Orang PAS tak minat Nik Aziz?

Dinsman
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiJlWPFK5NbZA31eq2TuNbxfgD3LfhcW17zyytkVixTNLqU_AX9vsJHmfZ-zGs8nXlFDEtQFLwYq0FB1yDKA1-Bjhk7CdfP1kYRncLDGT_tudim66m2MdBvYnDY9WP7dbKO91vkpOnb8b4/s200/HHalem-Dinsman.jpgALHAMDULILLAH, majlis bicara buku yang membicarakan dua buah buku kepemimpinan karya Prof Shaharir Md Zain berjalan dengan baik sekali, 4 Oktober lalu, di Dewan Perpustakaan Negeri Selangor (PPAS), Shah Alam. Dua pembicaranya, Dr Zaid Ahmad dan Dr Mat Rofa Ismail (kedua-duanya daripada Universiti Putra Malaysia) menyampaikan bicara mereka dengan keistimewaan masing-masing.




Paling mengujakan saya ialah pembentangan Dr Mat Rofa Ismail (tokoh matematik yang pakar di bidang mantik), yang membicarakan buku Kepemimpinan Tok Guru Nik Aziz Mengikut Pandangan Sarjana Kepemimpinan Besar Sepanjang Zaman.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjlus2rg3pu62JW6V2H3i6oXw6G2Ui_7FpaGcHZAgKdwR2sfEaEDY3iYNYXFzlhyzV2rgBpHuZp284c8OoRO-w2WUst82losuuiDrrU9ztkeWxBnnoKUuF5Maax3EAobkEM2hTmxU-I5Q/s1600/nik.jpg
Saya tidak menjangka yang dia mempunyai begitu banyak maklumat mengenai Tok Guru Nik Aziz. Rupa-rupanya dia mengikuti TG Nik Aziz sejak dia masih bersekolah lagi, dan minatnya yang besar itu mendorong dia menyimpan pitapita rakaman ceramah TG Nik Aziz sejak tahun 70-an.

Pembentangannya satu jam itu pula menjadi menarik kerana dibantu gambar-gambar foto yang sebahagiannya mungkin belum pernah kita lihat. Misalnya gambar Tok Guru sedang tidur lena di suatu tempat (bukan bilik tidur) kerana berehat sebentar dalam kesibukannya, sebelum memulakan ceramah atau tugastugas lain.

Beliau membuka luas lagi maklumat dan pengetahuan mengenai TG Nik Aziz, di samping mengulas analisis Shaharir terhadap ciri-ciri kepemimpinan unggul yang terdapat pada diri Nik Aziz sebagai seorang pemimpin yang boleh dijadikan contoh seorang pemimpin Islam sebenar.

Manakala pembentangan Dr Zaid Ahmad pula, paling menarik perhatian saya ialah apabila dia mengatakan kemungkinan terputusnya perkembangan tamadun Melayu apabila penggunaan tulisan Jawi di “mati”kan, kerana tamadun Melayu berkembang di peringkat awalnya dan mencapai kegemilangannya melalui tulisan Jawi.

Apabila tulisan Jawi dihapuskan penggunaannya dan digantikan dengan tulisan Rumi, maka perkembangan tamadun Melayu pun terhenti sekejap di situ, sebelum diteruskan dengan jalur perkembangan baru yang agak berbeza daripada yang asalnya.

Tentunya ia suatu pandangan yang perlu diteliti dan dikaji dengan lebih mendalam untuk didapatkan bukti-bukti dan dokumen-dokumen bagi menyokongnya.

Banyak lagilah pandangan yang menarik lahir daripada majlis bicara buku tersebut.

Sambutan khalayak juga agak memuaskan. Kehadirannya hampir 150 orang. Mungkin kakitangan PPAS daripada pelbagai cawangannya turut memenuhi ruang hadirin. Namun peserta awam daripada kalangan budayawan, ilmuan dan pelajar juga agak ramai.

Hanya yang sedikit mengecewakan ialah sambutan orang-orang politik, khasnya orang-orang PAS. Ramai juga kawan-kawan dan tokoh pimpinan PAS yang saya kenal telah saya maklumkan program ini melalui SMS, (di samping berita dalam Harakah). Tetapi mengecewakan sekali tak ada seorang pun yang hadir. Pelik juga tu!

Apakah mereka tidak berminat untuk mengetahui ciri-ciri keunggulan pimpinan Tok Guru Nik Aziz? Atau apakah semua mereka itu berpendapat mereka sudah tahu semua itu dan tak perlu hadir lagi ke majlis yang membicarakan hal tersebut? Atau mereka terlalu sibuk dengan pelbagai tugas dan kerja hingga tak seorang pun dapat meluangkan sedikit masa untuk hadir?

Apabila beberapa orang ilmuan/cendekiawan menunjukkan minat mereka untuk berbicara mengenai tokoh pemimpin kita, (berbeza dengan ribuan profesor dalam Majlis Profesor Negara yang hanya minat Umno-BN), dan daripada kalangan kita tidak seorang pun menunjukkan minat untuk menyambut kesudian mereka itu - cubalah anda fikirkan sejenak apakah implikasi maknanya?

Maknanya orang-orang PAS seperti tidak tahu menghargai ilmuan dan cendekiawan, kecuali ilmuan dan cendekiawan yang secara terang dan jelas menyatakan sokongan kepada politik mereka. Maknanya orangorang PAS hanya dididik untuk berpolitik dan berpolitik sahaja, tiada lain daripada itu.

Beberapa orang daripada hadirin menimbulkan soalan ini kepada saya, dengan nada kecewa, sewaktu tamat sesi wacana tengahari itu. Malah seorang dari Kelang terus menyatakan kekecewaannya melalui SMS panjang kepada saya, mengenai sikap orang-orang PAS yang dilihatnya kurang menghayati budaya ilmu. “Jadi kalau orang kata PAS hanya hendakkan kuasa sahaja, macamana kita nak nafikan?” katanya.

Sebaliknya beberapa orang AJK cabang KeADILan yang saya kenal di sekitar Shah Alam itu ada juga yang hadir. Seorang daripadanya menyatakan minat untuk menganjurkan majlis sama, dengan menjemput pembicara yang sama, sebagai aktiviti biro komunikasi partinya.

Atau apakah semua ini terjadi secara kebetulan sahaja? Maka ia tidak boleh dianggap sebagai mereka tidak berminat, atau tidak ada kesedaran budaya ilmu dan sebagainya

Secara kebetulan pula malam 3 Oktober itu di Shah Alam juga ada satu majlis anjuran Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat yang dipimpin Zulkifli Omar. Malam sambutan Hari Habitat Sedunia. Baguslah, PAS telah menganjurkan sesuatu yang bukan sahaja politik. Tetapi berapa ramaikah yang hadir? Padahal iklannya terpampang dalam Harakah! Dan penceramahnya terdiri daripada Naib Presiden, Salahuddin Ayub.

Yang hadir boleh dihitung dengan jari (walaupun ada persembahan nyanyian oleh Ito). Nampaknya banyak lagilah yang perlu dilakukan PAS sebelum menghulur tangannya untuk membuka pintu Putrajaya.

*Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau SMS 019-9592408

Tiada ulasan:

Catat Ulasan