal inflasi, menjaga keselamatan negara, mengawal pendatang tanpa izin yang melimpah-limpah di negara kita dan bermacam-macam lagi isu penting kenegaraan.
Pendatang tanpa izin bermaharajalela di negara kita. Mereka guna segala kemudahan yang kita bina menggunakan dana cukai negara kita. Anak-anak mereka membanjiri sekolah-sekolah kita dan menambah beban pada guru-guru. Mengapa tidak dibendung kawal masalah ini? Mengapa masa yang ada digunakan untuk bertelagah tentang air mani plastik?
Pemerintah terlampau sibuk menonton sequel drama sehingga masalah kecil negara seperti masalah anjing liar pun tidak mampu untuk diselesaikan. Apa mereka peduli kerana anjing liar menggigit rakyat bukan menggigit mereka. Mereka terlampau sibuk dengan argumentum ad hominem, sibuk dengan menangkap rakyat untuk ISA & EOA, sibuk dengan AirAsia/MAS, sibuk dengan Lynas, sibuk dengan DNA, sibuk dengan pelbagai hal lagi sehingga masalah asas rakyat seperti makanan dan minuman tidak dapat diselesaikan dengan baik. Malang sungguh rakyat Malaysia mempunyai pemerintah yang gagal menyelesaikan sekecil-kecil masalah seperti masalah anjing liar dan masalah besar seperti pendatang haram. Jauh sekali mereka dapat menyelesaikan masalah kebajikan rakyat Malaysia kerana mereka terlampau sibuk dan tersangat sibuk.
Argumentum ad hominem
Jangan menyerang peribadi orang (argumentum ad hominem) atau suka mengaibkan orang lain kerana satu hari Allah swt akan mengaibkan diri kita sendiri. Konsep ini adalah satu etika dalam Islam. Ugama Hindu ada menyebut tentang hukum karma yang membawa maksud etika kehidupan yang hampir sama. Falsafah Yunani purba pula membawa konsep sebab dan akibat (cause & effect) dalam kehidupan. Semua falsafah kehidupan ini memberi peringatan pada manusia supaya berhati-hati di dalam melakukan sesuatu tindakan kerana akhirnya akan kembali kepada diri kita sendiri jua.
Sebenarnya, setiap insan ada sejarah baik buruknya dalam menjalani sebuah kehidupan. Tidak ada seorang insan pun yang maksum kecuali para anbiya dan rasul. Malaikat juga tidak berdosa tetapi malaikat bukan dari kalangan insan manusia.
Apa yang menarik ialah pemimpin dari komponen Pakatan Rakyat tidak pernah menghina peribadi (argumentum ad hominem) pihak pemerintah sehingga ke peringkat mahkamah. Mereka konsisten membangkang dasar-dasar kenegaraan yang dilaksanakan oleh pemerintah dan tidak pernah menyalah guna institusi mahkamah. Itu cara gentleman berpolitik.
Ini bukan bermakna insan-insan yang memerintah itu maksum seperti para anbiya, rasul atau malaikat. Semuanya bergelumang dengan noda dan dosa kerana memang begitu lumrahnya setiap insan ciptaan Allah swt. Maka, jangan insan-insan pemerintah ini menganggap diri mereka suci lagi menyucikan (atau suci dalam debu) dan menggunakan mahkamah untuk palit najis pada maruah insan yang lain. Menyerang isu dan dasar kenegaraan adalah etika professional tetapi menyerang isu peribadi adalah permainan kotor tiada etika dalam berpolitik. Peringatan saya ialah takut bimbang kalau-kalau hukum karma atau cause & effect akan makan diri sendiri.
Rakyat New Zealand sama ada orang awam atau ahli-ahli politik lebih mengenali Dato’ Seri Anwar Ibrahim dari YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Tun Razak. Mereka kagum dengan kesabaran dan ketinggian hemah politik Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Pada pandangan mereka, Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah ahli politik yang ikhlas kerana tidak pernah sekali pun beliau menyerang peribadi sesiapa dalam kerajaan walau pun beliau tahu banyak maklumat tentang mereka.
Semasa debat di TV antara Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan Dato’ Shabery Cheek dahulu saya dapati Dato Shabery Cheek sudah mula membuat serangan peribadi tetapi Dato’ Seri Anuar Ibrahim hanya mencuit sedikit sahaja latar belakang anti UMNO Dato’ Shabery Cheek dahulu. Itu pun secara berjenaka sahaja.
Saya masih menyimpan rakaman debat tersebut kerana di dalamnya saya dapat melihat apa yang tersirat dan keikhlasan jiwa Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Semoga Dato’ Seri Anwar Ibrahim dapat membentuk kerajaan majoriti pada pilihanraya umum ke 13 nanti. Pada pendapat saya gabungan tenaga antara Dato’ Seri Hj Nizar Jamaluddin dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan menghasilkan kekuatan symbiotic yang diperlukan untuk muncul pemenang dalam pilihanraya umum akan datang. Kedua-dua pemimpin ini mempunyai karisme untuk menang dan mempunyai daya kepimpinan yang tinggi.
Kebajikan semua lapisan rakyat
Semua manusia suka kepada kebajikan. Hanya manusia yang sesat hati jantung sahaja yang benci pada kebajikan. Hampir semua rakyat Malaysia suka kepada negara berkebajikan dan mahu wujudnya sebuah negara yang berteraskan kebajikan terhadap rakyatnya. Mungkin ada segelintir rakyat Malaysia yang menolak kewujudan negara berkebajikan. Mereka mungkin mempunyai alasan mereka sendiri tetapi apa yang pasti, alasan menolak kewujudan negara berkebajikan adalah amat naïve atau terjemahan saya daif pemikiran.
Kumpulan naïve ini akan bersetuju dengan kenaikan harga minyak, bersetuju dengan kenaikan harga barang keperluan harian, bersetuju dengan kenaikan harga letrik, bersetuju dengan kenaikan kadar tol dan bersetuju dengan apa sahaja yang dibuat oleh kerajaan. Kumpulan ini ibarat patung wayang kulit yang bergerak ikut rentak dalang. Mereka terdiri dari bijak pandai tetapi rela diperkuda pemikiran mereka oleh dalang-dalang yang sentiasa memberi janji manis sebagai habuan. Mari kita berdoa agar kumpulan naïve ini sedar tentang hak-hak mereka yang sedang dinoda-nodi oleh pemerintah serta meninggalkan dalang-dalang yang sedang memperhambakan pemikiran mereka.
Kerajaan New Zealand membantu umat Islam
Kerajaan New Zealand menyediakan skim kebajikan bukan sahaja kepada kakitangan kerajaan. Percaya atau tidak mereka menyediakan skim kebajikan kepada semua lapisan rakyat mereka termasuk semua orang luar yang diberi taraf pemastautin tetap. Ini termasuk semua pelarian (refugees) dari negara Iraq, Sudan dan Somalia yang berugama Islam. Kerajaan New Zealand pada dasarnya adalah penganut Kristian tetapi mereka membantu beribu-ribu pelarian Islam yang dibawa masuk ke negara mereka.
Setiap pelarian Islam diberi duit bantuan setiap minggu sehingga terdapat ramai pelarian Islam yang mengambil kesempatan tidak mahu bekerja walau pun badan sihat walafiat. Bantuan kewangan yang diberikan adalah untuk membayar sewa rumah, bayar bil letrik, makan dan minum serta lain-lain keperluan. Ibu atau bapa tunggal yang mempunyai anak-anak mendapat bantuan kewangan yang lebih kerana setiap anak-anak di bawah tanggungan diberi bantuan kewangan. Tidak timbul soal cubaan memurtadkan orang Islam dalam hal kebajikan seperti ini. Apakah menjadi murtad orang-orang Islam di Christchurch kerana menerima bantuan kebajikan dari umat Kristian? Tidak ada seorang pun orang Islam yang murtad kerana menerima kebajikan dan berbuat baik dengan umat Christian di Christchurch.
Umat Islam dan umat Kristian di Christchurch saling hormat menghormati walau pun taraf mereka sebagai pemerintah adalah lebih tinggi dari umat Islam di sini. Taraf mereka lebih tinggi bukan sahaja sebagai pemerintah tetapi kerana kesanggupan mereka menghulur bantuan kewangan pada umat Islam. Kedudukan tangan yang memberi adalah sentiasa lebih tinggi dari tangan yang menerima. Kenapa di negara kita isu murtad dan memurtadkan dijadikan isu besar sehingga membesarkan jurang permusuhan antara dua ugama utama iaitu Islam dan Kristian? New Zealand telah buktikan bahawa umat Islam dan Kristian boleh hidup bersama-sama dalam sebuah negara dengan cara aman harmoni penuh perpaduan dan persaudaraan. Kalau New Zealand boleh lakukan tentu kita boleh lakukan juga. Syaratnya mesti ada kemahuan dalam hati, saling hormat menghormati dan saling percaya mempercayai. Elakkan kontroversi tingkatkan produktiviti.
Tidak perlu ke Vatican City untuk perpaduan
Di Christchurch terdapat satu organisasi gereja bernama Riccarton Baptist Church yang membawa slogan Helping People Follow Jesus. Fahaman mereka ialah Jesus mahu manusia menolong manusia lain tanpa batasan fahaman ugama. Perkataan kunci di sini ialah menolong yang sama ertinya dengan membantu atau berbuat kebajikan sesama manusia. Dalam Alquran juga ada perintah kita membantu sesama manusia, perintah membayar zakat adalah untuk membantu sesama manusia dan sedekah adalah konsep membantu sesama manusia. Allah swt adalah tuhan sekelian alam bukan tuhan umat Islam sahaja.
Ramai umat Islam yang mengunjung ke pejabat ini untuk mendapat bantuan bagi mendapat pekerjaan. Orang awam tanpa mengira bangsa atau ugama akan mengunjung ke pejabat ini untuk mendapatkan bantuan yang diberi secara percuma. Di sini tidak timbul isu murtad atau memurtadkan umat Islam. Dari bertelagah tentang isu murtad, lebih baik umat Islam meniru langkah kebajikan ini serta menawarkan bantuan kebajikan kepada semua manusia tanpa mengira bangsa, ugama atau fahaman politik. Ingat, hampir semua manusia suka kepada kebajikan kecuali segelintir manusia yang sesat hati jantung benci pada kebajikan.
Berkaitan isu ini saya menyanjung tinggi pendekatan yang digunakan oleh Pakatan Rakyat terutamanya PAS dalam menangani isu serbuan gereja oleh JAIS. Jelas sekali PAS sebagai parti berlandaskan Islam boleh bekerjasama dengan semua penganut ugama lain di Malaysia. Pakatan Rakyat tidak perlu pergi ke Vatican City untuk berbuat baik dengan umat Kristian di Malaysia dan di seluruh dunia.
Malangnya, ada pihak tertentu di Malaysia yang menggunakan sentiment bangsa dan ugama untuk meretakkan perasaan kasih sayang antara rakyat Malaysia untuk menyemai benih-benih permusuhan. Pihak ini telah pergi menziarah Vatican City, berjumpa dengan ketua ugama tetapi tidak menyumbang kepada perpaduan antara ugama. Mereka hanya membazir duit rakyat kerana segala kos perjalanan termasuk tuntutan elaun perjalanan adalah dibayar oleh rakyat Malaysia dari pelbagai ugama.
Semua rakyat Malaysia mesti sedar bahawa mereka sedang diadu domba oleh tangan-tangan ghaib yang membaling batu sembunyi tangan. Umat Islam sebenarmya boleh bertolak ansur dan sangat menghormati bangsa-bangsa lain. Umat Islam tidak kisah jika tidak memasang bacaan Alquran di pembesar suara kerana yang penting bukan nyaringnya bacaan Quran tetapi memahami dan mengamalkan ajaran yang terkandung di dalamnya. Tidak ada faedah kepada sesiapa jika bacaan Alquran dinyaringkan pada pembesar suara dan tidak ada insan yang memahaminya. Lebih baik membaca sendiri dan mengambil masa sendiri untuk merujuk kepada makna dan tafsirnya supaya lebih melekat di jiwa dan hati nurani.
Malaysia House di Christchurch
Semasa saya melawat Malaysia House di Christchurch iaitu sebuah rumah disewa oleh rakyat Malaysia khas untuk penginapan pelawat-pelawat Malaysia yang mengunjungi Christchurch pada kadar murah berkonsepkan Homestay (email: eco_ranger1@yahoo.com), saya terjumpa dengan Nicky Wagner iaitu seorang Ahli Parlimen dari National Party. Nicky Wagner terus menegur saya dan saya mengambil kesempatan tersebut untuk berbincang tentang Negara Kebajikan New Zealand.
Menurut Nicky Wagner setiap rakyat New Zealand termasuk penduduk tetap samada dari kalangan pelarian (refugees) atau pemastautin kategori pekerja mahir (skilled migrant category) akan mendapat skim pesara bernama Superannuation setelah mencapai usia 65 tahun tanpa mengira rakyat itu kakitangan kerajaan atau swasta atau bekerja sendiri. Kadar bayaran sekarang ialah NZ$380.00 untuk seorang seminggu. Isteri dan suami akan mendapat bantuan masing-masing, tanpa perlu berkongsi duit persaraan.
Sebagai tambahan mereka telah mencipta skim KiwiSaver yang berfunsi seperti KWSP tetapi lebih baik dari KWSP. Skim KiwiSaver adalah lebih baik dari KWSP kerana kerajaan New Zealand turut memberi sumbangan tambahan yang agak tinggi kepada setiap pencarum KiwiSaver.
Negara New Zealand hanyalah sebuah negara pertanian yang bergantung kepada lembu susu, kambing dan perhutanan. Industri berat bukan punca rezeki mereka hanya industry berkaitan pertanian sahaja.
Bandar Little River ini adalah contoh sebuah bandar pertanian di New Zealand. Sekeliling bandar ini terdapat ladang ternakan lembu dan kambing. Tiada kilang yang mengeluarkan asap. Udara di sini tidak dicemari oleh bahan buangan dari kilang-kilang industri. Di Malaysia kerajaan heboh dengan konsep pertanian sebagai perniagaan tetapi gagal untuk menghasilkan sumber makanan yang mencukupi untuk rakyat. Kegagalan dalam bidang pertanian berlaku kerana kerajaan dan agensi kerajaan tidak mahir dengan metodologi pengeluaran pertanian pada skala besar seperti yang dilakukan di New Zealand. Tambahan lagi kerajaan gagal mengurus tanah-tanah terbiar untuk pengeluaran pertanian.
Namun begitu, hasil negara New Zealand dapat memberi kebajikan kepada seluruh rakyat mereka bukan hanya kepada kakitangan kerajaan sahaja seperti di Malaysia. Apa industri yang tidak ada di Malaysia? Segala jenis industri bangun di Malaysia seperti cendawan tumbuh di musim hujan. Ada industry kimia, industri plastic, industri pharmaceutical, industri petroleum, industri bioteknologi, industri bahan komposit, industri automotif dan bermacam-macam jenis industri lagi. Terakhir sekali industri Lynas. Malangnya, pemerintah bimbang negara akan bankrap jika menghulur bantuan kebajikan kepada rakyat. Namun begitu, pemerintah yang sama tidak bimbang negara bankrap kerana membina bangunan beratus tingkat dan membuat projek mega. Malang sungguh rakyat Malaysia kerana tersalah pilih orang untuk memegang amanah negara bagi pihak rakyat.
Nicky Wagner iaitu bekas guru di Hagley College yang bertukar profession menjadi ahli politik percaya bahawa politik berasaskan kebajikan rakyat akan bertahan lama tetapi politik berasaskan kepentingan peribadi dan kaum puak parti akan berkubur suatu hari nanti. Nicky Wagner memberitahu saya bahawa untuk terus menyumbang kepada kebajikan rakyat negara New Zealand mesti mempunyai kekuatan ekonomi bertaraf dunia. Katanya, kekayaan ekonomi itu mesti dikembalikan kepada hak yang punya iaitu rakyat dan bukan dicuri oleh sesiapa sama ada ahli politik atau kroni-kroninya. Beliau berusaha untuk memberi pendidikan berkualiti tinggi pada kadar yuran murah supaya semua rakyat New Zealand mempunyai kemahiran bertaraf dunia.
Menurut Nicky Wagner lagi undang-undang buruh New Zealand memperuntukkan paling minima cuti berbayar gaji ialah 20 hari cuti tahunan setahun, 11 hari cuti berkanun setahun dan cuti sakit 5 hari setahun. Bayaran gaji di New Zealand di bayar mengikut jam dan gaji paling minima di New Zealand ialah NZ$15.00 sejam.
Selain dari itu Nicky Wagner telah berjaya meluluskan usul di Parlimen untuk mengharamkan Arak/ Alcohol di tempat-tempat awam bagi melindungi keselamatan awam dari keganasan yang di sebabkan oleh pemabuk-pemabuk arak/ alcohol.
Rakyat Adalah Hakim
Menurut pendapat Nicky Wagner, rakyat adalah hakim kepada ketelusan dirinya dan juga parti politiknya. Rakyat berhak mengundi dan menentukan sama ada beliau masih layak memegang jawatan yang disandangnya dan parti politiknya berhak kekal atau dihalau rakyat dari memerintah.
Apabila Nicky Wagner bercakap begitu teringat saya tentang kejadian yang berlaku di Perak. Sebenarnya, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry bin Abdul Kadir tidak layak menjadi Menteri Besar Perak kerana beliau tidak mendapat kuasa dari rakyat. Rakyat tidak memberi kuasa pada beliau tetapi beliau tetap mahu menjadi Menteri Besar. Keputusan mahkamah tidak boleh menggantikan kuasa dan suara rakyat. Kuasa dan suara rakyat telah dihina oleh pemerintah dengan begitu senang sekali. Menteri Besar yang dilantik rakyat iaitu Datuk Seri Ir. Hj. Mohammad Nizar Jamaluddin telah diketepikan bukan dengan kehendak rakyat. Padahal penyelesaian terhadap isu Menteri Besar Perak terletak di tangan rakyat dan bukannya di mahkamah.
Pakatan Rakyat sedar tentang hak mereka tetapi sebagai parti politik yang menghormati institusi kenegaraan maka terpaksa membiarkan masa untuk menentukan siapa yang benar. Pihak pemerintah pula berharap agar masa dapat membuatkan rakyat lupa. Pada mereka rakyat memang mudah lupa (sila rujuk ucapan Tun Dr. Mahathir). Mereka takut dan bimbang untuk mengadakan pilihanraya serta tercari-cari formula untuk memenangi beberapa pilihanraya kecil atau pilihanraya negeri atau pilihanraya umum. Mungkin terjumpa formula salah lantas digunakan. Rakyat menjadi marah dan memberontak. Menang pilihanraya dengan cara salah atau formula salah memang mengundang masalah. Jangan dicuba dan jangan dibuat oleh sesiapa kerana pasti senjata akan makan tuan.
Sebagai kesimpulan, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya dari Christchurch untuk semua umat Islam di Malaysia. Semoga Allah swt menerima ibadah puasa kita, melimpahkan rahmat ke atas kita semua dan memberi hidayah ke arah pembentukan negara berkebajikan di Malaysia. Amin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan