Satim Diman cuba laga Khalid Ibrahim dan istana

Kenyataan Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Satim Diman menggesa Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memohon maaf kepada Sultan Selangor berhubung isu pemeriksaan terhadap Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC), menunjukkan Umno sudah tiada isu lain hendak diketengahkan, dakwa setiausaha politik kepada Menteri Besar Selangor, Faekah Husin.


NONE
Menurutnya, menteri besar tidak pernah menyalahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) seperti yang digembur-gemburkan pemimpin Umno.


Sebaliknya, Faekah (kanan) mendakwa, ia sengaja dicetuskan untuk membangkitkan keresahan umat Islam.

Malah, tambahnya, menteri besar juga tidak pernah meminta maaf bagi pihak JAIS kepada DUMC atau penganjur majlis makan malam amal seperti dilaporkan.

"Setelah membaca laporan awal JAIS, Datuk menteri besar hanya menyatakan kesal dengan kejadian yang berlaku kerana beliau yakin amat sukar bagi JAIS mempertahankan dakwaan," katanya sambil menambah, ternyata, pandangan menteri besar selari dengan pandangan baginda Sultan.
NONE


Katanya, menggesa menteri besar meminta maaf kepada sultan atas perkara yang Satim (kiri) sendiri tidak jelas hujung pangkal, tidak akan membawa kebaikan kepada mana-mana pihak.

Sebaliknya, tegasnya, seluruh rakyat Selangor maklum bahawa menteri besar sentiasa menghormati Sultan Selangor selaku ketua negeri dan ketua agama Islam di Selangor.

Justeru, tegas Faekah, walaupun diasak media dengan pelbagai soalan, menteri besar tetap tenang dan hanya akan mengulas selepas Sultan Selangor bertitah.

Faekah juga mendakwa Satim cuba melaga-lagakan menteri besar dan istana dan pada masa yang sama, menuduh kerajaan Pakatan Rakyat tidak membela umat Islam.
-malaysiakini-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan