Hubungan komunis: Umno hipokrit, kata Mahfuz

Ahli parlimen PAS Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mempertikaikan tindakan Umno yang membuat perjanjian persefahaman dengan kerajaan komunis China tetapi membangkitkan sentimen untuk mengaitkan pembangkang dengan komunisme.

Mahfuz berkata, Umno bertindak “hipokrit” dengan bertindak demikian walhal parti itu membuat hubungan dengan Parti Komunis China yang didakwa banyak menyokong Parti Komunis Malaya sebelum ini.

"Sesiapa yang cuba angkat perjuangan komunis dianggap pengkhianat sedangkan dalam masa sama Umno jalinkan hubungan dengan komunis China.

"Banyak pemimpin Parti Komunis Malaya ini telahpun berhijrah ke China dan dapat perlindungan di China. Jadi apa perlu Umno adakan hubungan tersebut?

"Inilah hipokrasi politik umno dalam isu Mat Indera yang kaitkan (pembangkang) dengan komunis, sedangkan perbincangan kami adalah untuk memperbetulkan sejarah," kata Mhafuz lagi dalam sidang media di parlimen hari ini.

Beliau mengulas perkara itu kerana tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan timbalan menteri luar negeri di Dewan Rakyat sebelum itu.

Dalam soalannya, Mahfuz bertanya sama ada kerajaan maklum bahawa memorandum persefahaman yang ditandangani Umno pada Ogos lalu itu dibuat dengan parti komunis "yang bekal senjata kepada Parti Komunis Malaya dan mungkin juga bunuh polis Bukit Kepong?"

Dalam jawapannya, timbalan menteri dalam negeri, Datuk Richard Riot sekadar berkata China kini berbeza kerana mengamalkan dasar pintu terbuka.

"Dulu (tafsiran negara) komunis adalah ideologi guna pintu tertutup, tapi sekarang komunis pun dah buka negara mereka," katanya lagi.

Maka, tidak timbul masalah untuk membuat hubungan dengan negara berkenaan, kata ahli parlimen Serian itu lagi.
-malaysiakini-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan