Kulit hitam tak menghalang peserta dari Angola memenangi Ratu Cantik Dunia



LEILA LOPES dimahkotakan sebagai Ratu Cantik Universe Dunia oleh bekas pemenang tahun 2010, Ximena Navarrete dari Mexico di Sao Paulo kelmarin.

SAO PAULO, Brazil: Pelajar jurusan perniagaan dari Angola, Leila Lopes dimahkotakan sebagai Ratu Cantik Universe Dunia yang berlangsung di sini kelmarin dengan mengalahkan 88 peserta lain.

Berasal dari bandar Benguela di Angola, dia memenangi pertandingan ratu cantik itu setelah berjaya menarik perhatian barisan juri dengan kecantikan dan kebijaksanaannya.

Lopes, 25, ketawa dan mengukir senyuman apabila dia dipeluk oleh pemenang kedua dari Ukraine, Olesia Stefanko selepas diisytiharkan sebagai pemenang.

Pada awal pertandingan, Lopes diajukan soalan berhubung apakah bentuk fizikalnya yang perlu diubah jika dia boleh berbuat demikian.

Lopes terus menyatakan bahawa dia sudah berpuas hati dengan rupa parasnya yang dikurniakan Tuhan.

"Saya menganggap diri saya seorang wanita yang dikurniakan dengan kecantikan dalaman," katanya kepada panel juri dan penonton.

Lopes merupakan pemenang yang ke-60 dalam pertandingan tahunan berkenaan yang ditonton di televisyen oleh berjuta-juta orang di seluruh dunia.

Para peserta bertanding dalam beberapa kategori termasuk gaun petang dan pakaian renang selain perlu menjawab soalan kritikal bagi membantu panel juri membuat penilaian terhadap mereka.

Tempat ketiga dimenangi Ratu Cantik Brazil, Priscila Machado.

Ratu Cantik Filipina, Shamcey Supsup dan peserta dari China, Luo Zilin berjaya menempatkan diri dalam barisan lima finalis yang bertanding untuk menentukan pemenang selain Lopes, Stefanko dan Machado.

Pertandingan kali ini turut terpalit kontroversi apabila Ratu Cantik Colombia, Catalina Robayo diberi amaran kerana tidak memakai seluar dalam pada satu acara rasmi yang disertainya. 
-Agensi-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan