Layakkah Mismah dapat status warganegara?

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 27 Sept: Pemuda PAS mohon agar Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Alias Ahmad menjawab isu Mismah yang mendapat status penduduk tetap kepada rakyat Malaysia.
Pengerusi  Pemulihan Demokrasi & Mobilisasi Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat(gambar) juga memohon agar Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Datin Jariah Mohd Said memberi jawapan kepada rakyat Malaysia bagaimana Mismah yang mendapat status PR daripada Jabatan Imigresen tidak sampai satu tahun boleh diterima sebagai warganegara Malaysia pada 31 Januari 2011.
“Bukankah Mismah sudah melanggar peraturan Jabatan Imigresen? Apakah beliau layak untuk menjadi warganegara?” soalnya dalam satu kenyataan.
Beliau merujuk laporan Utusan Malaysia pada 23 September 2011, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Alias Ahmad telah membuat ulasan mengenai tuduhan rakyat Bagladesh mendapat status Penduduk Tetap atau Permanent Residen (PR) di negara kita. 
Kenyataan beliau adalah seperti berikut:
''Peraturan Imigresen sedia ada tidak membenarkan pekerja asing yang memegang pas lawatan kerja sementara untuk memohon PR di negara ini.”
 “Di bawah Akta Imigresen 1963, hanya suami atau isteri warga asing yang berkahwin dengan rakyat Malaysia berserta anak-anak berusia di bawah enam tahun dan menetap selama lima tahun berturut-turut di Malaysia layak memohon PR”.
“Permohonan turut dibuka untuk kumpulan pelabur, pakar serta golongan profesional yang diperakukan oleh agensi kawal selia.”
Justeru, Pemuda PAS berpendapat bahawa kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen adalah merujuk peraturan di jabatan tersebut seperti yang terdapat dalam laman berikut: http://www.pinoy-abroad.net/img_upload/9bed2e6b0cc5701e4cef28a6ce64be3d/Guide_to_Permanent_Residency__Malaysia_.pdf
Dalam peraturan yang terdapat dalam Jabatan Imigresen memberi syarat bahawa mereka yang memohon PR hendaklah memiliki entry permit  dan telah tinggal di negara ini selama 5 tahun. 
Kumpulan yang berkelayakan untuk mendapat entry permit adalah seperti kumpulan profesional, anak kumpulan profesional di bawah enam tahun, isteri kumpulan profesional, mempunyai  kebenaran daripada Menteri Dalam Negeri atas kepentingan ekonomi negara, anak bagi warganegara yang berumur bawah enam tahun dan kes-kes khas.
Kata Suhaizan, Pemuda PAS ingin merujuk kes  Mismah yang disiarkan pada 12 dan 14 Ogos 2011 oleh akhbar Sinar Harian.
Mismah atau nama sebenarnya adalah Nismah Binti Naim, 47, berasal daripada kepulauan Bawean, Indonesia. 
Suami beliau bernama  Mawasi Bin Mawardi, 51, juga mendapat status Penduduk Tetap. 
Mismah masuk negara kita pada tahun 1982 sebagai buruh binaan. Pada tahun yang sama iaitu 17 Julai 1982 Mismah sudah mendapat satus PR.
Menurut Suhaizan, ini memberi maksud bahawa tidak sampai satu tahun Mismah tinggal di negara ini beliau sudah memperolehi status PR.
“Kes Mismah ini bertentangan dengan kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Alias Ahmad yang menyatakan bahawa hanya suami atau isteri warga asing yang berkahwin dengan rakyat Malaysia berserta anak-anak berusia di bawah enam tahun dan menetap selama lima tahun berturut-turut di Malaysia layak memohon PR,” katanya.
Pemuda PAS, tambahnya berpendapat bahawa terdapat kemungkinan 4 perkara yang bertentangan dengan peraturan Jabatan Imigresen dalam kes Mismah mendapatkan status PR iaitu Mismah bukan seorang profesional, suami Mismah bukan seorang warganegara, suami Mismah bukan seorang profesional dan Mismah hanya tinggal tidak sampai satu tahun di negara ini.
“Mismah ini hanyalah satu kes contoh sahaja. Pemuda PAS sangat khuatir berkenaan pemberian status PR kepada ribuan warga asing dalam negara ini,” ujarnya yang juga Ketua Pemuda PAS Johor.
Beliau berkata, pemberian hak kerakyatan kepada mereka yang tidak layak dan bertujuan untuk kepentingan parti politik tertentu adalah suatu pengkhianatan kepada negara.
Tegasnya, Pemuda PAS akan terus mendedahkan kepada rakyat Malaysia berkenaan manipulasi dalam pilihan raya khususnya yang berkait dengan daftar pemilih dan undi pos.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan