Sallehudin Ayub masuk tokong Cina Endau?

21Halim

Ketua Pemuda UMNO Mersing buat demo depan Balai Polis Endau dua hari lalu. Puncanya ialah menyampah dengan kehadiran pimpinan PR pusat yang akan datang bertamu.


Gambar Lim Kit Siang, Anwar Ibrahim dan Sallehudin Ayub terpampang sana sini. Pihak Majlis Daerah juga sudah ada kerja tambahan. Ronda kawasan dan turunkan kain rentang 'haram' (tiada cop sebab kononnya tiada permit).

Itu hari penulis ada kata Anwar ingin mengail. Rupa-rupanya pimpinan PAS dan DAP teringin berehat sama. Lim Kit Siang mahu sewa bot laut dalam yang banyak dimiliki oleh kaum Cina. Sallehuddin pula sekadar mahu pasang jaring di tepi pantai.

Datang pula Cikgu Roslan Nikmat, YDP PAS Mersing bersama Mr Norton, Pengerusi DAP Tenggaroh ajak mereka bertiga itu melawat Dewan Che Ru Khor. Endau yang tersergam itu. Pimpinan PR Mersing ini mahu buat sedikit ucapan dalam Majlis Sambutan Tahun Baru Cina.

Jadi pada 19 Februari 2012 ini, sudah pasti bandar Endau akan menjadi cukup sibuk dengan kehadiran orang ramai untuk mendengar maklumat terkini mengenai isu politik tanahair.

Menurut maklumat, Anwar akan menjadi orang yang pertama menyampaikan ucapan, selepas kata-kata aluan pimpinan PR Mersing. Lazimnya, dalam program ceramah di Mersing, tetamu paling penting akan berucap paling akhir. Kali ini tidak.

Ini bermakna, para petugas harus cari jalan memaklumkan kepada orang ramai agar hadir lebih awal. Majlis akan bermula kira-kira jam 8 malam. Anwar Ibrahim akan segera beredar ke Kluang pada jam 9.30 malam kerana orang Kluang pula mahu jumpa dengan Anwar.

Anwar tidak perlu ditanya. Dia sendiri akan ceritakan hal Israel. Geng UMNO Mersing sedang jual cerita Anwar sokong Israel kepada orang kampung.

Jangan datang lepas isyak macam biasa. Alamat terlepas mendengar ucapan berbisa. Tetapi selepas Anwar, boleh dengar bicara Sallehudin Ayub pula.

Sallehudin juga tidak perlu ditanya. Dia mungkin akan ceritakan desas desus kedudukan beliau yang dikatakan bakal MB Johor. Penyokong UMNO yang mahu Dr Latif jadi MB Johor boleh hadir dengar ucapan bakal MB dari kalangan PAS pula.

Sementara itu, Lim Kit Siang masih 50-50 untuk turun ke Endau. Orang Cina Endau berharap sangat beliau dapat hadir.

Dewan Che Ru Khor, Endau yang terletak bersebelahan tokong Cina ini telah diresmikan oleh Dr Latif selaku Ahli Parlimen Mersing. Sudah pasti beliau terkejut, macam mana pihak pengurusan boleh benarkan orang PR menyewa dewan berkenaan.

Secara tidak langsung, lenyap cerita Sallehudin Ayub sanggup gadai akidah raih undi sampai ke dalam tokong Cina. Hari itu heboh kisah Cikgu Roslan masuk kedai jual babi. Kini sudah senyap sunyi.

Ketua Pemuda UMNO Mersing lagi bimbang sebab beliau ingin menjadi calon N32 Endau bagi pihak UMNO. Dia tidak mahu tumbang. Itu pasal dia buat demontrasi mini.

Penulis bimbang juga majlis tidak lancar akibat kawalan keselamatan yang lemah. Penulis mengesyorkan agar pasukan RELA diundang sama. Bayarannya tidak semahal mana.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan