Khairil Abdul Rahim
JERANTUT, 15 Sept: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu akan melancarkan kempen besar-besaran Tuntutan Mansuhkan Hutang Peneroka Felda pada 7 Oktober depan di Felda Tenang, Johor.
Pengerusi Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda (Anak), Mazlan Aliman (gambar) berkata, kempen tersebut sebahagian usaha untuk menyelesaikan persoalan antara peneroka dan Felda yang tidak pernah selesai.
“Para peneroka Felda yang sepatutnya hidup senang menurut idea dan perancangan Allahyarham Tun Razak selepas tanah ladang masing-masing menjadi hak milik, kini dihambat mimpi ngeri dibebani dengan hutang yang tidak pernah selesai.
“Yang sedihnya peneroka sentiasa dipotong hutang melalui pendapatan hasil sedangkan Felda gagal mengeluarkan Penyata Kira-Kira Pendapatan dan Tanggungan Peneroka-Peneroka.
“Hutang yang ditanggung peneroka pula bukan seribu dua tetapi menjangkau sehingga berpuluh-puluh ribu. Sebab itu bermula sahaja kempen itu kita akan desak perisytiharan hutang tak munasabah membabitkan kos tanam semula yang membelenggu peneroka,” ucapnya pada satu majlis di Kota Gelanggi 2, baru-baru ini.
Mazlan yang juga Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah PAS Pusat berkata, untuk itu pihaknya akan melancarkan borang semakan untuk mengetahui jumlah sebenar hutang peneroka dan bukannya berdasarkan penyata dari Felda semata-mata.
“Kita akan kumpul data-data yang diperolehi seterusnya berbincang dengan panel yang akan membuat semakan terperinci daripada jumlah wang sara hidup yang mereka terima dan gambaran sebenar berapa pendapatan yang mereka patut dapat.
“Panel itu akan membuat imbangan di antara hutang yang dikenakan ke atas peneroka dan pendapatan yang sepatutnya mereka terima,” tegas Mazlan.
Jelasnya lagi, selain masalah hutang peneroka turut tidak berpuas hati dengan kadar perahan gred (KPG) yang diisytiharkan Felda jauh lebih rendah daripada kadar sebenar yang dibuktikan di banyak makmal.
Katanya, akibatnya di Jengka sahaja seramai 1,040 peneroka tampil menyaman pihak Felda dan selepas raya ini dijangka beribu-ribu peneroka seluruh Pahang akan mengambil tindakan serupa.
“Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu ketika memberi kemenangan kepada peneroka Felda Kemahang yang menyaman Felda atas isu KPG ini, berkata ada konspirasi antara Felda Kilang dengan pengurus rancangan,” katanya.
Mengenai borang Felda Plantation yang diagihkan oleh Anak sejak tiga bulan lalu, Mazlan berkata ia mendapat sambutan di seluruh negara kerana merupakan tawaran menarik dan bakal memberi impak ekonomi di kawasan Felda.
Tambahnya, jika tanah rancangan tersebut dibukakan kepada umum 80,000 terutamanya anak peneroka akan mendapat manfaat dengan kewujudan 200 Felda baru.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan