Sudahi terserlah Umno khianati Melayu

Abdul Aziz Mustafa
KUALA LUMPUR, 30 Sept: Hipokrasi Umno semakin terserlah dan terbukti dengan keghairahan menghapuskan kuota Bumiputera 30 peratus, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.


"Selama ini, tanpa segan silu Umno berlagak sebagai pejuang Melayu, tetapi hakikat sebenarnya semua itu hanyalah untuk memperdayakan orang-orang Melayu supaya menyokong parti yang dinamakan parti perasuah oleh (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) itu," katanya.

Mahfuz mempersoalkan di mana suara Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang cakap berdegar-degar kononnya beliau "Malay first and Malaysian second"?

Bukan sahaja di peringkat pimpinan yang menunjukkan hipokrasi, katanya, malah ahli-ahli Umno yang selama ini terjerit-jerit seperti kerasukan kononnya membantah penghapusan DEB (Dasar Ekonomi Baru) juga diam menikus.

Dari pemimpin tertinggi Umno sehinggalah ahli yang terjerit-jerit di tepi jalan, kata beliau, semuanya amat jelas hipokrasi tahap tertinggi mereka.

"Mana dia muka-muka yang selama ini menabur fitnah jahat kononnya PAS tidak pedulikan orang-orang Melayu lagi kerana berada dalam Pakatan Rakyat (PR)?

"Ironinya, semakin kuat Umno menjerit menuduh PAS kononnya tidak pedulkan orang-orang Melayu, semakin terdedah perbuatan Umno mengkhianati orang-orang Melayu," katanya.

Mahfuz menyifatkan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengulangi lagi keinginannya untuk menghapuskan kuota 30 peratus untuk Bumiputera sebagai tindakan tidak tentu arah untuk menutup kegagalan pemerintahan Umno mencapai kuota tersebut.

"Sebagai tukang ikut apa sahaja yang dibuat oleh Dr Mahathir, nampak benar Najib mengulangi taktik Dr Mahathir.

"Di zaman Dr Mahathir, bila matlamat membantu Bumiputera begitu jelas tidak terdaya dicapai oleh pemerintahannya, dia isytiharkan meritokrasi.

"Begitu juga Najib, bila dinasihati bahawa kerajaan Umno tidak ada walau sedikit pun kemampuan untuk mencapai kuota 30 peratus untuk Bumiputera, sejak dari awal lagi berkali-kali beliau mengulangi keinginan untuk menghapuskan kuota itu," katanya.

Menurut Mahfuz, sejak tahun 2008 lagi, iaitu sejak Najib menjdi Timbalan Perdana Menteri, beliau menyatakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) mesti ditamatkan secara beransur-ansur.

Malah, kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu lagi, Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN), Tan Sri Amirsham A Aziz pernah mengakui bahawa Model Ekonomi Baru (MEB) yang dilancarkan Najib akan menghapuskan kuota pemilikan termasuk Bumiputera.

Mahfuz bagaimanapun mengucapkan terima kasih kepada Najib kerana menunjukkan wajah sebenar Umno.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan