K'jaan BN hipokrit tuduh orang pro-Israel - MAPIM

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) hari ini menggesa kerajaan supaya menghentikan sikap hipokrit dengan menuduh pihak lain sebagai sebagai pro-Israel.

Setiausaha agung MAPIM Mohd Azmi Abdul Hamid berkata pemimpin kerajaan bersikap hipokrit apabila bertindak demikian sedangkan kerajaan sendiri telah menggunakan khidmat firma Israel.

"Sekarang perdana menteri tidak boleh lagi berselindung bahawa memang benar beliau telah mengupah Apco sebuah syarikat konsultan komunikasi Israel untuk membantu memperbaiki imej pemimpin BN.

"Mapim menegaskan bahawa polisi yang tidak konsisten ini akan meletakkan imej Malaysia sebagai negara yang tidak berintegriti dalam hubungannya dengan Israel," kata Mohd Azmi lagi dalam satu kenyataan hari ini.

"Tun Dr Mahathir Mohammad yang menulis surat kepada tiga Perdana Menteri Israel – Yitzhak Rabin, Benjamin Netanyahu dan Ehud Barak lebih resmi mengadakan perhubungan dengan Israel.

"Apakah pemimpin kerajaan dapat menafikan hakikat bahawa sejak zaman Tun Mahathir sendiri lagi isyarat untuk mengadakan hubungan dengan Israel sudah mula dirintis?," soalnya.

Katanya lagi, rakyat selama ini telah dikaburi dengan "sandiwara" pemimpin negara bahawa Malaysia sama sekali tidak mempunyai hubungan dengan Israel.

Bagaimanapun, fakta yang mula didedahkan setakat ini menunjukkan perkara sebaliknya, kata Mohd Azmi lagi yang juga merupakan presiden NGO Teras Pengupayaan Melayu (Teras).

"Dunia akan melihat dasar hipokrit yang akan menelanjangkan Malaysia di kaca mata seluruh masyarakat antarabangsa.

"Di satu pihak Malaysia nampak sangat lantang mengutuk Israel, akan tetapi di pihak yang lain kerjasama perdagangan ekonomi sangat subur antara dua negara itu," katanya.

"Dengan tidak mengiktiraf Israel tetapi aktif berdagang dengan Israel sudah cukup bagi Israel untuk menjadikan Malaysia sebagai negara rakannya yang strategik untuk menjaga kepentingannya dengan cara yang paling efektif," katanya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan