'Najib perlu malu ISA diguna lagi'

azlanPenahanan terbaru sekumpulan lelaki bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) disifatkan "mengesahkan kesangsian" rakyat terhadap pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk memansuhkan akta itu sebelum ini.
"Kini ia amat pasti bahawa pengumuman itu hanyalah untuk kepentingan politik Najib dan tidak serius dan jujur dalam memansuhkan akta zalim ini," kata Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) Syed Ibrahim Syed Noh dan Penyelaras NGO hak asasi Suaram E Nalini.

Perdana menteri pada malam hari Malaysia mengumumkan akan memansuhkan ISA dan Akta Buang Negeri 1959 serta akan mengkaji semula undang-undang lain bagi memastikannya memenuhi kehendak semasa.

Dalam kenyataan bersama Syed Ibrahim dan Nalini hari ini, mereka mempersoalkan sama ada Najib cuba memperdayakan rakyat Malaysia berhubung penangkapan pertama selepas pengumuman pemansuhan ISA pada 15 September lalu.

"PM perlu berasa malu atas penangkapan ini," kata mereka sambil menyifatkan tuduhan ke atas kumpulan lelaki itu masih tidak pasti.

Polis dilaporkan menggunakan ISA di Sabah kerana didakwa terbabit dengan kegiatan militan yang menggunakan Tawau sebagai tempat transit senjata dan dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan Abu Omar yang beroperasi dari Kalimantan.

Senaraikan nama, status

Bagaimanapun, memetik sumber, laporan Berita Harian dan The New Straits Times itu tidak sepakat sama ada 10 atau 11 orang ditahan bawah akta kontroversi itu.

GMI dan Suaram pula menyifatkan jumlah dilaporkan hanyalah angka "tidak rasmi" kerana sumber mereka memaklumkan kemungkinan 14 orang ditahan.

Kedua-dua NGO itu turut menyenaraikan nama invidividu yang didakwa ditahan, termasuk status pekerjaan mereka.

Menurut GMI dan Suaram, identiti mereka: Mohd Nazri Dollah (guru agama), Yusof Saripuddin (peniaga ayam) Muhd Adnan Umar dan Darto Bandu (guru tuisyen), Muhd Abduh Umar (pemandu lori), Faizal Hamma dan Joni @ Muadz (pengedar akhbar harian) dan Bakar Baba (guru).

Tiga lagi individu lain - dikenali Adwan, Azmi dan Suriadi - tidak dinyatakan nama penuh dan status pekerjaan mereka.

Pesuruhjaya polis Sabah Datuk Hamza Taib ketika dihubungi dilaporkan enggan mengulas penahanan tersebut kerana kes itu dikendalikan Bukit Aman.
-malaysiakini-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan