Kes Anwar :Tidak perlu bawa ke mahkamah rayuan - Yusmadi

KUALA LUMPUR: Kes perbicaraan liwat II yang membabitkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang dibebas dan dilepas oleh Mahkamah Tinggi, Jalan Duta, Isnin lalu, sepatutnya tidak dibawa ke Mahkamah Rayuan lagi, kata pengamal undangundang, Yusmadi Mohd Yusuf.

Dakwanya, ini kerana beliau melihat dari segi bukti dan keputusan mahkamah menunjukkan kes yang dibawa itu tidak kuat.

“Sebenarnya secara peribadi saya rasa kes itu tidak patut langsung dibawa ke mahkamah dan ia perlu dibebaskan,” katanya .
Katanya, sungguhpun manamana pihak berhak membawa kes mereka ke Mahkamah Rayuan tetapi rayuan itu mesti berdasarkan fakta dan juga undang-undang.

“Jadi pada pandangan saya keputusan ini bukan disebabkan oleh desakan media, keluarga dan sebagainya,” katanya yang juga Ahli Parlimen, Balik Pulau.

Menurutnya, perlu diingatkan kes jenayah perlu merujuk kepada kepentingan awam dan berbeza dengan kes sivil. Dengan itu katanya, peguam negara perlu pertimbangkan untuk kepentingan awam dan pada masa yang sama kepentingan itu didahulukan.

Sementara itu media melaporkan, pihak pendakwaan kes perbicaraan liwat II yang membabitkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim mahu membuat rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepas dan membebaskan ketua pembangkang itu daripada pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Isnin lalu.

Dalam laporan berita Buletin Utama, terbitan TV3, Peguam Cara II Negara, Dato’ Mohd Yusof Zainal Abiden dipetik berkata, keputusan membuat rayuan dibuat setelah mengkaji semua bukti berhubung kes berkenaan.

Mohd Yusof juga dilaporkan berkata cadangan berkenaan akan dikemukakan kepada Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail tidak lama lagi supaya rayuan boleh difailkan dalam tempoh 10 hari.

Mengulas lanjut, Yusmadi mendakwa selama ini perbicaraan yang membabitkan Anwar tidak diberi perbicaraan yang adil.

“Bagi saya keputusan itu tidak semestinya dapat mengaburi apa yang berlaku sepanjang pendakwaan kes dan saya masih lagi berpandangan Anwar tidak mendapat layanan yang adil contohnya nota-nota perubatan tak dapat, saksi utama dipanggil tidak datang walaupun disapina.

“Jadi perkara-perkara sebegini saya berpandangan kes begini tidak wajar dirayu ke peringkat atasan,” dakwanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan