Reezal Merican dituntut mohon maaf 24 jam

Aziz Muda
KUALA LUMPUR, 23 Dis: Naib Ketua Pemuda Umno Kepala Batas, Reezal Merican dituntut memohon maaf kepada Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dalam tempoh 24 jam melalui akhbar Utusan Malaysia, ekoran kenyataan fitnahnya terhadap mahasiswa.
Sekiranya Reezal tidak memohon maaf dalam tempoh yang ditetapkan, SMM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan lebih tegas terhadap beliau melalui saluran perundangan.

Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Ahmad Syukri Abd Razab berkata, tuntutan tersebut dibuat berikutan kenyataan fitnah Reezal yang mengatakan mahasiswa telah memijak bendera Perdana Menteri seperti yang disiarkan Utusan Malaysia pada 21 Disember lalu.

Menurutnya, kenyataan Reezal itu dilihat berniat jahat dengan cuba memburukkan SMM dan memberi persepsi negatif terhadap isu yang dibawa oleh Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas).

Katanya, realiti sebenarnya, bendera Perdana Menteri hanya diturunkan dalam tempoh masa kurang lima minit dan kemudian dinaikkan semula dalam keadaan baik.

"SMM juga melihat kenyataan yang dikeluarkan oleh para pemimpin kerajaan dan pemimpin Umno terlalu dangkal kerana hanya bersifat sentimen sokongan terhadap Perdana Menteri.

"Kenyataan mereka itu tanpa mengulas langsung mengenai kebebasan akademik yang diutarakan oleh mahasiswa," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini, hari ini.

Sementara itu, tegasnya, SMM mengecam sekeras-kerasnya pihak yang mengancam dan mengugut Adam Adli berikutan protes yang dilancarkan terhadap Perdana Menteri.

SMM melihat perbuatan tersebut sebagai tindakan tidak bertamadun dan menyalahi prinsip demokrasi yang diamalkan di negara ini.

Katanya, SMM menghormati hak setiap pihak untuk mengkritik dan bersuara namun perbuatan mengugut sehingga ancaman bunuh bukanlah perkara yang wajar dan hanya mengeruhkan keadaan.

"SMM khususnya Adam Adli tidak akan berganjak daripada pendirian untuk tidak memohon maaf kepada Perdana Menteri walaupun terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab terus memberi ugutan dan ancaman.

"Hal ini kerana tindakan menurunkan bendera PM pada 17 Disember lalu dilakukan dengan penuh sedar dan didasari dengan mesej yang jelas untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," tegasnya.

SMM, tambahnya, menggesa pihak polis bertindak tegas terhadap pihak yang mengugut Adam dengan ancaman bunuh bagi memelihara suasana demokrasi negara agar sentiasa dipagari kedaulatan undang-undang.

Sidang media itu diadakan selepas beliau menemani Adam memberikan keterangan kepada pihak polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi selama sejam.

Turut menemani Adam, peguam Fadiah Nadwa dan pemimpin Bebas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan