50 keluar, 161 masuk Pas

KUALA NERANG: Jika sebelum ini 50 penduduk, belia di Kampung Tandop Besar mendakwa penyokong Pas menyertai Umno kerana kecewa dengan kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mohammad Sabu (Mat Sabu) yang didakwa menyokong komunis, namun 161 belia dari lapan kampung menyertai Pas kerana kagum dengan semangat pemimpin itu.
Simbolik penyerahan di Markas Pas Kampung Tandop Besar diadakan sempena penjelasan isu-isu semasa di sekitar Parlimen Padang Terap oleh Ketua Pemuda Pas Kawasan Padang Terap, Mohd Nasir Zakaria sebelum ia diserahkan kepada Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Mohamad Sanusi Md Noor.

Difahamkan belia terbabit berasal dari Kampung Tandop Besar, Kampung Pong Utara, Kampung Pong Manis, Kampung Kubang Kenyeng, Kampung Kubang Bemban, Kampung Lubok Perong, Kampung Masjid dan Kampung Padang Kerasak.

Ahli baru Pas, Mohd Azham Yahya, 25, yang sebelum ini mendakwa sebagai pengundi atas pagar mengambil keputusan menyertai Pas selepas kagum dengan pendirian pemimpin parti itu yang terus kukuh pendirian walaupun terus dikecam.

Menurutnya, momokan media massa arus perdana membuatkan mereka membandingkan setiap kenyataan yang dikeluarkan pemimpin setiap hari.

“Rakyat pada hari ini terutamanya generasi belia sudah mempunyai pelbagai cabang media alternatif termasuk blog dan kami tahu untuk menilai isu-isu semasa,” katanya.

Bagi Megat Mohd Zuraimi Zakaria, 28, pula, isu yang mendakwa Mat Sabu menjadi dalang sebagai punca kepada penyokong Pas di Kampung Tandop Besar berpatah arang dengan Pas telah memperkenalkan individu itu kepadanya.

Menurutnya, dia mula mengagumi kredibiliti Mat Sabu dan pendirian yang dibawa olehnya.

“Mengenai isu 50 yang didakwa sebagai penyokong Pas baru-baru ini yang menyerahkan borang keahlian Umno baru-baru ini, saya tidak tahu bagaimana ia boleh tercetus, sedangkan saya pun berada di situ sewaktu kejadian,” dakwanya.

Mohd Hafizzullah Mad Lim, 26 pula mendakwa, golongan belia mahu bangkit dan membuktikan bahawa mereka turut mengambil tahu mengenai perkembangan isu semasa yang berlaku di seluruh negara.
-sinarharian-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan