Samseng bermotor serang ceramah Mat Sabu

Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 8 Okt: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) kesal dengan insiden gangguan pada program anjurannya di Dataran Cikgu Mala, Tenang, malam tadi meskipun ianya mendapat permit.

Kemeriahan Program Pelancaran Kempen Mansuh Hutang Peneroka dan NGO baru di bawah Anak, Gerakan Kebangkitan Peneroka Felda (Bangkit) itu dicemari gangguan melampau sekumpulan remaja bermotosikal sehingga menyebabkan kecederaan di muka seorang anggota Jabatan Amal Johor.

Difahamkan, kira-kira 50 penunggang motosikal itu muncul secara-cara tiba dan berlegar-legar menganggu orang ramai yang hadir mendengar ceramah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Mereka mengacukan rantai besi dan membaling objek keras ke arah orang ramai di kawasan ceramah.

(Gambar: Amer cedera dimuka terpaksa menerima tujuh jahitan)

Presiden Anak, Mazlan Aliman ketika dihubungi hari ini mempersoal sikap polis yang seakan-akan 'melepaskan' mereka membuat gangguan di tempat ceramah.

"Saya sangat dukacita dengan gangguan malam tadi dalam pada program itu dapat permit polis.

"Bagaimana polis menjalankan tugas sehingga kumpulan bermotor itu dapat masuk dengan senang sedangkan sekatan jalan raya diadakan," katanya yang juga Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat.

Ada dalang

Tanpa mengetahui motif gangguan, Mazlan yakin ada dalang di sebalik insiden tersebut.

"Saya yakin ianya dirancang dan kita boleh cari siapa dalangnya tapi saya serah kepada pihak polis untuk menyiasat," katanya.

Dua laporan polis dibuat iaitu oleh mangsa sendiri yang hanya ingin dikenali sebagai Amer, 29, dan satu laporan lagi daripada petugas Jabatan Amal yang lain kira-kira jam 1.40 pagi tadi.

Akibat serangan itu, Amer yang dikejarkan ke Hospital Segamat terpaksa menerima tujuh jahitan di bahagian muka.

Mazlan dalam pada itu meminta pihak yang tidak berpuas hati dengan pihaknya tampil berbincang, bukan membuat serangan sedemikian.

"Kalau nak buat bantahan atau nak serah apa-apa memorandum kepada kami, silakan sebab PAS bersikap terbuka.Jangan gunakna budak-budak buat kerja tak sihat begini," katanya.

Beberapa hari lalu, insiden serangan turut berlaku di program ceramah Mohamad Sabu di Rembau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan