Sandiwara Mahathir terbongkar

PETALING JAYA: Sandiwara mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung pinjaman dari Bank Dunia pada sekitar tahun 1999 sudah terbongkar walaupun selama ini beliau menafikannya.

Selama ini, Mahathir menyalahkan Ketua Pembangkang Dato’ Seri Anwar Ibrahim kononnya beliau adalah alat kepada Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Laman web Bank Dunia mendedahkan bahawa Malaysia membuat pinjaman sebanyak tiga kali pada tahun 1999 dan sekali pada 1998 yang berjumlah AS$400 juta dan pinjamam itu dibuat setelah Anwar dipecat dari kabinet.

Pinjaman Mac 1999 itu atas nama projek “Malaysia Education Sector Support Project”, “Malaysia Social Sector Support Project” dan “Malaysia Year 2000 Technical Assistance Project” manakala pada 18 Jun 1998 bagi projek “Malaysia Economic Recovery and Social Sector Loan”.

Tuduhan terhadap Anwar direkayasa semenjak tahun 1998 lagi lantaran komitmen beliau dalam memastikan disiplin pengurusan kewangan negara yang berteraskan tatakelola dan pertanggungjawaban, demikian menurut satu kenyataan dari pejabat Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Kata kenyataan itu, Anwar bertegas menolak preskripsi ekonomi yang mahu menyelamatkan kroni dan elit politik ekonomi sedangkan rakyat perit berhadapan krisis ekonomi 1997/98.

Lantaran ketegasan beliau inilah Mahathir sebagai perdana menteri ketika itu merasakan perlu menyingkirkan beliau dari tampuk kepimpinan negara, kata kenyataan itu lagi.

Setelah lebih dari satu dekad fitnah terhadap Anwar dan keluarga beliau masih diteruskan oleh pimpinan Umno serta juak mereka.

Menurut kenyataan itu lagi, rakyat Malaysia tidak mudah lupa bagaimana Mahathir bersekongkol dengan Jack Abramoff dalam usaha beliau melobi untuk bertemu dengan Presiden Amerika Syarikat George W. Bush.

Malah menurut rekod Bank Dunia, selepas Anwar dipecat, Malaysia masih menerima bantuan Bank Dunia sedangkan di hadapan khalayak tanpa segan silu mantan Perdana Menteri itu semberono memfitnah Anwar sebagai perkakas Bank Dunia sekaligus agen Barat.

Mahathir cari alasan

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar memberitahu Mahathir sekarang terkedu dan terdesak dan sedang cuba mencari alasan untuk mengalih pandangan rakyat dari isu beliau meminjam wang dari Bank Dunia pada tahun 1999.

“Rekod yang mengatakan beliau melakukan pinjaman didedahkan oleh laman web Bank Dunia dan sekarang Mahathir memikirkan cara terbaik untuk menutup pembohongan beliau iaitu memfitnah Anwar yang merupakan Menteri Kewangan ketika itu.

“Kenapa beliau takut dan kalau betul baik mengaku sahaja jangan melepaskan apa yang beliau lakukan kepada orang lain,” katanya kepada harakahdaily.

Tambahnya pendedahan pinjaman itu menunjukkan ianya berlaku pada tahun 1999 iaitu selepas Anwar dipecat sebagai Menteri Kewangan dan juga Timbalan Perdana Menteri.

“Dulu beliau cuba tunjukkan dirinya sebagai ‘hero’ yang tidak akan tunduk kepada Bank Dunia yang bersikap ‘kapitalis’. Tetapi sekarang segalanya terbukti bahawa Mahathir diwaktu siang beliau bermusuh dengan Bank Dunia tetapi malam menjadi teman perbualan telefon.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, rakyat sendiri boleh melihat sikap berpura-puraan dan berbohong Mahathir hanya untuk kepentingan sendiri.

Katanya, dalam isu itu Mahathir yang sepatutnya perlu bersumpah bukan Anwar, dan seluruh rakyat sedang menunggunya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan