Bahagia dapat terangkan kebenaran Islam

WAN NIK WAN YUSSOF

Minggu lepas pihak Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz yang juga Al-Mursyidul Am PAS telah dikunjungi salah seorang ahli parlimen DAP dari Johor. Wakil rakyat tersebut begitu ‘teringin’ (setelah menetapkan tarikh pertemuan secara terancang) bagi mendapat penjelasan menurut pandangan Islam di dalam beberapa isu semasa.


Realitinya, kunjungan itu berjalan dengan penuh keharmonian di Pejabat Menteri Besar, Kompleks Kota Darulnaim

Sebelum ini, beberapa pemimpin DAP telah mengunjungi Tuan Guru Nik Abdul Aziz apabila mahukan penjelasan pandangan Islam. Antaranya ketika isu wanita bukan Islam hadir ke masjid dan larangan perjudian di Kelantan serta isu orang bukan Islam membaca Al-Quran, juga atas isu penggunaan kalimah Allah. Apa yang pasti mereka (pemimpin DAP) tidak suka bertanyakan menteri agama dari Kerajaan Umno.

Parlimen tempat kebenaran

Pendekatan Ahli Parlimen DAP itu mungkin berpunca daripada suatu ilham setelah mengikuti satu pengakuan kebenaran dalam sepanjang perbahasan di Parlimen pada minggu lepas tentang hubungan dagang Malaysia-Israel yang sudah tidak menjadi rahsia lagi. Suatu hubungan telah diakui sendiri oleh seorang menteri Kerajaan Umno yang mengesahkan berlakunya penjualan minyak sawit Malaysia.

Maka sudah cerap bahawa Parlimen adalah tempat menemui kebenaran kerana ahli Parlimen diajar bercakap benar semasa perbahasan. Asasnya setiap perbahasan itu memerlukan hujah dan sokongan secara berfakta. Ini di antara luahan Ahli Parlimen DAP kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang mendorong untuk memahami isu-isu dari pandangan Islam.

Dalam konteks kebenaran itu, Tuan Guru menasihati agar setiap Ahli Parlimen seharusnya sentiasa bercakap benar meskipun ketika di Parlimen mahupun di luar Parlimen. Ini kerana suasana ‘kebenaran’ di Parlimen hendaklah sentiasa wujud memandangkan Parlimen adalah tempat mulia untuk melatih diri dengan kebenaran. Justeru kebenaran merupakan prinsip Islam yang mengajar dengan kebenaran. Oleh sebab itulah Allah menyediakan malaikat sebagai pencatit atas setiap kebenaran mahupun pembohongan yang kita lakukan. Tegas sekali kita tidak boleh berbohong.

Umno berbohong

Malangnya ada ketika Umno bercakap tidak benar, yakni berbohong di depan rakyat. Walaupun parti Umno sudah memerintah sekian lama, tetapi kadangkala Parlimen tidak jadikan perbahasan Parlimen sebagai amalan kebenaran. Teruatama dalam menyampaikan kebenaran Islam kepada semua Ahli Parlimen. Justeru berlaku persoalan yang tidak berkesudahan sehingga memaksa Ahli Parlimen DAP terpaksa mendapat penjelasan mengenai Islam dengan pihak lain di Parlimen.

Sedangkan Islam sebagai agama rasmi boleh diperjelaskan dengan sebaiknya di Parlimen. Islam sepatutnya diperjelaskan oleh Kerajaan Umno sebagai agama mengutamakan keharmonian antara kaum serta dan mengamalkan kebebasan beragama meskipun berlainan fahaman politik.

Islam mengutamakan keadilan

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam membicarakan sistem pemerintahan (pentadbrian negara) menegaskan bahawa Islam menganjurkan agar pihak berkuasa berpegang kepada nilai kejadian manusia itu adalah sama dan berlaku bersikap adil dari segi kemanusiaan yang berasal dari satu usul asal iaitu dari keturunan Nabi Adam tanpa mengira keturunan menurut kasta yang direka-reka, warna kulit, bangsa dan budaya. Justeru semua rakyat hendaklah diberi hak yang sama sebagai warganegara untuk mengecapi keadilan dan kesamarataan meskipun mereka bukan beragama Islam. Begitu juga, hak peribadi, harta benda, maruah mereka tetap dipelihara dan dijaga selagi mana tidak menjejaskan kepentingan umat Islam dan penganutnya.

Dengan kata lain, orang bukan Islam ada hak-hak khusus seperti mana yang dinikmati oleh orang Islam. Asalkan hak yang dinikmati orang bukan Islam itu tidak menjejaskan kepentingan orang Islam.

Justeru kalangan pemimpin bukan Islam selalu mempersoalkan isu-isu hubungan dengan umat Islam dalam masjid, kitab suci Al-Quran, tulisan Jawi, bahasa Melayu, adat resam dan kesejahteraan mahupun keharmonian atas sentimen agama. Sedangkan Islam sendiri memberi peluang bagi orang bukan Islam menghayati sama kehidupan sosial umat Islam asalkan mengikut adab dan aturan demi menjaga hak, kepentingana dan sesitiviti kalangan orang Islam. Jika ini mampu dihayati dan diamalkan sudah tentu keharmonian antara kaum dan agama boleh wujud dan berkekalan aman dan damai.

Justeru Tuan Guru Mursyidul Am menerangkan: “Tidak berbangkit soal orang bukan Islam tidak boleh hadir ke masjid untuk menyaksikan upacara dan amal ibadat orang Islam. Begitu juga orang bukan Islam – Cina, India atau Siam – di Malaysia hari ini bebas untuk bertutur dengan bahasa (loghat) masing-masing. Kerana soal bahasa disebut dalam Al-Quran ‘alsinatikum’ merupakan nikmat dari Allah kepada semua manusia. Justeru tidak berbangkit masing-masing pihak untuk melarang daripada berbahasa menggunakan mana-mana bahasa, termasuk bahasa Cina sendiri merupakan nikmat Allah untuk manusia.
Cina guna tulisan Jawi

Selanjutnya, soal komunikasi berbahasa dilengkap lagi dengan seni tulisan atau khat huruf tertentu, sama ada seni tulisan Cina, Jawi, Arab, Roman, Hebrew hatta Siam dan Tamil. Semuanya menggambarkan kepelbagaian tulisan menurut bahasa komunikasi masing-masing. Dalam hubungan ini, Ahli Parlimen DAP itu diberitahu, iaitu tidak sepatutnya pihak kerajaan atau kuasa tertentu menyekat pihak lain menggunakan tulisan atau bahasa yang dipunyai pihak tertntu. Malah tidak wajar sama sekali untuk menghalang orang Cina menggunakan tulisan Rumi atau Jawi. Begitu juga tulisan Cina, Tamil dan Siam sepatutnya dipakai oleh orang Melayu.

Demikianlah nilai ketinggian ajaran Islam dalam menterjemahkan persoalan hak dan kepentingan kaum masing-masing. Sesuai dengan firman Allah: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang yang berpengetahuan” (Surah Ar-Rum:22).

Sehubungan itu, amat tidak wajar pengenalan papan tanda masjid ditulis mengikut bahasa yang mewakili kaum tertentu. Maksudnya, nama masjid, terjemahan Al-Quran atau apa sahaja kalimah di masjid sepatutnya boleh ditulis dalam bahasa dan tulisan Cina dan Tamil selain tulisan Rumi dan Jawi. Dengan cara ini mungkin penghayatan terhadap rumah Allah dapat dikongsi sama oleh semua kaum di negara ini. Di samping ia sebagai langkah mengharmonikan hubungan antara kaum dalam memahami Islam dari perspektif seni tulisan bermotifkan dakwah.

Umno tidak suka Jawi

Malangnya, prinsip ini telah dirosakkan oleh Umno sejak tahun 1960-an tatkala dasar pelajaran kebangsaan yang menghapuskan penggunaan tulisan Jawi. Sebaliknya huruf Rumi menjadi perantara di sekolah-sekolah aliran Melayu. Ia sesuatu yang malang dan menjadi titik hitam dalam pendidikan Islam sekaligus menjadi salah satu punca masyarakat begitu payah belajar Al-Quran dan kitab-kitab agama. Ini dosa besar Umno yang menghapuskan warisan seni tulis dan khat orang Melayu dibangku sekolah Melayu. Maka bukan orang Cina yang mencetus semangat tidak suka kepada tulisan Jawi, sebaliknya Umno adalah pencetus yang tidak sukakan tulisan Jawi.

Namun, isu ini dapat dibendung di Kelantan ekoran masih melebarnya usaha Kerajaan Negeri menerusi sistem pendidikan Yayasan Islam Kelantan yang mempertahan tulisan Jawi. Disokong lagi langkah rasmi pihak berkuasa tempatan yang mengenakan syarat penggunaan tulisan Jawi di papan iklan dan papan tanda. Selain pihak Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri turut menggunakan Jawi dalam laporan minit mesyuaratnya. Semua langkah ini merupakan dasar mesra jawi yang menyokong asas-asas mengindetifikasi ciri Islamik yang telah ditinggalkan oleh Umno sekian lama.

Paling malang lagi, rakan-rakan kita dari bukan Melayu (di negeri-negeri dikuasai Umno) turut tertekan akibat angkara Umno yang mencemuh dan menghalang mereka menggunakan tulisan Jawi. Sehingga ada lagi kalangan mereka yang bukan Islam dikutuk tatkala hadir ke masjid, menggunakan tulisan Jawi dalam risalah, kalendar Masihi dan papan iklan. Demikianlah Umno yang menguasai Kerajaan Pusat begitu zalim terhadap tulisan Jawi.

Umno kontradiksi dan pesimis

Sedangkan pihak kuasa Umno juga begitu kontradiksi dan pesimis terhadap penganut Kristian dalam isu Kitab Injil yang tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah. Justeru dalam situasi berlainan Kerajaan Umno menjadi hipokrit dengan prinsip keharmonian. Ini kerana pada satu ketika mereka membataskan hak agama lain, dan pada ketika lain perdana menteri turut mengadakan perjumpaan dengan pemimpin antara agama. Malah di gelanggang agama dan kaum lain yang bukan Islam, mereka dilihat menggadai maruah Islam. Maka tidak peliklah, di kalangan Umno boleh merestui pemimpinnya hadir merayakan upacara agama seperti Depavali, Krismas dan Chap Go Meh (sedangkan ia ditegah oleh Islam). Membuktikan pekung politik Umno ialah perkauman yang melampau.

Sudah tentu amalan beragama pemimpin Umno itu bercanggah dengan keterangan Allah: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu saling berkenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antaramu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya” (surah Al-Hujurat:13). Sudah cerap kini, pemimpin Umno tidak mengutamakan kandungan Al-Quran ini (kerana menggadai takwa dalam amalan kenal-mengenal antara kaum). Atas sebab itu pemimpin MCA dan MIC masih tidak memahami Islam meskipun sudah sekian lama berkongsi bantal dan selimut!

Di atas hakikat inilah, Tuan Guru Nik Abdul Aziz menganggapkan suatu kebaikan semenjak PAS bersama Pakatan Rakyat, kerana ruang menerangkan Islam kepada orang bukan Islam sudah terbuka luas. Justeru ia amat bahagia dalam melebarkan kebenaran Islam bersama Pakatan Rakyat dan ia tidak dilakukan oleh Umno di dalam Barisan Nasional.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan