Banglo dibakar dan dua penghuninya ditembak

KEADAAN rumah banglo dan sebuah kereta di Kampung Che Arus, Kok Lanas yang dibakar dua lelaki bertopeng semalam.
KOTA BHARU: Dua sahabat cedera selepas diserang dua lelaki bertopeng dan bersenjatakan pistol di sebuah rumah banglo di Kampung Che Arus, Kok Lanas dekat sini semalam.

Selepas melepaskan tembakan yang mengenai dua mangsa itu, dua suspek terbabit kemudian membakar sebuah kereta Perodua Kelisa dan rumah banglo itu.

Bagaimanapun, dalam kejadian pada pukul 5 pagi itu, seorang wanita bersama bayi berusia enam bulan yang turut berada di rumah itu tidak dicederakan. Turut selamat seorang lagi lelaki yang juga berada di rumah banglo tersebut.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, mangsa Raihan Razali, 25, cedera terkena tembakan di kaki kiri manakala sahabatnya Azrin Mohd. Zin, 23, cedera terkena tembakan di paha kanan.

“Nurul Farah Izwani Abdullah, 21, bersama bayinya diarahkan keluar dari rumah itu oleh suspek ketika ruang tamu rumah tersebut sedang terbakar.

“Seorang lelaki yang dikenali sebagai Mohd. Fahmi Anuar dikatakan melarikan diri menerusi tingkap rumah banglo itu selepas menyedari dua rakannya dicederakan penyerangnya,” kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.
-kosmo-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan