Umno sudah habis ikhtiar

LANJUSOH

BIARPUN Dato’ Seri Najib Razak menolak nujum awal pilihan raya pada tanggal 11.11.2011, namun semboyannya sudah lama ditiup. Orang politik sedia maklum mainan di belakang tabir sekarang.


Inilah kelebihan yang masih dipertahankan kerajaan Barisan Nasional (BN) apabila rahsia tarikh pilihan raya menjadi keramat milik Perdana Menteri atau Presiden Umno.

Sedangkan status quo seperti itu sudah lama ditinggalkan negara lain. Inilah keunikan Malaysia yang masih kekal di bawah ketuanan Umno dan BN sehingga melewati lebih 54 tahun.
Ketuanan diktator lain yang dikatakan sangat kebal sebelum ini, satu demi satu jatuh dan tersungkur. Ramai masih ingat nasib Suharto dan Marcos sebelum ini.

Ferdinand Marcos diguling rakyat pada 1986 dan diganti Corazon Aquino. Suharto jatuh kerana kuasa rakyat pada 1998, hasil ledakan reformasi mahasiswa dan golongan marhaen.

Begitu juga Muamar Gaddafi, Zine El Abidine Ben Ali dan Hosni Mubarak hari ini hanya wujud pada catatan sejarah.

Tidak kurang juga dengan monarki di bawah Shah Mohamad Reza Pahlavi diguling pada 1979 akibat amukan rakyat Iran.

Sebelum ini tiada siapa yang mampu menyaingi mereka. Situasi itu tidak mampu ditolak dan bakal menerjah sesiapa sahaja, tidak terkecuali di Malaysia.

Umno dan BN juga sedang menunggu nasib seperti dialami diktator di Asia Barat dan Asia Tenggara.

Maka mengambil kira fenomena yang bakal mendatang itu, Umno di Kelantan terpaksa berhempas pulas untuk bangkit seperti tahun 2004.

Detik seperti itulah yang amat diharapkan Umno di bawah Dato’ Seri Mustapa Mohamed sekarang. Ketika itu Umno bangkit dan boleh dikatakan paling cemerlang dalam lingkaran sejarah 20 tahun kebelakangan ini.

Kejayaan melonjak sehingga menguasai 22 kerusi di peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun) dan 9 kerusi parlimen masih dikenang.

Kata-kata yang mashyur ketika itu, ‘kerajaan PAS Kelantan hanya menang dengan kelebihan satu kerusi dan dua undi’.

Persoalannya apakah kejayaan Umno dan BN tersebut kerana Mustapa atau ada elemen lain. Alasan paling aula kerana ‘ombak’ dicetus Tun Abdullah Ahmad Badawi yang dikenali sebagai Mr Clean.

Ombak terbabit berjaya memperdayakan ramai orang Melayu di Kelantan. Orang Melayu jatuh hati apabila melihat Pak Lah menjadi imam solat.

Ada penyokong PAS yang terang-terangan mengakui mengundi calon Umno kerana alasan hubungan keluarga. Malah ada analisis menyebut kerana faktor pertambahan pengundi luar ketara. Umno dikatakan berjaya melonggok pengundi tidak dikenali di kawasan tertentu dalam misi menawan Kelantan.

Sama dengan misi diamalkan di Terengganu. Di kawasan yang dikenali kubu PAS dipindahkan pengundi Umno ke kawasan lebih berpotensi parti itu menang mudah. Malah ada maklumat menyebut pengundi dari negara jiran lebih awal dibawa masuk ke Jeli.

“Kalau sebelum ini pengundi terbabit hanya masuk ke sempadan Kelantan pada hari mengundi, namun pada 2004 mereka dibawa masuk awal. “Ramai kelihatan berada di Jeli. Dan pada hari mengundi pintu sempadan diperketat kerana pengundi terbabit disyaki tidak cenderung mengundi BN,” kata satu sumber.

Maka tidak hairanlah pada 2004 Mustapa menang di Jeli dengan majoriti 7,353 undi, sedangkan pada pilihan raya umum (PRU) 1999 beliau tewas dengan 693 undi kepada Apandi Mohamad.

Begitu juga di kawasan lain yang terletak di sempadan Thailand, Umno memperlihatkan taringnya.

Di Jeli ada dua kem tentera iaitu Batu 11 dan Batu Melintang. Rupanya Mustapa selamat kerana undi pos. Pada PRU 1999 Mustapa gagal dalam percubaan pertama kerana undi tentera dilihat lebih simpati terhadap kes mata lebam Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Maka tidak hairanlah Apandi, seorang profesional yang mampu menjadi imam ketika itu berjaya menyingkirkan Mustapa.

Namun selepas PRU 1999, dikatakan ramai pegawai tentera di beberapa kem di Kelantan ditukar kerana membiarkan undi pos tidak menyebelahi BN. Suara reformasi di kem-kem tentera ditumpulkan. Dan ketika menghadapi PRU 2004, pegawai kanan tentera dilihat lebih jinak dengan pemimpin-pemimpin Umno.

“Saya pernah hadir pada satu majlis anjuran Umno bersama pegawai kanan tentera dan anggota bawahan di sebuah hotel di Kota Bharu. Ketika itu pemimpin Umno terbabit secara terus terang meminta tentera undi BN,” kata seorang bekas perajurit.

Maka berdasar persembahan begitu rapi dibuat pada kempen PRU ke-11, maka tidak hairanlah Umno dan BN tiba-tiba bangkit.

Pemimpin Umno yang pernah tercalit dengan skandal pun boleh menang.

Tambahan pula kemenangan tersebut seperti diizinkan penyokong PAS apabila sikap over confident dipamerkan dengan luar biasa.

Sikap dan tabiat merasa menang mudah dibiarkan tertanam dalam jiwa mereka.

Sedangkan politik sekular kaya dan muslihat dan tipu helah. Persoalannya sekarang apakah tabiat terbabit dibiarkan berulang kembali. Diteropong pula kepada gerak kerja Umno, nampak mereka seperti bersungguh-sungguh sangat sekarang.

Umno bergerak melalui Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan, Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) dan beberapa agensi Kerajaan Pusat sudah turun padang.

JKKKP dan wanita Umno cawangan tidak segan turun naik ke rumah penduduk mengagihkan bantuan makanan.

Biarpun biskut yang diberi hanya separuh tin, namun mereka kelihatan bekerja.

Di seluruh sekolah di Kelantan Umno menggunakan pentas PIBG dengan kehadiran ibu bapa mengagihkan bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM).

Di kawasan parlimen Kota Bharu peruntukan KWAPM yang disediakan tahun ini berjumlah RM1.39 juta. Wang sebanyak itu diberi kepada 6,390 pelajar antara RM200 hingga RM300 setiap seorang.

Setidak-tidak wang sebanyak itu mungkin sudah mampu ‘membeli’ hati ibu bapa pelajar.

Mereka yang siang dan malam hanya menonton televisyen lebih mudah dipancing. Berlainan dengan mereka yang sering mengelek Harakah atau Suara Keadilan.

Biarpun anak penyokong PAS dan Pakatan Rakyat banyak disisih, namun Umno seperti berjaya mengagihkan harta kerajaan sesama mereka.

Pada setiap awal tahun ibu bapa terpaksa tebal muka mengunjungi rumah JKKKP untuk menandatangani borang bantuan buku teks sekolah anak dan KWAPM.

Penghulu dilantik kerajaan negeri tidak diperakui Jabatan Pelajaran Kelantan. Beberapa agensi kerajaan yang terbabit dengan projek bantuan rumah subsidi juga memastikan borang permohonan ditandatangani JKKKP dan ketua bahagian.

Boleh dikatakan setiap bantuan yang berpangkal daripada kerajaan pusat mesti melibatkan peranan JKKKP.

Di sinilah kelebihan Umno memancing hati rakyat.

Namun, biarpun banyak program dan kebajikan yang disediakan untuk rakyat, malangnya modal itu hanya berpusing di lubuk Umno sahaja.

Bantuan kerajaan pusat yang disalurkan Umno tidak mengintai orang yang disifat berada di atas pagar. Dan jauh sekali untuk mendekati penyokong PAS dan Pakatan.

“Berdasar kepada perkembangan itu Umno tidak mampu pergi jauh. Umno sekadar memperkuatkan kubu mereka,” kata Adun Dabong, Arifabillah Ibrahim.

Pemimpin Umno juga seperti lupa mereka mengkhianati wang royalti rakyat yang disihir menjadi ihsan. Hari ini biarpun mereka tidak mengakui, namun segala bantuan dihulur kepada penyokong Umno tidak mampu dinafikan, ia dikorek dari tabung ihsan.

Pelbagai cara dan ikhtiar dilakukan Umno bagi mengumpul dana pilihan raya termasuk menyerap persen daripada peruntukan projek kerajaan pusat di Kelantan.

“Pelbagai projek baru dicipta termasuk membeli tanah seekar tanah dengan harga jutaan ringgit, sedangkan projek tidak wujud.

“Projek itu hanya bertujuan menyedut peruntukan daripada pusat untuk dana pilihan raya Umno,” ujar satu sumber.

Mereka juga sebenarnya lupa ribuan rakyat Kelantan solat hajat menuntut wang ihsan di Stadium Sultan Mohammad Ke IV awal 2010, bakal memberi kesan.

Doa orang yang dianiayai lebih dekat di sisi Allah Taala.

Semuanya itu Mustapa dan Dato’ Dr Awang Adek Hussin seperti buat tak endah.

Pembalasan Allah mungkin tidak berlaku hari ini, tetapi boleh menimpa pada hari mengundi PRU ke-13 nanti.

Umno sudah habis ikhtiar untuk menawan Kelantan, cuma sejauh manakah PAS dan KeADILan merebut peluang yang tersaji sekarang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan