Tok Janggut ( Hj Mat Hassan)

badangsejuk

Alangkah teruk nya sejarah melayu. Semua nya telah disusun secara teliti dan rapi. Hinggakan orang melayu terpaksa terima tentang sejarah bangsa mereka sendiri dari orang asing  yang menjajah mereka.
Haji Mat Hassan merupakan seorang tokoh yang tidak asing lagi di mata sejarawan-sejarawan tempatan. Seorang pejuang yang gugur syahid dalam perjuangan mempertahankan kedaulatan Islam.

Siapa Haji Mat Hassan?

Haji Mat Hassan lebih dikenali dengan nama Tok Janggut. Dikatakan beliau mendapat gelaran ini kerana janggut panjangnya. Bagaimana kalau aku katakan yang nama Tok Janggut ini sengaja dipopularkan berbanding dengan nama asal beliau kerana ia adalah SATU STRATEGI BRITISH untuk menenggelamkan atau menyembunyikan unsur-unsur jihad yang diperjuangkan oleh Tuan Haji. Sekadar pendapat peribadi.

Isu 1: Ada apa dengan haji?

Bilamana disebutkan nama seseorang itu bermula dengan Haji, contohnya Haji Wan, akan terbayang kepada kita wajah seorang pakcik yang tenang wajahnya, berkopiah, dan sedang senyum ke arah kita. Satu bayangan atau persepsi yang dirasai oleh semua orang tanpa perlu diajarkan kepada mereka. Kesamaan universal!

Mungkin ada yang kurang faham sejauh mana peranan Haji dalam kebangkitan masyarakat menentang penjajah. Untuk melihat impak Haji ini kita kena terjun dan menyelami situasi masyarakat nusantara pada ketika itu. Haji ketika itu dikenali sebagai satu fenomena! Fenomena Haji AMAT DITAKUTI oleh penjajah sehingga memaksa seorang orientalis yang tersohor, Dr. Christian Snouck Hugronje menjalankan satu penyelidikan khusus bagi mendalami amalan agama dan adat budaya masyarakat setempat.(Acheh)

Hasil dari penyelidikan Snock Hugronje, beliau mengatakan:

“Belanda tidak perlu takut kepada pengaruh Haji Indonesia kerana mereka hanya pulang dengan serban, iaitu symbol Haji semata-mata dan tidak semestinya bersikap benci kepada orang kafir. Tetapi jika mereka pulang dengan ilmu pengetahuan Islam sebagai satu cara hidup lengkap, termasuk politik maka kelompok haji ini mesti diawasi oleh pihak penguasa….”

Hebatnya pengaruh Haji ini sehinggakan British mengeluarkan arahan memaksa Sultan Muhammad IV mengeluarkan titah perintah melarang rakyat (yang dikalangannya terdapat ramai ulama) menyokong kerajaan Turki Uthmaniyyah. Malah British juga memaksa mufti Kelantan ketika itu mengeluarkan satu surat sokongan menyokong kerajaan British dalam peperangan!

Ringkasnya kita dapat simpulkan yang nama Haji Mat Hassan itu sahaja sudah cukup untuk menggerunkan British ketika itu!

Semasa dibangku sekolah dahulu, aku diajar yang kebangkitan Tok Janggut adalah disebabkan oleh cukai semata-mata. Sebelum pergi dengan lebih jauh lagi, syabas dan tahniah aku ucapkan kepada pihak kementerian kerana hari ini fakta tersebut telah diperbetulkan!

Sultan Mansur merupakan Sultan Kelantan yang memakai gelaran Sultan Muhammad III. Sultan Mansur merupakan seorang sultan yang taat beragama dan warak. Baginda termasuk umara’ yang mendampingi ulama. Antaranya adalah, Haji Abdul Malik Sungai Pinang, Tok Ku Syed Hakim@Syed Muhammad bin Syed Alwi, Imam Haji Nik Wan Daud, Imam Haji Abdullah, Imam Haji Mahmud Tuan Padang, Haji Muhammad Ta’, Haji Ismail Langgar, Haji Daud Kampung Menuang, Haji Taib anak Tuan Padang dan Haji Nik Abdul Rahman Dakwat. (Perhatikan kaitan Haji dan ulama!!!)

Sultan Mansur Syah telah menguatkuasakan perlaksanaan undang-undang SYARAK dalam acara guaman sama ada jenayah atau pun mal. Selain perlaksanaan undang-undang hudud ke atas pencuri dan qisas ke atas pembunuh, baginda juga menguatkuasakan undang-undang ta’zir ke atas orang-orang yang tidak berpuasa dan perempuan yang tidak menutup aurat.

Sesungguhnya, zaman Sultan Mansur merupakan suatu zaman gemilang dalam sejarah perundangan Islam dan kehidupan keagamaan rakyat negeri Kelantan. Daulat Tuanku.

Kelantan menerima pengaruh British yang bertindak sebagai penasihat semenjak tahun 1903 namun British terlibat secara lansung dalam pentadbiran Kelantan selepas 1910 setelah Kelantan membantah Perjanjian British-Siam 1909.

Campurtangan British dalam pentadbiran Sultan Muhammad IV menyaksikan British memperkenalkan peraturan baru. Antaranya adalah Sistem Pemilikan Tanah Torrens! Bilamana system ini diperkenalkan, secara automatiknya ia menolak undang-undang tanah tradisional Melayu.

Apa undang-undang tanah tradisional Melayu?

Nah, buka mata anda. Ketahuilah semua bahawa undang-undang tanah tradisional Melayu adalah undang-undang tanah ISLAM!!, iaitu berdasarkan prinsip ihya(usaha) dan thajir(tanda). Maka pengenalan system tanah baru sekaligus MENOLAK undang-undang Islam!

Sahabat-sahabat sekalian, kalau sekarang ini bilamana PAS menyuarakan keinginan untuk melaksanakan Hudud, kala itu sudah ada penyokongnya kerana mereka sudah tahu keberkesanannya. Apatah lagi reaksi masyarakat yang ketika itu sememangnya HIDUP di bawah perlaksanaan hukum Islam(Zaman Sultan Mansur), lalu tiba-tiba ingin dihapuskan! Maka ketahuilah sahabat-sahabat semua, perjuangan Tok Janggut dan kawan-kawan bukan setakat menentang cukai yang tinggi tapi yang lebih penting daripada itu adalah perjuangan MENENTANG PENGHAPUSAN UNDANG-UNDANG ISLAM!

Saat itu menyaksikan rakyat membantah cadangan British ini. Surat-surat bantahan dihantar oleh rakyat kepada pihak berkuasa. Salah satunya, datang dari penduduk Kampung Cherang Tuli. Kampung Cherang Tuli merupakan salah sebuah kampung yang terlibat dalam kebangkitan ini. Nah, lihatlah sendiri, penentangan ini BUKAN penentangan cukai semata-mata, tapi PENENTANGAN PENGHAPUSAN UNDANG-UNDANG ISLAM!

Isu 3: Kebangkitan peribadi

Terima kasih kepada Prof Nik Anuar Nik Mahmud di atas kupasan yang cukup menarik dalam isu ini. Mungkin ada yang mengatakan kebangkitan Haji Mat Hassan ini lebih bersifat individu, kebangkitan untuk meraih kepentingan sendiri semata-mata. Atau mungkin ada yang berpendapat pemberontakan ini hanya berpunca dari kekecewaan pembesar daerah mengenai kekuasaan dan kedudukannya.

Aku ingin bertanya:

Berapa usia Tok Janggut@Haji Mat Hassan ketika beliau memimpin penentangan ini?

Tok Janggut pada ketika itu berusia 65 tahun. Ulangan, 65 tahun. Apakah seorang yang sudah berusia sanggup melawan British yang sangat berkuasa itu atas dasar kepentingan diri semata-mata? Bukankah harga yang perlu dibayar dengan menentang British jauh lagi MAHAL berbanding harga cukai tinggi yang dikenakan!

Harga sebuah perjuangan!

Harga sebuah perjuangan?
Click this bar to view the full image.

Sahabat,

British punya angkatan tentera yang tidak usah dicerita akan ramainya. Punya puluhan kapal-kapal perang yang sedia membedil mereka-mereka yang membuat angkara.

Tapi mereka yang memberontak di Pasir Puteh ini memiliki apa?

Mereka tidak ada kapal perang.

Mereka tidak ada bedil-bedil atau senapang-senapang secanggih askar British.

Mereka tidak punya angkatan tentera yang ramai.

TAPI MEREKA MEMILIKI SEMANGAT JIHAD FISABILILLAH!!

Semangat inilah yang dibuktikan oleh Khatib Abu Bakar yang berdepan dengan tentera Inggeris berbangsa Sikh tanpa rasa gementar dan takut sedikit pun. Beliau hanya bersenjatakan sebilah golok!

Pemberontakan di Pasir Puteh ini adalah sebagai satu respon di atas tindakan British yang kurang ajar. Ia hanya bersifat lokaliti semata-mata dan tidak tersusun.”

Aku MENOLAK pendapat ini atas beberapa alasan:

1. Seruan Jihad

Shaykh-al-Islam, Khayri Effendi telah mengeluarkan fatwa Jihad-I Ekbar Fardi Ayn terhadap Britain dan sekutu-kutunya pada 14 November 1914. Sebagai reaksinya, British telah mengeluarkan enakmen MELARANG akhbar-akhbar tempatan dari menyiarkan berita mengenai peperangan antara British dengan Turki Utmaniyyah pada 21 November 1914. Pemberontakan Tok Janggut adalah pada 1915.

Jadi macam mana seruan jihad ini boleh sampai di Tanah Melayu? Pertama-tamanya, mari kita melihat siapa itu Haji Mat Hassan.

Tahukah anda Haji Mat Hassan pernah menuntut di Mekah dan berguru dengan Syeikh Wan Ahmad Al-Fathani. Haji Mat Hassan pulang dari Mekah pada tahun 1910.(Rujuk tulisan atas untuk melihat apa yang terjadi di Kelantan pada 1910)

Siapa Syeikh Wan Ahmad? Beliau merupakan guru kepada hampir seluruh ulama nusantara ini! InsyaAllah aku akan mengupas berkenaan Syeikh Ahmad ini. Ringkasnya Syeikh Ahmad ini merupakan pengasas kepada persatuan orang Melayu iaitu Jami’yatul Fathaniyah di Mekah dan dilantik oleh Sultan Abdul Hamid II sebagai Ketua Jawatankuasa Percetakan Kerajaan Othmaniyyah. Malah beliau juga dianugerahkan kerakyatan Uthmaniyyah pada 1889.

Syeikh Wan Ahmad Al-Fathani –> Tuan Haji Mat Hassan

2. Sebelum pemberontakan di Kelantan ini, telah berlaku beberapa siri pemberontakan:

1833, Vietnam(Champa) – Gerakan pembebasan oleh Katip Sumat. Tidak kenal Katip Sumat? Mari aku terjemahkan. Katip Sumat ini adalah nama yang telah mengalami evolusi, asalnya Katip Sumat ini merujuk kepada Khatib Abdul Samad!

Akhir abad ke-19, Indonesia – Cetusan gerakan kesedaran Gerakan Pan-Islamismee oleh Konsul Sadik Bey dan Duta Muhammad Kamil Bey.

1915, 15 Februari, Singapura – Askar-askar Indian Muslim dari pasukan 5th Light Infantry, di bawah pimpinan Haji Nur Alam Shah, Imam Masjid Kampung Jawa telah memberontak sebagai menyahut seruan jihad Turki Uthmaniyyah.

Sebenarnya 3 pemberontakan ini saling berkait antara satu sama lain. InsyaAllah akan aku ulas di tulisan yang akan datang.

3. Pemberontakan Singapura

Pemberontakan di Singapura menjadi topik perbincangan orang-orang Melayu di Kelantan. Calvert Wells, seorang pegawai British di Kelantan mencatatkan:

“…the Malays in Pasir Mas were said to be discussing the Singapore comutiny before the news was known to the Kelantan Government.”

4. Usaha British

Selain dari memaksa Sultan mengeluarkan titah untuk menangkap Tok Janggut dan pengikut-pengikutnya, British juga mengarahkan kapal H.M.S Calmus mengawal Kuala Semerak. Mengapa harus mengawal perairan? Tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menghalang bantuan asing tiba.

Bantuan asing itu merujuk kepada siapa? Fikir-fikirkan!

5. Waktu pemberontakan berlaku

Pemberontakan yang dipimpin oleh Tok Janggut ini berlaku pada bulan April. Apa yang uniknya bulan April ini?

Kebiasaanya, pada bulan April, padi telah dituai. Masyarakat pada bulan ini dan beberapa bulan seterusnya hanya melakukan kerja-kerja ringan seperti berkebun dan mengutip hasil-hasil hutan. Maka dengan kata lain, gerakan pada bulan ini tidak akan membantutkan perkembangan ekonomi masyarakat setempat! Adakah ini masih lagi belum menunjukkan ketersusunan gerakan ini?

Cantiknya sewaktu pemberontakan ini berlaku, pentadbiran colonial di Kelantan sedang berdepan dengan beberapa masalah. Antaranya adalah masalah kewangan yang teruk sehingga menyebabkan gaji kakitangannya tertunggak beberapa bulan.

7. Sultan yang misteri

Walaupun dijelaskan yang Sultan Muhammad IV mengeluarkan titah supaya rakyat Kelantan menyokong British, namun itu hanya dibuat atas dasar keterpaksaan. British tidak mempercayai Sultan Kelantan, lantaran itulah British bertindak mengerahkan askar mereka untuk menangkap Tok Janggut dan pengikut-pengikutnya. Asalnya, urusan pemberontakan ini diminta diselesaikan oleh Sultan.

Sultan Muhmmad pernah mengatakan tentera Jerman mesti menang dalam peperangan dengan British. Tentera Jerman adalah sekutu Turki!

Malah, menurut Wells, ketika beliau sedang mengukur keluasan Sungai Kelantan dengan tujuan untuk membina stesyen kereta api di tebing sebelah Kota Bharu. Ketika itu, Sultan Terengganu mudik dari kuala ke Kota Bharu. Kapal Sultan Terengganu telah melanggar bot peralatan mengukur Wells dan salah satu bot yang digunakan terbalik meskipun Wells telah berusaha supaya kapal Sultan itu mengelaknya. Sultan Terengganu tersenyum sahaja ketika kapalnya bertindak demikian. Wells juga mengatakan yang Sultan Kelantan dan Sultan Terengganu selalu bertemu dan kedua-duanya tidak menyukai British!

Nah, sudah terang lagi bersuluh akan keteraturan gerakan ini sebenarnya. Pernah dahulu aku menulis tentang Grand Design pemberontakan menentang penjajah. Maka artikel ini mengupas sedikit sebanyak mengenai Grand Design ini. Sesungguhnya gerakan menentang penjajah di Nusantara ini bukanlah gerakan yang semborono tanpa melibatkan perancangan yang teliti, cuma kita sahaja yang buta! Buta kerana sejarah kita ditulis untuk memenangkan satu pihak sahaja. Sejarah kita ditulis untuk mengagungkan pihak-pihak tertentu sahaja.
-tko-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan