Mat Sabu nafi salah guna wang PBAPP

RANTAU PANJANG: Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu (gambar) menafikan dakwaan beliau menyalahgunakan wang Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) bagi melunaskan bil rawatan akibat cedera semasa menyertai Perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), Julai lalu. 


Sambil menyelar tindakan Pemuda Umno yang membuat dakwaan tersebut, pemimpin nombor dua Pas itu berkata, kos rawatan beliau di Hospital Pakar KPJ Selangor berjumlah RM8,000 lebih termasuk kos konsultan sebanyak RM3,000. 

“Tetapi entah macam mana dapat dekat Pemuda Umno, kos pembedahan RM5,000, RM3,000 (lagi) Mat Sabu curi. Sebenarnya RM3,000 adalah kos konsultan pakar,” katanya semasa menyampaikan ceramah di pekarangan Pusat Tarbiah Parlimen Rantau Panjang, kelmarin. 

Sebelum ini, Ketua Penerangan Umno, Reezal Merican Naina Merican mendedahkan salinan memorandum pembayaran bertarikh 3 Ogos 2011 yang dirujuk sebagai ‘bayaran balik perbelanjaan perubatan ahli lembaga pengarah (PBAPP), Tuan Haji Mohamad Sabu’. 

Bayaran balik diluluskan itu bernilai RM8,434.05 iaitu terdiri daripada bayaran RM5,060.55 bagi perbelanjaan perubatan dan RM3,373.50 bagi kos bayaran perunding pembedahan dan persoalan timbul apabila bil Hospital Pakar KPJ Selangor yang dikepilkan bersama hanya berjumlah RM5,060.54.

-sinarharian-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan