PAS atau Umno Selangor lebih bergolak

Subky Latif
APAKAH ribut sekejap isu Hassan Ali boleh memberi kesan kepada PAS dan Pakatan Rakyat dalam PRU 13 nanti baik secara umum untuk seluruh negara mahu pun secara khusus di Selangor?
Sedikit sebanyak gema perang mulut antara bekas Pesuruhjaya PAS Selangor ada mengelirukan pengundi atas pagar dan pengundi tidak tegar BN yang bercadang untuk mengajar pimpinan UMNO sekarang.

Rata-rata saya berjalan saya ditemui oleh penyokong tegas Pakatan dan penyokong BN khususnya UMNO. Mereka bertanyakan isu itu. Tiada penjelasan tepat dan meyakinkan yang dapat saya beri melainkan cuba mengatakan ia isu sekejap dan sementara yang boleh diredakan sebelum pilihan raya.

Ketika pilihan raya berlangsung, isu itu tidak menjadi isu lagi.

Apa pun pengundi tegas PAS dan pembangkang bimbang ia boleh mengganggu harapan PR untuk menambah kejayaan PRU 2008 dulu, bahkan mungkin tidak dapat mempertahankan keputusan yang lalu. Mereka tidak akan berganjak dari PR sekali Anwar Ibrahim tiada di luar.

Tetapi mereka bimbang ialah boleh mempengaruhi orang atas pagar. Mana-mana yang bercadang untuk menyokong PR memikirkannya semula. Kalau ia berlarutan ia boleh mengganggu perayu undi dari rumah ke rumah untuk bersoal jawab apabila ditanya pengundi.

Orang UMNO yang tidak senang dengan kerajaan dan pimpinan UMNO yang ada, masih mengharapkan BN berkuasa tetapi mereka mengurangkan pencapaiannya, sekurang-kurangnya seperti keputusan Mac 2008 dulu, supaya ia membuka jalan kepada perubahan pimpinan UMNO.

Keputusan buruk BN itulah yang memungkinkan pimpinan Abdullah Badawi digantikan. Tidak cara bagi mereka mengakhiri pimpinan buruk bersama Najib dan Rosmah melainkan ngeri yang sama berlaku kepada PRU 13. Justeru itu bagi mereka pimpinan PR khususnya PAS jangan memberi banyak peluru kepada BN.

Saya boleh menerima logik itu.

Moga-moga dengan perkembangan terbaru Dato Hassan sudah berjumpa pimpinan PAS – Mursyidul Am dan Presiden – di kediaman Menteri Besar Kelantan, Hassan bukan sekadar mengentikan polemiknya dengan PAS malah minta maaf dan menarik balik tempelaknya terhadap gagasan negara berkebajikan.

Isu itu sudah reda dan seperti betul ialah adalah ribut yang sekejap.

Mungkin kesannya tidak 100 peratus reda, tetapi ia rasanya boleh diimbangi di Selangor dengan keputusan kes mahkamah Dr. Khir Toyo. Kes bekas MB Dr. Khir itu menambah imej rasuah pimpinan kerajaan BN Selangor sejak lebih 30 tahun dulu.

Ia menambah gara-gara yang ditinggalkan oleh kes Dato Harun Idris dan Tan Sri Mohamad Mohd Taib. Kedua-duanya berhenti dari MB kerana kes masing-masing. Sekali pun kes Dato Harun menjurus kepada kes politik, tetapi campuran semua masalah itu menjadikan isu Hassan Ali itu tidak apa-apa.

Boleh tenggelam isu itu dalam timbunan imej rasuah BN dan UMNO Selangor. Dan kes lembu suami ketua Wanita UMNO yang tidak mungkin diselesaikan pada PRU 13 itu menjadikan isu Hassan sekecil zarrah atau hama melayang.

Isu itu mati apabila membatalkan sangkaannya tentang negara berkebajikan. Isu itu sudah bukan lagi suatu perbedaan pendapat di kalangan PAS.

Malah isu Hassan Ali itu tidak sampai mencetuskan perpecahan pada PAS Selangor. Tidak ada bantahan ketara atas perubahan pimpinan PAS Selangor.

Sekurang-kurang kalau ia dikira satu penyingkiran terhadap pimpinan PAS Selangor, maka apa kurangnya penyingkiran pimpinan UMNO Selangor. Kes rasuah Khir Toyo adalah satu bentuk penyingkiran kepadanya oleh pimpinan bersama Najib dan Noh Omar. Adakah Dr. Khir saja yang rasuah di Selangor?

Mengapa yang lain tidak diseret? Adakah yang lain malaikat belaka?

Lebih teruk penyingkiran Najib ke atas Tan Sri Mohamad Taib. Bekas MB Selangor digugurkan dalam semua kedudukan apabila Najib menjadi Perdana Menteri dan ketua UMNO Selangor. Mohamad adalah Ketua UMNO Selangor ketika Najib menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri.

Najib angkat ramai senator baru untuk dijadikan menteri, digugur Senator Mohamad Taib dari jawatan menteri.

Mana lebih bergolak antara UMNO Selangor dan PAS Selangor?

Sesungguhnya benda yang tidak sepatutnya jadi isu telah dijadikan isu. Untungnya ia sekejap saja.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan