Nasib Anwar Ditentukan 9 Januari 2012


KUALA LUMPUR, 15 DIS: Tarikh 9 Januari 2012 bakal menyaksikan detik penting kepada negara termasuk masa depan karier politik pejuang rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini berhadapan kes liwat II yang turut membabitkan Saiful Bukhari Azlan.

Hakim, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah hari ini menetapkan tarikh tersebut sebagai sebutan keputusan bersabit kes liwat II yang telah bermula sejak tahun 2009.

Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ditemui di luar mahkamah tetap dengan keyakinan adalah tidak munasabah sekiranya keputusan tidak memihak kepadanya.

"Saya tidak fikir hakim ada pilihan selain menghormati prinsip undang-undang untuk membebaskan saya. Dan saya ulang seperti dari awal, pendakwaan itu tidak sepatutnya berlaku jika tidak ada campurtangan politik.

"Kedua sudah pun ada pendakwaan tidak sepatutnya ada ruang untuk panggil saya membela diri.

"Sekarang kita sudah memberi keterangan dengan hujah-hujah pakar yang bukan sahaja menjelaskan beberapa pertuduhan yang tidak munasabah termasuk spesimen dan sebagainya.

"Saya tidak fikir hakim ada pilihan selain untuk tunduk kepada undang-undang dan fakta," katanya.

Ujar anwar lagi, beliau mungkin terpaksa membatalkan jemputan Rajamohan Ghandi, cucu kepada Mathma Ghandi untuk hadir melancarkan rencana demokrasi yang mempedulikan nasib rakyat dan bebas daripada rasuah di Bombay memandangkan majlis tersebut berlangsung hampir pada tarikh sebutan keputusan kes.

Anwar turut menjangkakan pilihanraya umum semakin hampir seperti yang dinantikan oleh semua pihak.

"Pada 1999 saya di penjara, kita mendapat sokongan yang tinggi daripada rakyat.

"Jika mereka rasakan ini kerja politik untuk melemahkan pembangkang, saya yakin selepas 9 Januari pembangkang akan teruh kukuh tidak kira Anwar di dalam atau di luar penjara.

"Kami tetap perjuangkan untuk menegakkan keadilan dan reformasi di negara ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Peguambela, Karpal Singh dalam reaksinya berkata, keterangan Doktor Pusrawi, Dr Osman perlu diambilkira memandangkan beliau merupakan saksi pendakwaan.

Bagi peguambela, Sankara Nair memaklumkan, pasukan pembelaan selesai menjawab semua hujah beserta fakta selain membawa pakar-pakar dari luar negara untuk prosiding kali ini.

Katanya, kini terpulang kepada hakim untuk membuat keputusan.

"Kami memang konfiden, hujah dan persiapan sempurna. Kami akan bagi ulasan lepas keputusan. Kami akan merayu jika keputusan tidak memihak kepada kami," katanya.

Anwar, 63, didakwa meliwat Mohd Saiful, 25, di sebuah pangsapuri di Bukit Damansara di Kuala Lumpur pada 26 Jun 2008 dan dituduh mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabit kesalahan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan