Muhammad Faizal
PETALING JAYA, 3 Jan: Timbalan Presiden, Mohamed Azmin Ali menghargai pendirian PAS dan DAP yang turut sama menyokong kempen pada 9 Januari nanti.
Beliau memberitahu Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang telah menyatakan akan turun pada 9 Januari ini.
"Kita telah berbincang tentang himpunan 9 Januari dan saya harga pendirian yang teah diberikan oleh kedua-dua parti dalam Pakatan Rakyat, PAS dan DAP yang menyokong himpunan tersebut.
"Sokongan ini bukan hanya sekadar menunjukkan dukungan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sahaja tetapi persetujuan kita kepada prinsip sistem yang ada sekarang yang perlu diubah sepenuhnya samada sistem ekonomi, kehakiman mahupun pendidikan negara," katanya.
Tambahnya lagi, Pakatan Rakyat yakin dengan kepimpinan yang ada pada Anwar bersama pemimpin di dalam Pakatan Rakyat sistem yang ada sekarang boleh diubah sepenuhnya.
"Kita jamin perhimpunan akan berlangsung dengan aman tanpa ada sebarang kekacauan dan tidak akan berlaku sebarang insiden melainkan ada pihak lain yang telah menimbulkan provokasi.
"Kita menyeru setiap anggota parti akan turun untuk memberi sokongan, malah PAS dan juga DAP telah menyatakan akan memastikan ahlinya turun dalam memberi sokongan," sambung beliau lagi.
Azmin memberitahu sasaran Pakatan Rakyat pada kali ini bukan hanya tertumpu pada 9 Januari sahaja tetapi juga menarik sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat pada pilihanraya nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan