Bersih "bagi chan" pada PSC


PETALING JAYA, 2 OKT: Pengerusi  Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan menyeru gerakan-gerakan awam supaya menerima ‘tanpa prasangka’ hasrat kerajaan persekutuan untuk membaikpulih sistem pilihan raya, sebelum mengambil tindakan susulan seperti mengadakan satu  lagi perhimpunan.



Ambiga berkata jawatankuasa terpilih parlimen (PSC) yang akan ditubuhkan bagi objektif itu harus diberi peluang untuk menjalankan tugas  mereka.

Disamping itu PSC juga perlu berjumpa dengan Bersih bagi membincang cara  terbaik bagi membaiki kelemahan sistem yang ada seperti senarai pemilih yang didakwa penuh dengan pengundi hantu dan proses undi pos yang tidak telus, Ambiga berkata.

“Kita  patut memberi peluang dan tengok kalau mereka serius dalam melaksanakan tuntutan kita. Kita percaya kes kita kukuh, kita tengah menyediakan kes kita dan kita berharap PSC bertemu dengan kita. Kalau tidak kita akan dedahkan hasil siasatan kami (di dalam sistem pilihan raya) akan kami dedahkan.”

Ambiga berkata demikian dalam sesi soal-jawab pada festival  filem ‘Freedom Film Fest 2011 di sini semalam.

Seorang peserta mengemukakan soalan apakah tindakan pergerakan itu selepas perhimpunan besar-besaran yang disertai gerakan-gerakan awam dan pemimpin Pakatan Rakyat yang di adakan di Kuala Lumpur pada 9 Julai.

Hasil daripada tekanan perhimpunan itu, kerajaan persekutuan Barisan Nasional membentuk PSC.

Tetapi, pembentukan badan itu dipersoal kerana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak enggan memberi jaminan bahawa  apa-apa cadangan atau keputusan PSC akan dilaksanakan sebelum pilihraya ke-13.        

Jika pilihan raya terus diadakan tanpa pembaikpulihan, Ambiga berkata, cara paling berkesan untuk menangani  penipuan pilihan raya adalah dengan menyeru rakyat Malaysia supaya keluar mengundi secara besar-besaran.

Salah satu cara untuk membanteras  penipuan adalah dengan keluar untuk mengundi secara besar-besaran. Kerana orang boleh menipu dengan bilangan yang kecil seperti seribu atau dua ribu (undi) tetapi kalau kita membanjiri sesuatu kawasan itu, kita boleh mengurangkan penipuan.   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan