Hamdan nafi boikot angkat sumpah Exco

SITI ZUBAIDAH ZAKARAYA
 Datuk Dr Hamdan Mohamed SUNGAI PETANI: Seorang daripada anggota Exco Kerajaan Kedah yang disebut-akan memboikot majlis angkat sumpah Exco pada 28 Februari ini, Datuk Dr Hamdan Mohamed Khalib menafikan beliau terbabit dengan konspirasi menggulingkan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.
Sebaliknya kata Hamdan, beliau masih bersama dengan kepimpinan negeri (Azizan) dan sanggup berada dalam barisan Exco jika mendapat tawaran menyambung tugas.

“Saya setuju terima jika ada tawaran untuk jadi Exco lagi. Saya sedia sambung tugas untuk terus memberi khidmat kepada rakyat dan juga meneruskan perjuangan jemaah (parti) yang penuh dengan cabaran ini.

“Kita tunggu 28 Februari ini, pada hari angkat sumpah Exco untuk sambung tugasan yang belum selesai untuk rak­yat,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Kenyataan Hamdan itu sekali gus menafikan laporan muka depan sebuah akhbar semalam, menyebut beliau antara empat anggota Exco Kerajaan Kedah yang akan memboikot majlis angkat sumpan anggota Exco Kerajaan Negeri yang baru di Istana Anak Bukit, Alor Setar.

Selain Hamdan, turut disebut ialah Exco Perumahan & Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi dan Exco Kesihatan, Badan-badan Bukan Kerajaan dan Pembangunan Insan, Sains dan Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Dr Ismail Salleh.

Kedua-duanya juga masing-masing adalah Timbalan Pesuruhjaya I dan Timbalan Pesuruhjaya II Pas negeri.

Sinar Harian semalam menyiarkan kenyataan Menteri Besar yang mengaku akan membuat kejutan pada hari pelantikan Exco sebagai susulan kontroversi itu.

Azizan berkata, tidak timbul ada Exco sedia ada yang menolak tawaran menyambung jawatan kerana surat tawaran belum dihantar.

Phahrolrazi ketika dihubungi berkata, beliau akan memberi kenyataan apabila tiba masanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan