Bakar muka isteri kerana dadah

KOTA BHARU: Seorang penagih dadah bukan saja bertindak ganas, malah tergamak membakar muka isteri hingga melecur di mata ketika meminta wang daripada anak mereka di Kampung Kedai Buluh, Badang, di sini, Khamis lalu.

Dalam kejadian jam 7 malam, mangsa berusia 40 tahun dikatakan turut dihentak oleh suspek menggunakan kerusi.

Difahamkan, suspek yang juga berusia 40 tahun sebelum itu meminta wang daripada anaknya berusia 19 tahun dan terus meluru mengambil dompetnya di bilik.

Suspek kemudian keluar dan terserempak dengan mangsa sebelum mengamuk serta bertindak ganas.

Dia mengambil pemetik api dan membakar wang kertas RM1 di mata kiri mangsa yang dalam ketakutan.

Bagaimanapun, anaknya yang turut melihat tindakan suspek tidak mampu berbuat apa-apa untuk membantu ibunya.

Mangsa meminta anaknya membuat laporan polis sebelum melarikan diri bersama seorang lagi anak berusia dua tahun.

Susulan laporan polis diterima, suspek ditahan di rumahnya pada jam 8 malam semalam.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azham Othman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit.

Beliau berkata, suspek dikatakan baru selesai menjalani hukuman di penjara membabitkan kes dadah.

Katanya, suspek yang ditahan sehari selepas kejadian kemudian direman empat hari untuk siasatan mengikut Seksyen 324 iaitu sengaja menyebabkan kecederaan, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tiga tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

“Ketika ditahan, suspek turut ditemui bersama tiub straw dipercayai mengandungi dadah. Mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ II),” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan