Najib perlu fahami mesej mahasiswa, mansuhkan Auku – Aziz Bari


KUALA LUMPUR 20 Dis: Pakar Perlembagaan, Profesor Dr Abdul Aziz Bari menegaskan Datuk Seri Najib Razak perlu memahami mesej dari mahasiswa yang menurunkan bendera yang memapar wajahnya pada 17 Disember lalu.


Menurutnya, beliau tidak melihat ia merupakan satu kesalahan, sebaliknya sebagai protes keengganan Najib memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

“Saya tidak nampak mereka melakukan apa-apa kesalahan, mereka tidak merosakkan harta benda… tidak. Mereka menurunkan dan kemudian menaikkan semula bendera.

“Mereka hendak siasat di bawah undang-undang apa? Nak ambil tindakan di bawah peruntukan apa?” katanya yang juga Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIAM).

Beliau mengulas himpunan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) bersama Gerakan Mahasiswa Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS) yang berhimpun dan berarak di hadapan pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Sabtu lalu.

Menjawab soalan sama ada tindakan itu sesuatu yang tidak beradab, Aziz berkata, “kalau nak kata beradap tidak beradap, kita pun saksikan banyak perbuatan dan tindakan pemimpin-pemimpin Umno yang tidak beradap, tidak sopan sebelum ini.”

“Saya tidak melihat menurunkan bendera Najib ini sesuatu yang tidak beradap, seteruk tindakan mereka sebelum ini,” katanya lagi.

Aziz yang menjadi sasaran siasatan polis, pengurusan UIAM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dua bulan lalu menegaskan, selagi kerajaan tidak memansuhkan AUKU, mahasiswa akan terus memperjuangkan perkara berkenaan.

“Universiti-universiti sudah wujud sebelum AUKU diperkenalkan pada 1971, jadi mengapa perlunya AUKU.
“Kerajaan perlu mendengar suara mahasiswa… jadi mereka tidak perlu meminta, saya tidak perlu memohon maaf, jangan sombong, dengar suara mereka,” katanya seperti dilapor Malaysian Insider.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan