Azwan Ali dipaksa membuat akuan bersumpah?

Ummi Hafilda Ali akan menarik balik laporan polis yang dibuat terhadap abangnya, Azwan Ali yang dikatakan membuat ugutan bunuh di laman Twitternya baru-baru ini.

Ummi Hafilda berkata dia bersedia menarik balik laporan itu selepas Azwan, seorang personaliti televisyen memohon maaf semalam dan kedua-duanya berbaik semula selepas tujuh tahun tidak bertegur sapa.

"Laporan polis dibuat pada 13 Januari lepas di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail kerana ketika itu saya berasakan ancaman itu begitu berat serta serius dan tidak bertujuan menzalimi darah daging sendiri.

"Walaupun hati terlalu hancur, saya sedia memaafkan Azwan dan akan menarik balik laporan selepas dia membuat akuan sumpah tidak akan membuat ancaman dan tidak mengaibkan saya lagi selain memohon maaf secara terbuka menerusi media hari ini," katanya kepada pemberita di satu sidang media bersama Azwan di sebuah restoran di ibunegara.

Sementara itu, Azwan berkata dia bertindak mengugut adiknya itu kerana termakan hasutan mereka 'yang tidak bertanggungjawab' yang dipercayai mempunyai agenda tersembunyi.

Dia bagaimanapun enggan mendedahkan mereka terbabit hanya berkata hasutan dibuat pelbagai sudut termasuk yang datang daripada beberapa pengikut dalam akaun Twitternya.

Dalam akuan sumpahnya Azwan menyebut selepas ini dia tidak akan menghina, mengeji, mengaibkan dan melakukan serangan peribadi yang mungkin membawa fitnah terhadap adiknya itu.

Azwan turut memohon maaf atas keterlanjuran mengeluarkan kata-kata di laman Twitter yang dikatakan menghina bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, dia insaf dengan kesilapan itu, membuat akuan sumpah berjanji akan menghentikan serta-merta penggunaan ayat-ayat menghina, mengaib serta tidak lagi menyerang peribadi mana-mana individu dalam laman Twitter dan juga Facebooknya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi berkata sehingga kini laporan itu belum ditarik balik oleh Ummi.

"Jika tidak ditarik balik kita akan teruskan siasatan di bawah Seksyen 506 Akta Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan," katanya.
-Bernama-
*Azwan tu bukan budak kecik senang-senang boleh 'kena hasut', tulis mcm2 dalam Twitter dan Facebook dia. Lepas kena siasat kat polis tup-tup pusing 360 darjah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan