Nazri Abdullah
KUALA LUMPUR, 1 Sept: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata beliau tidak akan memohon maaf terhadap kenyataannya berhubung tragedi Bukit Kepong kerana perkara itu hanya putarbelit akhbar Umno, Utusan Malaysia.
Bercakap ketika dihubungi Harakahdaily hari ini beliau sebaliknya berkata akan menyerahkan perkara itu kepada pihak polis yang telah mengumumkan untuk memanggilnya untuk disoal siasat.
"Pasal apa saya nak mintak maaf, biarlah polis siasat," katanya merujuk kenyataan pihak polis yang mahu menyiasatnya di bawah Seksyen 505 B Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang menggemparkan masyarakat.
Sementara itu Mohamad juga memberitahu beliau telahpun dihubungi pihak polis berhubung siasatan yang akan dijalankan terhadapnya.
Bagaimanapun katanya, belum ada tarikh khusus ditetapkan kepada beliau untuk hadir disoal siasat.
"Saya telah terima panggilan telefon dari pihak polis nak panggil beri keterangan.
"Saya akan beri kerjasama penuh kepada pihak polis," katanya lagi.
Dalam laporan muka depannya baru-baru ini, Utusan Malaysia menyiarkan Mohamad Sabu sebagai mendakwa Mat Indera, lelaki yang bersekongkol dengan Goh Pen Tun dan 200 anggota komunis adalah hero sebenar, bukannya 25 anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan di balai tersebut.
Kenyataan itu menurut akhbar Umno itu diucapkan timbalan presiden PAS itu, dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu.
Ekoran itu, isu itu menjadi 'peluru' pemimpin Umno dan medianya menyerang Mohamad Sabu dan PAS kononnya parti itu menghina para polis Bukit Kepong dan membela Komunis yang menyerang balai polis itu.
Sejak itu juga, berpuluh laporan polis dibuat terhadap Mohamad khususnya oleh Umno dan menggesa beliau memohon maaf serta menarik balik kenyataannya.
Mohamad bagaimanapun menafikan laporan akhbar itu yang didakwa cuba memfitnah dirinya dan tidak akan sesekali memohon maaf.
Dalam penjelasannya, beliau memberitahu tidak pernahpun menyatakan Mat Indera itu Komunis, namun dimainkan Utusan sebaliknya.
Beliau juga telah mengarahkan peguamnya untuk menghantar notis saman kepada akhbar itu dan memintanya meminta maaf dan menarik balik laporan palsu itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan