Ratu cantik: Jais digesa ambil tindakan tegas

Harakahdaily
KUCHING, 21 Nov: Dewan Pemuda PAS Negeri Sarawak (DPPNS) menggesa Jabatan Agama Islam Sarawak (Jais) untuk mengambil tindakan yang lebih tegas kepada 5 peserta muslim yang menyertai pertandingan akhir Ratu Cantik Borneo, kelmarin.
Apa yang menyedihkan mereka nekad untuk meneruskan niat menyertai pertandingan itu walaupun Jais, Majlis Islam Sarawak dan Sahibus Samahah Mufti Negeri Sarawak telah mengadakan sesi kaunseling seperti yang telah dilaporkan pada 19 November lepas dalam Borneo Post dan 20 November oleh Harian Metro.

“Mereka mendakwa bahawa diberi layanan yang baik oleh penganjur, ini bukanlah alasan untuk mereka ketepikan syariat Islam dalam menentukan pertandingan ratu cantik yang nyata mendedah aurat dan bercanggah dengan syarak.

“Kita juga tidak mahu Jais lesu dan lemah dalam menangani isu seperti ini,” kata Timbalan Ketua DPPNS, Ustaz Ahmad Solihin.

Menurutnya, kefahaman mereka tentang Islam itu lemah dalam menentukan sesuatu perkara yang bercanggah dengan syariat atau tidak.

“Dek kerana orang berlaku baik, kita sanggup gadaikan maruah agama kita?

“Kenapa Jais tidak boleh bertindak dengan lebih tegas ke atas kes seperti ini?” soalnya.

Beliau juga kesal kerana lima peserta itu juga dikatakan tidak menghiraukan nasihat yang diberikan dan merasa rugi jika tidak sertai pertandingan akhir kerana telah berlatih.

Justeru, tegasnya DPPNS sekali lagi menggesa Jais tidak menjadi seperti Jabatan Agama Islam Selangor yang sibuk mencari pendakwah yang tidak bertauliah berbanding dengan mengambil tindakan kepada mereka yang mencemarkan imej Islam seperti itu.

DPPNS juga, ujarnya kesal dengan kenyataan Pengarah Jais, Abang Shamsudin yang mengatakan bidang kuasa jabatan itu hnaya mampu menasihat mereka sahaja.

“Kenyataan ini seolah-olah umat Islam di Sarawak boleh memandang sebelah mata kepada Jais apatah lagi tiada pegawai Jais yang memantau kemuncak pertandingan tersebut Sabtu lepas kerana bimbang berlaku salah faham,” ujarnya.

Justeru, katanya lagi DPPNS mendesak agar Jais bertindak dengan lebih proaktif dengan memastikan maruah dan aurat wanita Islam Sarawak tidak diperdagangkan sewenang-wenangnya atas nama pertandingan ratu cantik.

Katanya, kemelut itu merupakan kemelut tambahan yang melanda umat Islam di Sarawak bila mana badan penguatkuasa Islam yang sepatutnya memelihara Islam dalam rakyat yang beragama Islam tidak mampu berbuat demikian.

Menurutnya, pada pertegahan tahun ini Jais turut didakwa gagal mengawal rakyat yang beragama Islam daripada menyertai ratu pondan di Sibu.

“Dalam bajet negeri yang baru dibentangkan jelas kerajaan negeri tidak menitikberatkan pembinaan pemahaman Islam yang terbaik untuk umat Islam di Sarawak dengan tidak memberikan peruntukan yang jelas berkenaan pendidkan Islam kepada umat Islam,” ujarnya.

Beliau berkara, sekiranya kerajaan negeri serius untuk memberikan pemahaman Islam yang kukuh kepada rakyat Sarawak yang beragama Islam, perkara seumpama itu pasti dapat dikawal dengan wujudnya komuniti yang lebih sensitif terhadap tuntutan agama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan