Pelajar Kolej Perlis Peluk Islam Secara Sukarela, Kata Jaips


KUALA LUMPUR, 18 SEPT: Jabatan Agama Islam Perlis (Jaips) menegaskan tindakan seorang pelajar kolej beragama Hindu, yang didakwa ‘dipaksa’ memeluk Islam Julai lalu oleh pensyarahnya telah mengambil langkah itu secara sukarela tanpa sebarang unsur paksaan daripada mana-mana pihak.

Ketua Penolong Pengarah Dakwah Jaips, Kesumawati Kassim berkata, pihaknya tidak berhadapan dengan sebarang masalah untuk mendaftarkan pelajar itu kerana dia telah memenuhi syarat-syarat menganut Islam mengikut kemahuannya.

Pelajar itu memeluk Islam Julai lalu dan berbula ketika Ramadan lalu.

Menurut Kesumawati, dia hadir di Jaips bersama tiga saksi iaitu dua pensyarah dan isteri seorang pensyarahnya bagi mendaftarkan pengislaman secara sah.

Dalam satu kenyataan Khamis lalu, Persatuan Agama Hindu (MHS) mendakwa seorang pelajar perempuan sebuah kolej di Perlis telah ditukar agama sebagai Muslim tanpa keizinan ibu bapanya dan tindakan itu bertentangan dengan peraturan.

Menurut kenyataan itu, ibu pelajar itu juga telah membuat laporan polis berhubung insiden tersebut.

Bagaiamanapun, pelajar terbabit telah membuat laporan polis sejurus selepas itu bagi menyatakan pengislamannya bebas daripada sebarang paksaan.

Mengulas lanjut dakwaan itu Jaips mengambil kesempatan terhadap golongan bukan Islam yang miskin, Kesumawati berkata, tidak timbul isu pihaknya berbuat demikian, sebaliknya golongan saudara baru terbabit sendiri hadir di pejabatnya menyatakan mahu memeluk Islam.

Sebaliknya kata beliau, pihaknya lebih kepada membantu dan membimbing mereka dalam mendapatkan kefahaman sebenar tentang Islam.

“Pihak Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia turut bekerjasama dengan Jaips bagi membantu saudara baru ini mendalami Islam dengan menyediakan kelas Fardu Ain dan kemudahan penginapan bagi menjamin keselamatan mereka,” katanya dipetik The Malaysian Insider.

“Namun begitu, terpulang kepada individu terbabit sama ada mahu memanfaatkannya atau tidak. Kami hanya boleh membantu, bukan memaksa,” tegasnya lagi.

Sebelum ini, Presiden MHS RS Mohan Shan dalam satu kenyataan berkata, siasatan pihaknya juga menunjukkan tiga pensyarah kolej di negeri itu terlibat dalam kerja menukar agama pelajar terbabit dan beberapa kakitangan Jaips sendiri tidak mematuhi peraturan dalam soal tersebut.
-tvsnews-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan