Muhammad Faizal
SHAH ALAM, 3 Nov: Himpunan yang dianjurkan oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) di sini hari ini menyaksikan pekerja-pekerja kilang hadir memberi sokongan kepada perjuangan yang dibawa oleh MTUC terhadap Akta Kerja 1955 yang dilihat telah merampas hak pekerja.
Akta yang telah diluluskan di parlimen pada 6 Oktober yang lepas menyaksikan kerajaan akan mengembalikan sistem kontrak yang telah dihapuskan oleh penjajah British sewaktu Akta Kerja digubal pada tahun 1955 dulu.
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang turut hadir memberi sokongan kepada tuntutan hak pekerja itu berkata, akta tersebut dibuat secara haram tanpa mempedulikan hak pekerja di negara ini.
"Sambutan amat baik sekali kita lihat pada hari ini begitu juga sokongan pekerja-pekerja yang balik dari kerja dan mereka singgah bagi memberi sokongan agar kerajaan menarik balik akta yang zalim itu.
"Saya melihat akta ini dibuat secara haram tanpa mempedulikan hak seorang pekerja, yang mana kita lihat kelulusan yang diperolehi oleh akta tersebut maka pekerja kontrak akan terus menjadi pilihan kepada setiap majikan dan ini kerana majikan tidak akan menanggung kos yang tinggi jika mereka mengambil pekerja kontrak.
"Kita tahu setiap pekerja kontrak tidak mempunyai potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan juga SOCSO, jadi tiada lagi kos tambahan ditanggung oleh majikan," jelasnya.
Beliau memberitahu risiko yang paling besar akan dihadapi oleh pekerja adalah mereka tidak mempunyai perlindungan keselamatan yang akan menimbulkan kesulitan yang besar kepada pekerja dan juga keluarga mereka jika sesuatu terjadi ke atas diri mereka sewaktu menjalankan tugas.
Mantan Presiden MTUC, Syed Shahir Syed Mohamud yang juga turut serta piket tersebut memberitahu piket hari ini merupakan satu isyarat jelas yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan.
"Kerajaan perlu memandang serius apa yang berlaku hari ini kerana ia baru permulaan dan kita akan pastikan perhimpunan bantahan ini akan terus diadakan selagi kerajaan mengambil sikap berdiam diri.
"Kita tidak pasti kesan yang akan kita perolehi melalui apa yang berlaku hari ini tapi saya pasti kerajaan akan buka mata bahawa pekerja di negara ini tidak lagi boleh ditindas sesuka hati mereka," katanya.
Sebelum itu piket yang berlangsung hampir sejam setengah itu dihadiri seramai 250 orang pekerja dari pelbagai kilang dan juga agensi.
Perhimpunan itu berlangsung secara aman dan pihak polis telah bertindak mengawal lalu lintas bagi mengelakkan kesesakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan