Komuter tergendala gerabak terbakar

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dari Pelabuhan Klang ke Batu Caves tergendala seketika pagi tadi ekoran kebakaran kecil di bahagian bawah salah sebuah gerabaknya.

Kebakaran gerabak itu dikesan pada kira-kira 7.32 pagi ketika tren tersebut menghampiri stesen Sentul di sini.

KTM segera menghubungi pasukan Bomba dan Penyelamat Sentul sebaik sahaja menyedari kejadian itu dan kebakaran tersebut dipadamkan sepenuhnya 20 minit kemudian.

Pengurus Kanan Unit Komunikasi Korporat KTMB, Mohd. Fazil Ismail berkata, pihaknya telah memindahkan penumpang ke tren yang lain ekoran kejadian tersebut.

"Waktu kejadian penumpang tidak ramai dan ini memudahkan kita untuk memindahkan mereka,” katanya kepada pemberita hari ini.

Perkhidmatan KTM juga tidak terjejas sepenuhnya kerana ia hanya melibatkan satu laluan sahaja dan ia tergendala sekejap sebab mengambil masa untuk memindahkan penumpang dan memadam kebakaran.

Mohd. Fazil berkata, perkhidmatan tren laluan Pelabuhan Klang-Batu Caves kini kembali beroperasi sepenuhnya.
-Bernama-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan