Calon ‘payung terjun’: Mad Said salahkan siapa?

MAT ZAIN MAT ISA

NAMPAK sangat Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said tidak menemui hujah lebih baik untuk menjustifikasikan kekalahan Barisan Nasional (BN) di beberapa kerusi dalam pilihan raya umum lalu, selain mengambil jalan mudah meletakkan kesalahan ke atas pemimpin sebelumnya.


Kononnya disebabkan kegagalan pemimpin terbabit membuat penentuan lebih awal mengenai calon menyebabkan parti itu kehilangan empat kerusi kepada PAS.
Sehubungan itu katanya, BN negeri cuba mengelak daripada mengemukakan calon yang disifatkan sebagai ‘payung terjun’ pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) nanti agar kekalahan serupa tidak berulang kali kedua.

“Saya sudah tunjuk kepada Perdana Menteri sebab kita kalah pada PRU12 kerana calon luar yang tidak terlibat dalam pergerakan parti di peringkat bahagian.

Seminggu sebelum pilihan raya baru cuba untuk memperkenalkan diri mereka, ia sukar,” media minggu lalu memetik katanya.

Walau pun tidak menamakan empat kerusi terbabit, dapat difahami bahawa yang beliau maksudkan ialah Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Tunggal, Sura, Ladang dan Bukit Payung yang terlepas ke tangan PAS pada 2008.

Pada pilihan raya lalu PAS memenangi lapan kerusi. Selain Dun disebutkan itu, empat lagi merupakan kerusi yang telah dimenangi PAS pada 2004.

Keempat-empat kerusi tersebut, iaitu Batu Buruk, Rhu Rendang, Wakaf Mempelam dan Manir, malah sejak sekian lama menjadi milik PAS dan dianggap kubu parti itu yang gagal ditawan BN.

Tidak pasti apakah perincian kelemahan dalam pemilihan calon BN yang disebutkan Ahmad itu dimaksudkan kepada keempatempat Dun terbabit, atau hanya sebahagian daripadanya. Namun, jika diteliti senarai calon-calon yang kalah di situ, tidak semuanya boleh diistilah sebagai calon ‘payung terjun’.

Sebilangan mereka malah turut aktif bersama Umno bahagian buat beberapa ketika sebelum tibanya musim pilihan raya. Ertinya, sebab disebutkan Ahmad itu bukanlah satu-satunya faktor penentu kekalahan mereka.

Lagi pun, di kalangan calon yang gagal menawan empat lagi kerusi tradisi PAS itu pun, bukan kesemua mereka juga calon ‘payung terjun’. Malah ada yang telah mencubanya berkali-kali, dan tidak timbul soal mereka muka yang baru cuba memperkenalkan diri pada saat pilihan raya.

Begitu juga, ada calon yang memang muka baru, tetapi boleh memberi kemenangan kepada BN. Contohnya, ada calon BN yang tidak lazim berada di dalam kawasan, tidak terlibat secara aktif dengan Umno bahagian sebelumnya, tetapi Dun berkenaan tetap dimenangi BN.

Ertinya, faktor kemenangan BN bukan semata-mata bergantung kepada calonnya. Apatah lagi BN terkenal sebagai parti yang mampu ‘mengubat’ sebarang kelemahan dan kesilapan dengan ‘santau’ yang sangat efektif. BN ada ‘ubat penyembuh’ yang sangat mujarab yang mampu memesongkan pendirian rakyat dalam masa yang singkat.

Sebab itu apabila Ahmad memilih untuk menyalahkan kaedah pemilihan calon sebagai faktor kekalahan BN empat tahun lalu, beliau dianggap sengaja mengkambinghitamkan bekas penyandang Pengerusi BN Negeri sebelumnya. Taktik atau tabiat itu tidak sukar ditelah, memandang itulah juga contoh dibuat pemimpin lebih tinggi daripadanya.

Presiden Umno selaku Pengerusi BN dalam jelajahnya ke negeri-negeri turut menuturkan permainan politik serupa. Dalam ucapannya, terutama di negerinegeri diperintah pembangkang, Dato’ Seri Najib Razak kerap memohon maaf kepada rakyat.

Antaranya, beliau mengaitkan sebab BN ditolak rakyat negerinegeri terbabit ialah kerana parti itu dinilai melakukan kesilapan atau gagal menyelesaikan kelemahan tertentu.

Sama ada diucapkan secara terbuka atau diselami secara tersiratnya, mesej jelas daripada permohonan maaf Najib itu secara tidak langsung merupakan dakwaan kononnya kekalahan BN itu adalah kesilapan pemimpin sebelumnya.

Maka begitulah juga dalam kes Ahmad di Terengganu. Beliau seakan menyatakan bahawa pemimpin BN negeri sebelumnya, yang juga seteru utamanya di dalam parti, telah melakukan kesilapan besar sehingga terlepas empat Dun ke tangan PAS. Ertinya, bara permusuhan dalaman Umno masih belum terpadam.

Namun, apa pun pergolakan sesama mereka, biarkanlah ia berterusan begitu. PAS pula secara positif sepatutnya mengambil perhatian serius terhadap kenyataan Ahmad itu.

Pertama, ia mengisyaratkan keazaman sangat kuat di pihak BN untuk mengambil kembali kerusikerusi tersebut. Dalam memastikan hasratnya tercapai, kita sedia maklum BN sanggup melakukan apa saja cara. Justeru, jangan mengambil mudah komitmen BN dalam hal ini.

Kedua, jika BN yang ada segala macam ubat dan ramuan memaut rakyat pun masih menganggap pemilihan calon di saat akhir atau ‘payung terjun’ adalah suatu yang tidak patut berlaku, maka lebih-lebih lagilah dengan PAS. Calonnya mesti diperkenalkan jauh lebih awal.

Mereka sudah sepatutnya ‘dibisikkan’ agar turun membiasakan diri dengan masyarakat di kawasan bakal mereka tandingi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan