Insafi kezaliman sebelum ‘melutut’ di depan Allah

Rizal Tahir

KOTA BHARU, 2 Jan: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) menyeru semua pihak sama ada kerajaan, pegawai atau peringkat individu agar menginsafi terhadap kezaliman yang dilakukan.

Katanya, sebelum tiba saat manusia dituntut ‘melutut’ dari Allah termasuk mereka yang dizalimi, tindakan sedemikian dihentikan segera.

“Saya tidak tuju pada siapa-siapa, tetapi setiap mereka yang melakukan kesalahan, sama ada individu, kerajaan, pihak berkuasa dan sebagainya perlu memohon maaf dari orang yang dikhianati,” ujarnya yang juga Menteri Besar Kelantan.

Pada masa yang sama Tuan Guru berkata, tidak kira pelajar, orang tua atau sesiapa sahaja sekiranya mereka menuntut hak masing-masing, golongan itu tetap berdosa sekiranya hukuman diberikan di luar batas keagamaan dan kemanusiaan.

Ini kerana, katanya menganiaya fizikal, spiritual adalah berdosa di sisi Allah kerana Islam itu sendiri telah meletakkan jalannya agar manusia itu mengikutnya.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika diminta mengulas berhubung kecederaan yang berlaku terhadap mahasiswa yang berhimpun di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), semalam.

Katanya lagi, satu perkara yang perlu diingat, Allah adalah pencipta manusia sama ada mereka itu golongan yang berpangkat atau lemah.

“Bila buat aniaya pada manusia, taraf kita di sisi Allah sama sahaja, turut mendapat balasan pedih di akhirat nanti walaupun kita ni berpangkat dengan pelbagai bintang, berserban labuh semuanya akan dibalas,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan