Novel Usman Awang undang kontroversi

Dinsman
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjRaECq2kvhJQtdc84iZSNTltpkVzUOL32ksM1YSKDF6xnzqYSFpgwhzszRHAfeNzicaBkWlzb9so3D9P8gFPlFUIivZnai1oAN52MExQh68QpA_wHZn8eiOwb32d6ko97Ky95vasBF6oA-/s320/SN_USMAN_AWANG-15Jun2006-124232.jpg
KETIKA ditimbulkan isu siapakah sebenarnya berjuang untuk negara, antara kumpulan Mat Indera dengan pasukan polis dalam tragedi pertempuran di Bukit Kepong dalam zaman darurat itu, saya teringat pada novel Usman Awang satu-satunya itu, iaitu Tulang-Tulang Berserakan (TTB).

Saya telah beberapa kali membaca novel ini, dan pernah menulis beberapa ulasan mengenainya.

Memang saya ingat betul ceritanya. Sebab itu apabila ada beberapa orang pembaca SMS saya minta penjelasan mengenai isu kontroversi yang ditimbulkan oleh Mohamad Sabu itu, saya jawab mudah saja. “Itulah sebabnya Usman Awang berhenti jadi polis waktu itu. Nak tahu lebih jelas ceritanya, baca novel Tulang- Tulang Berserakan.”
TTB adalah buku (novel) atau dokumen yang terbaik yang menjelaskan keadaan di zaman darurat sebelum merdeka, khasnya hal-hal yang menyentuh soal kedudukan polis, perjuangan kemerdekaan, nasionalisme, dan soal keselamatan negara waktu itu. Ia ditulis oleh orang yang berpengalaman secara langsung di dalam kancah persoalan itu. Dan orang ini pula bukannya sebarang orang, dia adalah seniman besar yang pernah dilahirkan oleh negara ini - Sasterawan Negara Usman Awang.

TTB adalah sebuah novel autobiografi Usman Awang. Novel yang di dalamnya terdapat beberapa keping gambar foto Usman Awang sewaktu dia berkhidmat sebagai polis di Melaka, seolah-olah mengatakan bahawa watak Leman di dalam novel itu adalah penulis sendiri, yang dibuktikan dengan kehadiran gambar- gambar tersebut.

Leman seorang anggota polis biasa. Masih muda. Belum berkahwin. Dia seperti kawan-kawannya, polis-polis yang lain, menjalankan tugas mengikut arahan pihak atasannya, tanpa memahami situasi atau pergolakan politik yang turut menentukan tugas-tugas yang diarahkan supaya mereka laksanakan.

Diarah bersiap sedia untuk keluar menjalankan tugas, mereka pun ikut arahan, keluar menaiki jip atau lori polis, tanpa terlebih dahulu mengetahui ke mana tujunya dan apa tujuannya. Kalau tugas untuk menangkap orang, tugas pun dilaksanakan tanpa mengetahui siapa orang itu dan kenapa dia perlu ditangkap. Namun pengalaman yang tak difahaminya itu tidak pula menghalang perasaannya bersimpati dengan keluarga yang suaminya atau ayahnya ditangkap itu.

Apabila rumah-rumah pekebun Cina diarah supaya dibakar, dengan anjing, kucing dan ayam-itik terpaksa berlari ke sana-sini menyelamatkan diri, hati Leman menjadi terguris juga, dan bertanya-tanya mengapa semua itu perlu dilakukan.

Beberapa kali juga digambarkan peristiwa mereka dikejarkan ke rumah pengurus besar estet, orang Inggeris, untuk menembak musuh yang dikatakan sedang mengancam keselamatan orang Inggeris itu bersama keluarganya di dalam rumah besar mereka.

Kemuncak peristiwanya ialah apabila mereka bertempur dengan kumpulan komunis. Bacalah novel ini dan perhatikan bagaimana Usman Awang menggambarkan lelaki-lelaki dan wanita-wanita yang dikatakan komunis itu. Keberanian mereka, dan muka mereka yang tenang dan penuh keyakinan. Kasih sayang di kalangan keluarga mereka dan sebagainya.

Contohnya, dia menggambarkan seorang wanita komunis yang telah ditawan mereka, begini: “Pada wajahnya tidak kelihatan sebarang kengerian atau rasa cemas menghadapi pasukan polis. Dia tetap tenang dan agung dalam kesederhanaannya. Dia kelihatan lembut bagai air tetapi daripada matanya kelihatan suatu sinar keberanian dan ketabahan yang tahan uji.” (muka surat 239)

Antara dua pasukan yang bertempur itu, Usman membuat perbandingannya begini: “Mereka harus bertembak-tembakan dan saling merebahkan pada suatu tempat dan daerah tertentu; suatu pihak berjuang kerana keyakinannya dan satu pihak lain melakukan kerana tarikan kehidupan nafkahnya.” (muka surat 235)

Bandingkanlah gambaran yang diberikannya kepada keluarga komunis dan kepada keluarga polis. Kepada keluarga komunis digambarkannya: “Dan mereka sentiasa memikul tugas itu dengan rela dan ikhlas, walaupun dengan memberikan seluruh kepunyaan mereka yang paling disayangi.” (muka surat.243)

Manakala kematian anggota polis pula digambarkannya: “Dia telah mengakhiri hidupnya. Suatu pengakhiran hayat yang tidak direlakannya sama sekali, juga oleh isterinya, oleh anak gadisnya, oleh kawan-kawannya, malah oleh undang-undang.” (muka surat.259)

TTB adalah sebuah novel. Ditulis pada tahun 1962, mengisahkan kehidupan di zaman darurat sebelum merdeka. Dalam kata Pendahuluan untuk buku “Koleksi Terpilih Usman Awang” (1995, DBP) saya catatkan begini mengenai TTB: “…melalui dilema yang dihadapi oleh watak Leman, Usman mempersoalkan apakah maknanya ‘pengorbanan’ yang dilakukan oleh anggota-anggota pasukan polis itu.

Apakah benar mereka itu telah ‘gugur sebagai bunga bangsa’ seperti yang sering disifatkan oleh pihak-pihak tertentu, atau tidakkah mereka itu hanya ‘mati katak’ sahaja? Apakah mereka telah berjuang untuk bangsa dan negara ataupun untuk mempertahankan kepentingan golongan penjajah?” (muka surat.xlii)

Demikianlah sebuah novel yang baik. Ia terus berkata-kata, merentasi zaman, sambil membuka intepretasinya. Terpulanglah kepada kebijaksanaan kita untuk ‘membacanya’ kembali, dari semasa ke semasa. Dan janganlah pula hari ini kita tiba-tiba memandang serong pula kepada penulisnya yang telah kita anugerahkan Sasterawan Negara itu, apabila situasi hari ini dapat ‘membaca’ sesuatu yang baru daripada novelnya ini.

Untuk berlaku adil, saya anjurkan supaya kita membaca semula novel ini. Baca sendiri, dan buatlah interpretasi serta penilaian sendiri. Usman Awang telah lama menceritakan pengalamannya. Tentunya dia sedikit pun tidak berniat hendak mempolitikkan pengalamannya itu. Semoga kita mendapat manfaat daripadanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan