Sikap tidak konsisten (umno) terhadap institusi Raja

Sikap tidak konsisten terhadap institusi Raja

Oleh Idzuafi Hadi Kamilan
Penulis kali ini mengambil pendirian yang cukup berhati-hati untuk menulis isu ini setelah apa yang berlaku terhadap Profesor Dr Abdul Aziz Bari apabila teguran beliau di dalam Malaysiakini dilihat sebagai mengaibkan dan menghina Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Ini mengenai titah Tuanku berhubung serbuan yang dibuat terhadap Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
Justeru, penulis memulakan pandangan ini berdasarkan pendekatan historis dan perbandingan di mana merujuk apa yang telah tertulis di dalam Hansard Parlimen supaya tulisan ini berautoriti dan dilihat dan diangkat sebagai pandangan akademik semata-mata berdasarkan rujukan penulis sahaja.
Pelbagai konotasi ditimbulkan khususnya di meja Utusan Malaysia dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) apabila Aziz Bari menerangkan kenyataannya.
Apa yang ditimbulkan Utusan Malaysia, mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan seangkatan dengannya menyebabkan penulis merujuk kembali Penyata Rasmi parlimen pada tanggal 18 Januari 1993.
Ketika itu Dr Mahathir membentangkan Pindaan Perlembagaan berhubung kekebalan Raja-raja yang membawa kepada peruntukan pindaan perlembagaan terhadap Perkara 181 (2) di mana immuniti raja-raja ditarik balik dan raja/sultan boleh dibawa dan dibicarakan di Mahkamah Khas sesuai dengan peruntukan baru yang digubal dalam Perkara 183.
Ketika mana bacaan kali kedua dibentangkan ini, Dr Mahathir telah berhujah ketika membentangkan rang pindaan tersebut dengan katanya ‘menegur dan mengkritik Raja kita tidak bermakna ia akan menghapuskan kedaulatan Raja-raja Melayu’.
Media massa serang institusi Raja
Walau pun begitu serangan-serangan terhadap institusi Raja-raja telah pun di palu beberapa bulan sebelum itu dengan media massa memainkan peranan yang penting.
Ketika itu segala-galanya seolah-olah ‘dihalalkan’ oleh kerajaan untuk mengkritik Raja-raja Melayu jauh lebih berat tentang apa yang diungkap Aziz Bari ketika ini.
Menyorot kembali lapan tahun (1984) sebelum itu, apabila Karpal Singh cuba membawa isu yang sama dalam dewan Parlimen berhubung salah laku seorang Sultan di Malaysia. Beliau telah dikenakan tatatertib dan tidak dibenarkan hadir ke Parlimen sehingga akhir sesi.
Justeru, diposisi mana kerajaan pemerintah berpihak sebenarnya? Mengangkat dan mempertahankan Raja-raja Melayu atau memalukannya?
Jika dilihat berdasarkan kronologi sejarah, Sultan hanya diangkat dan dipertahankan apabila terdapatnya merit terhadap kerajaan pemerintah.
Aziz Bari tidak perlu diperkenalkan lagi apabila menyebut tentang Perlembagaan Persekutuan. Beliau yang menulis tesis PhDnya di Birmingham University bertajuk ‘The Development and Role of Constitutional Monarchy’ (1996) dan sudah menulis hampir 200 artikel journal dan kertas kerja berhubung Perlembagaan Malaysia pastinya arif dengan bidang kepakaran beliau.
Namun, kenyataan beliau menjadi kontroversi apabila disanggah beberapa orang yang tidak ‘cerdik’ berhubung komentar beliau mengenai titah Sultan Selangor mengenai serbuan terhadap DUMC.
Kenyataan Aziz Bari
Apa yang diungkap Aziz Bari bahawa tindakan Sultan Selangor campur tangan berhubung isu pemeriksaan gereja tersebut bukan sesuatu tindakan yang lazim.
Sebagai ketua agama Islam negeri itu baginda mempunyai hak untuk campur tangan tetapi ia perlu dilakukan selaras dengan ajaran Islam. Selain itu, beliau dilihat cuba menyatakan tindakan Sultan ini tidak konsisten.
Jarang sekali kita melihat Yang Dipertuan Agong, Raja atau Sultan mengeluarkan kenyataan begitu spesifik berhubung sesuatu isu yang melibatkan rakyat.
Kebiasaannya kenyataan Raja atau Sultan hanya dilihat ketika pembukaan Dewan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri di mana kebiasaannya teks itu disediakan kerajaan yang memerintah.
Justeru, bila baginda bertitah terhadap sesuatu isu yang spesifik itu walaupun baginda mempunyai hak namun itu yang dikatakan sesuatu tindakan yang tidak lazim.
Namun persoalannya sama ada kenyataan beliau (Aziz Bari) terhadap titah Sultan boleh didakwa di bawah peruntukan undang-undang boleh dilihat dan dirungkai sepertimana di bawah iaitu:
Kecenderungan menghasut dikatakan apabila Seksyen 3 di dalam Akta Hasutan 1948 menyatakan bahawa seseorang boleh didakwa apabila ada kecenderungan (a) bagi mendatangkan kebencian atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja atau Kerajaan atau (d) bagi menimbulkan perasaan tidak puas hati atau tidak setia di kalangan rakyat Yang di-Pertuan Agong atau rakyat Raja mana-mana Negeri atau di kalangan penduduk Malaysia atau penduduk mana-mana Negeri.
Berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada ini, maka seharusnya ia juga perlu dibaca bersama-sama dengan Perkara 63 (5) Perlembagaan Persekutuan di mana dakwaan terhadap seseorang itu hanya boleh disabitkan ke atas beliau jika sekiranya ia menganjurkan atau membangkitkan perasaan ke arah penghapusan institusi Raja-raja.
Justeru, ia bermaksud jika warganegara itu cuba menyarankan atau membuat apa-apa tindakan ke arah ingin menghapuskan sistem beraja maka Seksyen 3, Akta Hasutan harus dikena pakai ke atasnya.
Bagi pandangan penulis, tidak salah beliau memberikan komentar sesuai dengan bidang kepakaran beliau. Pada masa yang sama harus kita ingat kita tidak lagi berada di dalam kekuasaan raja yang berkuasa mutlak sepertimana di ungkap oleh Sir Robert Filmer dalam Patriarcha ‘Natural Power of a King’ (1680).
Malahan kita harus menerima kita hidup di dalam sebuah kerajaan yang mengamalkan sistem demokratik yang dihujahkan John Locke dalam ‘Two Treatises of Government’ yang juga pengkritik hebat buku Filmer tersebut.
Kuasa Raja
John Locke berhujah dalam keadaan di mana sistem demokratik mengambil alih tanggungjawab kerajaan daripada sebuah sistem pemerintahan feudal maka rakyat juga seolah-olah telah menyerahkan hak untuk memerintah dan diperintah di bawah sistem demokrasi. Oleh itu, kuasa Raja telah dilimitasikan dengan cara sebegitu.
Jika dirujuk kenyataan Aziz Bari itu dengan apa yang dilakukan kerajaan pemerintah ketika krisis Perlembagaan pada tahun 1993 itu lebih teruk namun tiada siapa peduli institusi raja pada ketika itu.

Ini kerana menurut Prof. Mark R. Gillen dalam artikelnya yang bertajuk ’The Malay Rulers’ Loss of Immunity’ menyebut kerajaan pemerintah ketika itu parti yang sedang mendapat sokongan rakyat yang majoritinya Melayu menunjukkan sokongan bertambah dari rakyatnya khususnya apabila berhadapan isu yang melibatkan Sultan dan raja Melayu.

Oleh itu, segenap lapisan masyarakat hampir dikatakan menyokong tindakan Barisan Nasional ketika itu. Namun apa yang pasti, berdasarkan pemerhatian Gillen, salah perkiraan pada tahun 1993 akan menghilangkan undi masyarakat Melayu memandangkan institusi Raja dekat dihati rakyat.

Oleh itu apabila fenomena ‘Aziz Bari’ berlaku sekali lagi berkemungkinan mereka mengharapkan sokongan majoriti orang Melayu terhadap apa yang pernah dilakukan mereka walau pun keadaan telah terbalik 360 darjah di mana jika tahun 1993 mereka menghapuskan kekebalan raja-raja, kali ini tahun 2011 mereka bermati-matian menyokong dan melindungi institusi tersebut.

Untunglah Raja-raja kita, kita mempunyai rakyat sedemikian rupa……

*Penulis ialah seorang calon doktor falsafah di Fakulti Undang-Undang UKM dan juga Setiausaha Grup Peguam Abim.
-freemalaysiatoday-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan