Mohd Sayuti Omar
BANGUNAN Angkasapuri yang terletak di Bukit Angkasa di Lembah Pantai/Kerinchi yang menempatkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di atas tanah seluas 33 hektar bakal bertukar tangan tidak lama lagi apabila tanah itu akan dijual.
Dari sumber-sumber tertentu memberi tahu proses penjualan Angkasapuri sedang dalam proses terakhir. Kawasan itu dijangka akan dimajukan untuk tujuan komersial.
Sehubungan itu pusat penyiaran milik kerajaan sepenuhnya itu akan dipindahkan ke Putrajaya. Sebuah bangunan berhampiran PICC – Pusat Persidangan Antarabangsa Puteraraja dikhaskan untuk pusat penyiaran itu. Selepas ini radio dan televisyen Malaysia akan beroperasi di Putrajaya.
Bangunan itu juga khabarnya akan menempatkan Kementerian Penerangan, Komunikasi Multimedia dan Kebudayaan, di mana semua jabatan dan agensi kementerian itu akan ditempatkan di bangunan berkenaan.
Tidak diketahui secara jelas kenapa tanah Angkasapuri seluas 33 hektar itu dijual? Sehingga ini menteri bertanggungjawab masih belum membuat apa-apa ulasan berhubung penjualan Angkasapuri. Adalah sangat diharap Rais Yatim yang merupakan menteri bertanggungjawab dapat memberi penjelasan lanjut.
Penjualan tanah Angkasapuri itu akan menyaksikan satu lagi monumen sejarah dan mercu tanda negara ini akan hilang. Bangunan yang mempunyai sentimental value itu tidak akan kelihatan lagi dan secara tidak langsung penjualan itu menggambarkan RTM menghadapi masalah kewangan yang teruk.
Bangunan Angkasapuri mulai dibina pada tahun 1966 dan siap dua tahun kemudian. Pusat penyiaran itu diberi nama Angkasapuri dibuka dengan rasminya oleh Perdana Menteri Malaysia, Tunku Abdul Rahman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan