Selepas kontoversi panjang isu Perbadanan Fidlot Nasional (NFC), Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil hari ini mengumumkan akan berundur sebagai menteri selepas tempoh pelantikannya sebagai senator tamat bulan depan (April).
Menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu bagaimanapun akan kekal sebagai ketua Wanita Umno.
Beliau mengumumkan keputusan itu dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam dilaporkan berkata, beliau akan mengumumkan kedudukan Shahrizat pada waktu yang sesuai ekoran pelbagai khabar angin mengatakan senator itu akan meletakkan jawatan.
Dalam progam di Pasir Gudang, Shahrizat kelihatan berbincang dengan Najib beberapa ketika sebelum perdana menteri memberitahu perkara itu akan diumumkan tanpa mahu mengulas lanjut soal berkenaan.
Shahrizat yang dilantik sebagai senator pada 9 April 2009 akan tamat tempoh penggal sebagai Senator pada 8 April ini.
Isu peletakan jawatan timbul apabila beliau terpalit dalam isu National Feedlot Corporation yang diterajui suaminya Datuk Dr Mohamed Salleh Ismail yang terlibat dalam projek lembah daging di Gemas, Negeri Sembilan.
Selain desakan pembangkang, beberapa individu dalam Umno seperti bekas ketua Wanita Tan Sri Rafidah Aziz dan Ketua Umno Cheras Datuk Syed Ali Syed Abas Alhabshee juga menggesa Shahrizat melepaskan jawatan untuk mengelakkan menjadi bebanan parti.
Malah, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga dilaporkan menasihatkan bekas anggota parlimen Lembah Pantai itu agar "jangan sayang kepada jawatan."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan