Siapa PM pasca PRU13?

TAN SRI ABDULLAH AHMAD
Saya gembira berkorban di kampung kelahiran, Perdana Menteri menunaikan haji sekian kali, Anwar Ibrahim sah PM kalau DAP-PAS-PKR menang dalam PRU13 dijangka berlangsung musim bunga atau musim panas 2012, satu tahun lebih awal dari tempoh tamat. Ku Li PM (Kadir Sheikh Fadzir TPM?) takdir AMANAH jadi kuasa penentu. Pas, apa jadi pun, mahu melaksanakan hudud.

Sesetengah media memperlekeh Perkasa. Ibrahim Ali, saya fikir, lebih berpotensi sebagai ‘spoiler’ daripada Zaid Ibrahim, AMANAH kecuali Ku Li tinggalkan Umno sebelum PRU13. Tidak mungkin kerana Ku Li antara winnable candidates Umno! DAP berhasrat sangat untuk mengurangkan bilangan anggota perkhidmatan awam sungguhpun Anwar bersabda keazaman DAP itu ‘politik bodoh’ sambil menambah, ‘iktikad itu baik dari segi ekonomi’.

Satu ungkapan pintar. Cadangan DAP itu menyenangi ‘hati dan minda’ pengundi Cina, fixed deposit DAP. Kalau kecelaruan strategi dan matlamat pembangkang dan NGO terus wujud Najib Razak, kepimpinannya direstui kerajaan Wahabi Saudi, Amerika Syarikat, kelihatan kuat memasuki gelanggang PRU13, diperkukuhkan lagi andainya ekonomi berkembang, pengundi Cina terus dipujuk dan disogok walaupun hasilnya sukar dijamin. Undi Melayu-Bumiputera dan India nampaknya steady. Sarawak dan Sabah comfortable.

Pukul rata rakyat kelihatan mensyukuri nikmat, keamanan dan kemakmuran yang relatif itu walaupun mereka amat mual dengan rasuah, kerenah birokrasi, bisnes dan awam, kebongkakan setengah pemimpin, kekayaan, kebendaan dan gaya hidup yang dipamerkan oleh setengah pemimpin, keluarga, kroni dan cheerleaders, tukang sorak dan tepuk.

Tiada boleh dinafikan kesatuan dan solidariti negara kini tidak sekuat dahulu tetapi polarisasi kaum yang menyebabkannya bisa dikurangkan kalau politikus, ahli perniagaan, semua aktivis sosial, NGO tahu kedudukan dan potensi masing-masing. Kelemahan, kekuatan dan risiko bermain api. Solidariti negara dan kesatuan rakyat menghadapi berbagai rintangan, cabaran namun saya yakin penuh keselamatan negara, bangsa dan agama dapat dipertahankan.

Tidak terfikir oleh saya ada pihak yang berani mengambil risiko menggugatkan kestabilan yang wujud. Digniti, kewibawaan agama Islam, Bahasa Melayu, bangsa, watan mesti dijunjung dan dibela. Rakyat tidak akan berputih mata melihat dan membiarkan sebarang unsur, elemen, ejen dan genjala tertentu menimbulkan perpecahan, mencabuli Kontrak Sosial dan Perlembagaan negara. Kalau ada kekurangan dalam Kontrak Sosial ia mesti diperkuatkan lagi, harus lebih kreatif seperti ditegaskan oleh Khairy Jamaludin, Ketua Pemuda Umno.

Berkat Hari Raya Aidiladha dan bulan baik ini saya menyeru semua pemimpin, baik di negeri dikuasai Umno/BN, Pas/Pakatan, DAP/Pakatan membulatkan usaha, meningkatkan bakat, lebih kreatif lagi bagi menjayakan pembangunan bangsa dan negara. Mereka di Putrajaya pula cubalah kurangkan kesombongan, ketidakikhlasan. Memohonlah hidayah agar peluang, pengagihan bisnes, kontrak (kepada yang berhak dan wajar), promosi, peruntukan projek dilaksanakan secara adil dan saksama tanpa kira negeri itu BN atau Pakatan. Kita senasib: sama senang sama susah.

Terbayang zaman silam di tanah pusaka di Kampung Bandar, 10 kilometer di barat Kok Lanas di tebing Sungai Kelantan. Dulu tanahnya subur, hijau dengan bukit, dusun, sawah, kebun getah dan padang. Indah dan damai. Suasana aman, penuh ukhuwah, kehidupan segar, simple, tertib dan berukun. Gaya hidup sekarang amat berubah. Desa sudah menjadi separuh suburbia dengan segala kerenahnya.

Orang Kelantan juga Kedah, Terengganu dan Perlis terus ceria, yakin walaupun dalam kurun 21 mereka, perhati Speaking, ‘feel secure politically’. Kedudukan dominan mereka dalam siasah, sosial tidak terancam - tidak seperti sebangsa seagama terutama di Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Negeri Sembilan apa lagi lah di Pulau Pinang mengikut pandangan seorang jemaah solat Subuh di Masjid Telipot, di pinggir bandar Kota Bharu, Selasa 8 November. Saya kagum – lebih 300 jemaah - walaupun majoritinya lebih tua daripada saya - menunaikan sembahyang Subuh.

Selesai solat sejumlah jemaah mendengar kuliah Subuh oleh imam besar, Ustaz Abdul Majid Abdul Rahman, ulama dan imam muda. Beberapa orang selepas kuliah termasuk seorang rakan sekolah saya mengulangi mengaji al-Quran dengan Tok Siak/Bilal. Di Kelantan, juga dalam masyarakat Melayu lain, mengulangi atau memulai mengaji lazimlah apabila bersara dan usia sudah lanjut.

Bahasa hidup dan aktif di Malaysia atau lingua franca adalah Bahasa Melayu; Mandarin, Tamil juga digunakan. Bahasa Inggeris dalam kalangan elit, yang ingin menganggotai kelompok minoriti ini dan yang bermimpi mereka anggota golongan terpilih! Bahasa ibunda saya Bahasa Melayu loghat Kelantan, setelah ke sekolah bahasa Zaaba; selepas itu Bahasa Inggeris. Bukan pilihan saya - keadaan memaksakan saya mempelajari dan menguasai Bahasa Inggeris.

Saya tidak menyesal, berasa bertuah kerana tanpa Bahasa Inggeris apa lagi di zaman penjajah hatta sekarang pun sosial dan karier mobiliti seseorang itu agak terhad. Saya menyesal tidak belajar Bahasa Arab dan Mandarin. Apa pun nasihat saya tiap orang Malaysia seharusnya boleh bertutur dalam tiga bahasa. Keputusan kerajaan memberi ibu bapa pilihan atau opsyen belajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Mandarin atau Tamil wajar – satu permulaan memartabatkan Bahasa Melayu dan Inggeris!

Apa pun saya sampaikan satu berita baik bagi non-speaking, pejuang dan nasionalis bahasa dan mereka yang bertutur patois. ‘The language of success – poor English doesn’t keep U.S. immigrants from flourishing in business’. Sila baca harian International Herald Tribune, edisi Global, Khamis 10 November. Harganya satu naskhah RM7.50 atau 23,000 Rupiah. Selamat membaca.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan