"Hanya tiang elektrik dan unta sahaja yang tidak batuk di Mekah"

zulsulung
"Hanya tiang elektrik dan unta sahaja yang tidak batuk di Mekah" adalah kenyataan paling popular di kalangan jamaah haji di Mekah dan juga Madinah.

Ia dibuat untuk memberikan justifikasi apabila ditanya kenapa batuk....mereka menjawab, saya tidak sakit kerana semua orang batuk, tidak ada yang tertinggal.

Namun apabila batuk terlalu berlebihan dan ubat yang diberikan oleh klinik Tabung Haji di Mekah dan Madinah tidak dapat mengurangkannya, sebagai manusia, masing-masing mula berfikir...kenapa ia berlaku.

Takkan tidak ada ubat yang sesuai untuk menghentikan batuk ini atau sekurang-kurangnya meredakan batuk yang dihadapi mereka.

Dan jawapannya diperolehi oleh penulis hanya selepas pulang ke Malaysia.

"Sebenarnya, batuk ada dua jenis...Satu yang berkahak dan satu lagi yang kering atau gatal-gatal di tekak akibat debu. Batuk di Mekah dan Madinah adalah jenis kering yang disebabkan oleh debu halus yang masuk ke dalam sistem badan kita melalui saluran pernafasan dan mulut.

"Debu ini pula halus dan kering kerana cuaca di sana yang panas dan kering," terang seorang doktor yang ditemui selepas pulang ke tanah air.

Untuk batuk jenis berkahak, ubatnya adalah yang berwarna hitam. Brandnya adalah macam ubat batuk cap Kelapa Laut Afrika tu.

Manakala untuk batuk akibat dari debu kering ini adalah yang berwarna kuning jernih itu atau brandnya adalah ubat batuk cap ibu dan anak.

"Jadi apabila kita makan ubat batuk warna hitam itu, batuk kita tidak akan berhentilah, bahkan boleh bertambah lagi," beritahu doktor berkenaan.

Sebenarnya inilah yang berlaku kepada jamaah haji Malaysia. Boleh dikatakan mereka telah diberikan ubat batuk yang salah.

Ketika lawatan kali kedua ke klinik Tabung Haji di Mekah, saya meminta petugas perubatan yang memeriksa saya (bukan doktor) yang bertugas memberikan ubat batuk yang lain kerana selepas sebotol ubat batuk (yang berwarna hitam itu) saya makan, ia tidak memberikan sebarang kesan.

"Tidak ada yang lain encik. Hanya ubat ini yang dibekalkan oleh Tabung Haji," kata petugas perubatan berkenaan.

Inilah nasib jamaah haji Malaysia. Ketika hampir kesemua mereka berpuashati dengan perkhidmatan yang diberikan oleh Tabung Haji, isu ubat batuk menjadi isu yang tidak berkesudahan.

Isu ini pula dihadapi oleh hampir semua jamaah kerana 'tiang elektrik dan unta' sahaja yang tidak batuk di sana.

Ketika berbincang dengan doktor yang saya temui di sebuah klinik di Malaysia selepas pulang, beliau bersetuju bahawa saya adalah salah seorang mangsa penyalahgunaan kuasa dan amalah rasuah atau salah guna kuasa di Malaysia.

Beliau yakin, Tabung Haji adalah antara pihak yang terperangkap dan menjadi mangsa amalan ini.

"Sebenarnya, sejak beberapa tahun lepas, hanya ada satu syarikat sahaja yang berhak membekalkan ubat kepada Tabung Haji. Syarikat itu pula amat baru dalam bidang ini dan mendapat kontrak secara fast track bukan kerana kemampuan dan track rekordnya.

"Hasilnya inilah...ubat yang perlu lain, yang dibekal lain," kata doktor berkenaan.

Akibat dari ketidak berkesanan ubat batuk ini, hampir semua bilik penginapan jamaah haji Malaysia, penuh dengan botol-botol ubat batuk ini, namun mereka tetap batuk.

Di dalam masjid, samada Masjidil Haram di Mekah atau Masjid Nabawi di Madinah, batuk menjadi satu irama. Sahut menyahut antara satu sama lain. Dan antara pemain utamanya adalah jamaah haji Malaysia yang bilangannya hanya minoriti itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan