2 polis nafi samun warga asing

PETALING JAYA: Padah melakukan samun bersenjatakan pistol terhadap empat warga Bangladesh di sebuah rumah di Ara Damansara, dekat sini, tahun lalu, dua anggota polis berpangkat Lans Koperal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.

Tertuduh, Junaidi Awang, 33, dan Rasli Zainol Abidin, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka bersama dua orang lagi yang masih bebas didakwa melakukan perbuatan menyamun dengan mengambil wang tunai milik Md Shafiqul Sheikh, 31, Md Moshiur Rahman, 26, Borhan Uddin Molla, 33 dan Al Amien, 27, membabitkan kerugian RM592.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah beralamat nombor 10, tingkat bawah, Blok E, Sri Ara Apartmen, Jalan PJU 1A/5, Ara Damansara, di sini, jam 12.30 tengah malam, 11 Julai 2011.

Bagi perbuatan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Nur Aishah Ahmad Zakiuddin menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap setiap tertuduh.

Junaidi dan Rasli masing-masing yang hadir ditemani isteri dan kakaknya memohon wang jaminan dikurangkan berikutan isteri Junaidi hanya membawa RM4,000 manakala kakak Rasli membawa RM3,000.

Hakim Hayatul Akmal kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh dijamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan kes disebut semula pada 19 April depan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan