Awie mengaku bergaduh di sebuah kelab di Langkawi

KUALA LUMPUR: Pelakon dan vokalis kumpulan Wings, Awie, mengakui pergaduhannya di sebuah kelab di Langkawi pada bulan lalu kerana perbuatan provokasi individu tertentu yang mengeluarkan kata-kata kesat terhadapnya.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman berkata, pergaduhan tersebut berpunca apabila segelintir pengunjung enggan menghormati permintaannya agar tidak mengambil gambar dia di dalam kelab.

"Punca pergaduhan tersebut adalah kecil apabila saya enggan bergambar dengan mereka di dalam kelab. Saya beritahu kalau nak bergambar, ambil di luar kelab sahajalah tetapi mereka tidak hormat permintaan saya.

“Kerana tindakan itu mereka melakukan provokasi dengan mengeluarkan kata-kata kurang enak sehingga membangkitkan perasaan marah saya,” katanya.

Awie ditemui selepas pelancaran Konsert Awie dan Ella, Raja dan Ratu Rock Malaysia di Istana Budaya di sini, pada Rabu.

Konsert berkenaan akan diadakan selama empat hari bermula pada 12 Januari 2012.

Dalam pada itu, Awie menafikan dakwaan dalam sebuah blog hiburan yang mengatakan dia dipukul teruk namun mengakui ada berlaku pergaduhan antara dia dengan beberapa pengunjung di luar kelab itu.

"Kira-kira 30 orang telah datang untuk menyerang saya di luar kelab tetapi mereka tidak berjaya menyentuh saya dan disebabkan itu mungkin mereka lebih berang terhadap saya.

"Anda (wartawan) boleh melihat sendiri tidak ada satu lebam pun berada di badan atau muka saya, jadi laporan mengatakan saya dibelasah teruk adalah tidak benar," ujarnya.

Sementara itu, kata Awie, dia kesal apabila ada pihak luar campur tangan dalam kejadian tersebut dan menganggap pihak yang menyerangnya mempunyai motif tersendiri.

"Kelab berkenaan mempunyai sekuriti yang saya yakin boleh meleraikan pergaduhan antara kami tetapi mengapa perlu melibatkan orang luar dalam kejadian itu?

"Saya tidak faham motif mereka melakukan perbuatan itu terhadap saya kerana kunjungan saya ke sana bukan untuk mencari masalah dengan sesiapa," ujarnya.

Awie berkata, pergaduhan itu selesai apabila dia dibawa ke balai polis berdekatan namun tiada sebarang laporan polis dibuat oleh kedua-dua belah pihak.

Ditanya mengapa dia ke Langkawi Awie memberitahu, tujuannya ke pulau itu untuk melihat sebidang tanah yang dibelinya beberapa tahun lalu selain mendapat undangan membuat persembahan di kelab berkenaan.

Terdahulu, sebuah blog hiburan melaporkan Awie ke Pulau Langkawi untuk menghadiri satu mesyuarat anjuran Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) dan menghabiskan masa di kelab berkenaan bersama pengawal peribadinya sebelum berlakunya pergaduhan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan