KUALA LUMPUR, 14 Nov: Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said hari ini membuat laporan polis berhubung fitnah kononnya beliau ditangkap khalwat.
Laporan itu dibuat oleh Setiausaha Politik beliau, Wan Ahmad Nizam Wan Hakim di ibu pejabat polis daerah Kuala Terengganu kira-kira 3.35 petang.
“Saya diarah untuk membuat laporan polis berhubung fitnah itu, dan bersama ini saya serahkan bahan cetak fitnah tersebut (kepada polis) bagi membantu siasatan,” kata Wan Ahmad Nizam dipetik Bernama.
Wan Ahmad berkata pihaknya meminta polis menjalankan siasatan dan mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas individu yang melakukan perbuatan memfitnah itu.
Minggu lalu, Menteri Besar Terengganu berkata mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap beberapa penulis blog yang dikatakan memfitnah beliau ditangkap khalwat di sebuah hotel lima bintang di sini beberapa bulan lalu.
Katanya, fitnah itu memberi tekanan emosi ke atas keluarga beliau.
Ahmad berkata cerita beliau ditangkap khalwat itu diketahuinya sejak tiga bulan lalu, namun hanya mendiamkan diri kerana menganggap ia asam garam orang politik yang perlu berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk ditohmah.
“Saya sedih dan dukacita apabila blog hari ini memfitnah saya secara membabi buta,” kata beliau.
Ahmad dilantik sebagai menteri besar Terengganu pada Mac 2008.
-malaysianinsider-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan