Betulkah Khir Toyo Dikorban Untuk ‘Wajarkan’ Anwar Ke Penjara?

Khir Toyo Dikorbankan Untuk 'Wajarkan' Anwar Ke Penjara
KEPUTUSAN Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini yang menyabitkan kesalahan ke atas mantan Menteri Besar Selangor, Dr. Mohd Khir Toyo kerana menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan sebuah hartanah dengan harga lebih rendah, membuktikan satu perkara yang pasti, Datuk Seri Anwar akan didapati bersalah dan dihumban ke penjara!!


Justifikasinya, dengan keputusan ini, UMNO/BN mengharap rakyat tidak akan mempersoalkan sistem keadilan negara bila Anwar kelak didapati bersalah dan dihantar ke penjara kerana pemimpin UMNO sendiri seperti Khir Toyo juga didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman.

Pendek kata, keputusan ke atas Khir Toyo hari ini adalah ‘jawapan’ UMNO/BN jika keputusan Anwar nanti dipersoalkan banyak pihak dari segi kebebasan hakim membuat keputusan.

Tapi penulis ingin mengingatkan kerajaan bahawa rakyat bukan bodoh. Dengan informasi dihujung jari pada hari ini, semua maklumat mudah didapati tidak seperti dahulu. Pendakwaan ke atas Khir Toyo ini sebenarnya terlalu ‘ringan’ kerana dia dituduh dibawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan, bukan Akta Pencegahan Rasuah dan Akta baru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang lebih berat hukumannya.

Hukuman penjara pun maksimum 2 tahun sahaja selain denda.

Selain dari itu, maklumat yang penulis perolehi dari mereka yang arif dengan soal perundangan, Khir Toyo tidak mungkin didapati bersalah atas tuduhan yang dikenakan ke atas kerana satu faktor yang utama – nilai hartanah itu tidak ditentukan oleh Khir Toyo tetapi penilai hartanah yang bertauliah, Rahim & Co.

Justeru bila hakim Dato Mokhtarudin Baki masih mendapati Khir Toyo bersalah, penulis melihat adanya ‘tangan-tangan ghaib’ yang mempengaruhi hakim dalam membuat keputusan tersebut. Logik ini ada kerana campur tangan eksekutif dalam sistem perundangan dan kehakiman Malaysia bukanlah suatu perkara yang baru.

Ia sudah menjadi rahsia umum sejak sekian lama dengan pertubuhan berkaitan keadilan seperti Majlis Peguam sendiri telah mengadakan beberapa siri bantahan menuntut proses kehakiman yang bebas daripada campur tangan eksekutif. Masalah ini telah mendapat perhatian antarabangsa dengan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melantik Pelapor Khas untuk memantau perjalanan sistem perundangan di Malaysia.

Satu ketika dahulu, Hakim Datuk Muhamad Kamil Awang pernah membuat pengakuan terbuka ada menerima panggilan telefon dari pihak yang tidak dinamakan yang mengarahkannya menggugurkan petisyen pilihanraya Likas yang didakwa dicemari pengundi hantu.

Jadi penulis tidak lihat keputusan mahkamah ini sebagai kebebasan sistem kehakiman yang diharapkan rakyat. Ia masih lagi percaturan politik bagi mewajarkan tindakan yang bakal dikenakan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertuduhan fitnah meliwat Saiful Bukhari.

Khir Toyo masih mempunyai ruang untuk merayu ke mahkamah yang lebih tinggi, ditambah dengan latar belakang kesnya yang lemah, tidak mustahil dia akan dibebaskan di peringkat rayuan besok.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan