Dr M pernah tuduh Musa Hitam agen asing

Nazli Ibrahim

Tuduhan agen asing atau pengkhianat kepada agama, bangsa dan negara adalah satu senjata yang telah digunakan oleh Umno semenjak dahulu lagi bagi membunuh pengaruh pihak yang menentang pemimpin parti itu.


Ketika Umno bergolak pada tahun 80an sehingga membawa peletakan jawatan Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam gara-gara tidak sehaluan dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, label agen asing juga telah digunakan oleh Mahathir terhadap beliau.

Setelah Musa Hitam meletakkan jawatan beliau telah bergandingan dengan Tengku Razaleigh Hamzah bagi menentang Mahathir dan Tun Ghafar Baba dalam Perhimpunan Agung Umno yang membawa kepada Umno diisytiharkan sebagai pertubuhan haram oleh mahkamah.

Perkara ini diakui sendiri Musa Hitam di dada-dada akhbar tempatan selepas tidak berapa lama Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dari kerajaan dan Umno.

Ketika itu, Anwar juga telah dilabel oleh Mahathir dan pemimpin-pemimpin Umno yang tidak sehaluan dengan Anwar sebagai agen asing kepada Amerika sekaligus dianggap sebagai pengkhianat negara.

Kata Musa Hitam dalam sebuah akhbar media arus perdana ketika itu, bukan Anwar sahaja yang pernah dilabelkan agen asing, malah beliau juga ketika menentang Mahathir turut dituduh dengan tuduhan yang sama oleh Mahathir dan pemimpin-pemimpin yang menyokong Mahathir.

Utusan Khas

Bagaimanapun selepas beberapa tahun kemudian, Musa Hitam yang dilabelkan sebagai agen asing itu telah dilantik oleh Mahathir sendiri sebagai Duta Khas Malaysia ke PBB dan Utusan Khas Perdana Menteri untuk Kumpulan Bertindak Peringkat Menteri Komanwel (CMAG).

Beliau juga diberi kepercayaan oleh Mahathir untuk mengetuai perwakilan Malaysia untuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia PBB (UNHCR) dari 1993 sehingga 1998, dan dipilih sebagai Pengerusi Sesi Ke-52 untuk Suruhanjaya tersebut pada tahun 1995.

Pada tahun 1999, sekali lagi Musa telah dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) sehingga 2002.

Selain itu, beliau turut mendapat kepercayaan kerajaan apabila dilantik sebagai Pengerusi kepada sebuah syarikat kaitan kerajaan (GLC) yang besar dan terkenal.

Apakah mungkin Mahathir dan PM selepasnya mampu memberikan begitu banyak kepercayaan kepada seseorang yang diketahuinya adalah seorang agen asing yang juga pengkhianat negara?

Hakikatnya Mahathir telah memberi kepercayaan kepada Musa Hitam di peringkat antarabangsa kerana mengetahui tuduhan agen asing dan pengkhianat yang dibuatnya sendiri ke atas Musa sebelumnya tidaklah benar.

Sebaliknya Mahathir sedar tuduhan itu hanyalah senjata rekaannya dan Umno sendiri untuk memusnahkan pengaruh Musa Hitam dalam Umno dan masyarakat umum.

Adakah tuduhan agen asing dan pengkhianat negara memang terdapat dalam buku manual ‘Bagaimana memusnahkan pengaruh musuh Umno’ milik Umno?

Apapun, membuat tuduhan terhadap musuh politik sebagai agen asing dan pengkhianat negara hari ini tidak lagi dianggap sebagai senjata yang berkesan.

* Penulis merupakan seorang penulis/wartawan bebas. Selain di FMT artikel lain beliau boleh dicapai di bedukcanang.blogspot.com.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan