setisab
Kerajaan Rakyat : Jelas sudah terlalu ramai Ahli Parlimen Pakatan yang masih leka, lalai dan tidak cekap dalam membaca muslihat politik yang kerap diamalkan olih Umno/BN. Catur politik Wakil-Wakil Rakyat Pakatan nampaknya hanya hebat dipentas kempen dan warong mamak.
Masa berhujah dan berkempen di depan rakyat atau di pentas awam, memang tidak dapat dinafikan kehebatan tutur bicara wakil rakyat Pakatan. Malangnya bila tiba masa permainan politik peringkat tertinggi dan menggubal dasar di Parlimen, ramai wakil rakyat Pakatan gagal membaca muslihat musuh.
Ahli Parlimen Pakatan Rakyat gagal menyekat Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu 2011 apabila rang undang-undang itu diluluskan menerusi undi belah bahagian.
Undian itu yang diminta sendiri oleh pihak pembangkang menyaksikan 72 ahli parlimen menyokong manakala hanya 28 yang tidak bersetuju rang undang-undang itu dibacakan untuk kali kedua. (Baca di sini)Ini adalah kali kedua kesilapan besar dan kealpaan yang amat memalukan dilakukan olih wakil-wakil rakyat Pakatan Rakyat. Kali pertama kelalaian dan keculasan yang dilakukan ialah pada April 2008. (Baca sejarah di sini)
KENYATAAN MEDIA SEKRETARIAT PEMBANGUNAN KAMPONG BHARU (SPKB)
AKTA KAMPONG BHARU: TINDAKAN GELOJOH KERAJAAN DIKESALI
Sekretariat PembangunanKampong Bharu (SPKB) kesal dengan sikap gelojoh dan tergesa-gesa Kerajaan yang meluluskan Akta Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu 2011 malam semalam tanpa memberi masa dan peluang langsung kepada pemilik dan pewaris tanah Kampong Bharu peluang untuk melihat sendiri kandungan Akta tersebut. Tindakan ini jelas menunjukkan sikap rakus Kerajaan dan pihak-pihak yang berselindung di sebaliknya untuk mengaut kekayaan melimpah-ruah hasil daripada “pembangunan” Kampong Bharu kelak..
Isnin lalu, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar melalui menterinya, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin telah menarik balik Rang Undang-Undang Pembangunan Pembangunan Kampong Bharu 2010 (RUU PPKB 2010) dan terus membentangkan Rang Undang-Undang Pembangunan Kampong Bharu 2011 (RUU PPKB 2011) yang baru dengan beberapa pindaan. Belum pun sempat pemilik dan pewaris tanah Kampong Bharu berpeluang memegang, meneliti dan berbincang berkenaan undang-undang yang bakal menentukan masa depan mereka itu, Kerajaan telahpun secara tergesa-gesa sehingga lewat malam tadi meluluskan RUU PPKB 2011 tersebut di Parlimen.
Apakah yang hendak dikejar sangat sehingga tidak ada ruang langsung untuk RUU PPKB 2011 tersebut dibincang dan diluluskan oleh orang-orang Kampong Bharu sendiri terlebih dahulu, sedangkan merekalah pihak yang terlibat secara langsung dengan apa saja bentuk pembangunan yang hendak dicadangkan. Mereka adalah pemilik dan pewaris asal tanah Kampong Bharu sejak 111 tahun lalu dan kini segala pandangan dan hak mereka ke atas tanah mereka sendiri telah dirampas dalam masa hanya beberapa jam sahaja. Kerajaan menggunakan mekanisme undang-undang dan Parlimen dijadikan “rubber stamp” untuk menafikan segala hak pemilik dan pewaris tanah Kampong Bharu yang merupakan satu-satunya warisan tanah orang Melayu di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur ini.
SPKB juga mempersoalkan penglibatan empat badan GLC yang diumumkan Menteri malam tadi iaitu Lembaga Tabung Haji, Permodalan Nasional Berhad, Putrajaya Holding dan Permodalan Hartanah Berhad yang dikatakan akan terlibat dalam pembangunan Kampong Bharu ini. SPKB menegaskan, bahawa penglibatan badan-badan ini tidak pernah langsung dibincang dan didedahkan kepada masyarakat Kampong Bharu malah, pemilik dan pewaris tanah sehingga sekarang masih lagi ragu dan sangsi tentang kaedah dan bentuk pembangunan yang hendak dijalankan. Bagaimanakah ia hendak dimulakan dan adakah ia akan melibatkan perpindahan penduduk ke tempat yang lain sepanjang proses pembangunan itu dijalankan ? Apakah status hakmilik tanah mereka akan berubah dan adakah hartanah Kampong Bharu ini akan terbuka untuk diurusniagakan kepada semua orang ? Apakah jaminan hakmilik tanah akan kekal di tangan mereka dan mengapakah Menteri mempunyai kuasa penuh dan mutlak ke atas tanah Kampong Bharu?
Semua perkara ini masih tidak dijelaskan kepada pemilik dan pewaris tanah dan secara tiba-tiba, Kerajaan telahpun meluluskan RUU PPKB 2011 malam tadi dan meninggalkan tanda-tanya serta kemarahan kepada sebilangan besar masyarakat Kampong Bharu. SPKB menegaskan sekali lagi bahawa kami tidak menolak sebarang bentuk pembangunan di Kampong Bharu tetapi biarlah ia dibuat secara tertib, beradab dan menghormati pandangan dan cadangan pemilik dan pewaris tanah Kampong Bharu. Merekalah Tuan yang sebenarnya di Kampong Bharu ini, bukannya Menteri, orang-orang politik atau badan-badan korporat.
AHMAD ZAMRI BIN ASA’AD KHUZAIMI
Pengerusi
Sekretariat Pembangunan Kampong Bharu
6 Oktober 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan